TOKYO - Sebahagian besar universiti di Jepun menentang tindakan kumpulan tertentu merekrut mahasiswa di kampus, menurut tinjauan Kyodo News selepas timbul kebimbangan bahawa golongan tersebut menjadi sasaran mudah kelompok ajaran sesat dan kultus agama.
Tinjauan itu melibatkan lebih 50 universiti dan dijalankan setahun selepas insiden pembunuhan bekas Perdana Menteri Shinzo Abe.
Daripada jumlah itu, 28 universiti berkata mereka memperkukuh langkah untuk memaklumkan pelajar tentang risiko menyertai kultus ketika kontroversi tercetus selepas Abe ditembak mati pada 8 Julai tahun lalu.
Pembunuh Abe, Tetsuya Yamagami mengaku kepada penyiasat bahawa dia membunuh bekas pemimpin itu kerana kaitannya dengan Gereja Penyatuan yang dianggap kultus kerana bergantung kepada pengumpulan dana meragukan.
Yamagami menyalahkan Abe kerana mempromosikan gereja tersebut yang memperalatkan ibunya membuat sumbangan wang dalam jumlah besar sehingga diisytihar muflis.
Hasil tinjauan yang dijalankan sepanjang bulan lalu mendapati sebanyak 16 universiti telah meletakkan amaran mengenai risiko menyertai kultus di papan kenyataan, manakala 14 universiti lagi telah mengedarkan risalah kesedaran berhubung perkara tersebut.
Sebanyak 12 universiti menganjurkan ceramah tentang bahaya kultus dan 11 universiti memaklumkan telah meningkatkan rondaan di kawasan kampus.
Anggota kultus sering menyasarkan pelajar baharu kerana mereka dianggap lebih terdedah.
Tinjauan itu bagaimanapun mendapati hampir 80 peratus universiti menghadapi kesukaran untuk membendung penglibatan mahasiswa dalam kultus.
Amalan merekrut pelajar universiti oleh kultus pada masa lalu dilakukan secara langsung atau perekrut menyamar menjadi mahasiswa bagi memudahkan mereka mencari anggota baharu di kawasan kampus.
Namun, seiring dengan peredaran masa, kaedah mencari anggota baharu dilakukan di media sosial.
Tinjauan itu juga mendapati bahawa pihak universiti keliru untuk bertindak sekali gus membendung pengambilan baharu anggota kultus dalam kalangan penuntut kerana bimbang dianggap menghalang kebebasan beragama.
Takashi Uriu, 49, yang menyertai kultus keagamaan pada 1993 berkata, dia pernah merekrut mahasiswa dengan berpura-pura menjadi pensyarah universiti atau menubuhkan kelab pelajar palsu.
Uriu mengaku aktif merekrut penuntut universiti selama 12 tahun.
"Sekarang kultus di Jepun menyasarkan pelajar sekolah rendah dan menengah serta kelompok yang baru meningkat naik,” katanya.
Mengimbau kultus Aum Shinrikyo
Pada 1984, seorang pemuda bernama Chizuo Matsumoto menubuhkan kultus Aum Shinrikyo.
Aum Shinrikyo yang membawa maksud ‘kebenaran tertinggi’ pada mulanya sebuah kumpulan spiritual yang mencampuradukkan kepercayaan Hindu dan Buddha sebelum mula memasukkan unsur-unsur amalan Kristian.
Matsumoto yang menukar namanya menjadi Shoko Asahara kerap menyatakan kepada pengikut kumpulan itu bahawa dirinya adalah Jesus.
Aum Shinrikyo memperoleh status rasmi sebagai organisasi agama di Jepun pada tahun 1989.
Asahara mempunyai pengikut dari seluruh dunia dan meluaskan pengaruhnya dengan memberikan ucapan-ucapan di universiti dan menulis buku.
Penuntut di universiti elit Jepun serta golongan profesional berpusu-pusu mendengar ucapannya mengenai cara menyelesaikan masalah kesihatan dan memperbaiki kehidupan.
Ketika zaman kemuncaknya, Aum Shinrikyo berjaya menarik 40,000 ahli.
Pada 1995, Asahara mengarahkan beberapa pengikutnya melancarkan serangan gas sarin di stesen kereta api bawah tanah Tokyo.
Serangan itu menyebabkan 13 orang terbunuh dan mencederakan ribuan yang lain.
Walaupun kumpulan Aum Shinrikyo yang kini dikenali sebagai Aleph menyingkirkan Asahara pada 2000, ia tidak pernah diharamkan.
Asahara menjalani hukuman mati pada 6 Julai 2018. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca