SHAH ALAM - Kerajaan didesak supaya segera menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi mengelakkan kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan penguat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan didesak supaya segera menempatkan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang bagi mengelakkan kegiatan rasuah berleluasa dalam kalangan penguat kuasa.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, kehadiran pegawai SPRM sama ada secara disedari atau tidak, akan menjadikan mereka lebih berhati-hati dan menjaga integriti sebagai ‘penjaga’ pintu masuk negara.

"Kita tak boleh nafikan memang ada kes penguat kuasa yang bermaharajalela dan menyalah guna kuasa, malah ada antara mereka yang telah didakwa.

"Tapi kita tak boleh biarkan ia terus berlaku. Kerajaan perlu ada mekanisme untuk memantau perkara ini dan saya lihat cara terbaik adalah tempatkan pegawai SPRM di KLIA kerana ia adalah pintu masuk utama negara.

"Kita percaya dengan cara ini, lebih banyak perkara salah laku penguat kuasa dapat kita kawal dan bendung,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin, mengakui wujud segelintir penguat kuasa imigresen yang masih mengamalkan sistem dan amalan lama, dipercayai mengandungi unsur rasuah.

Beliau menegaskan, kerajaan melalui pihak berkuasa berkaitan perlu bertindak segera dan keras dalam menangani amalan tersebut agar ia tidak menjejaskan kerjaya, imej penjawat awam serta negara secara keseluruhan.

SPRM sebelum ini telah menempatkan pegawainya di beberapa agensi yang berisiko terlibat rasuah termasuk pejabat menteri besar dan pejabat setiausaha kerajaan negeri.

Menurut Garis Panduan Pengurusan Unit Integriti Agensi Awam SPRM, inisiatif menempatkan pegawai kanan SPRM di agensi kerajaan mula dilaksanakan di Telekom Malaysia Berhad pada tahun 2005 lagi dan Amanah Raya Berhad pada 2006.

Baru-baru ini pula, Pengerusi Mara, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memberitahu pihaknya bercadang untuk menempatkan pegawai SPRM di agensi itu dalam usaha memastikan urus tadbirnya berada pada tahap terbaik.

JAIS
JAIS

Sementara itu, Jais menjelaskan, kehadiran sindiket penyeludupan warga asing yang kini menggunakan laluan tikus dan jalan air di sempadan Malaysia-Thailand merupakan isu serius yang perlu ditangani dengan tegas.

"Sindiket ini memanfaatkan kelemahan dan kekurangan pengawasan di kawasan sempadan untuk melepaskan warga asing yang mempunyai masalah dokumen atau disenarai hitam oleh pihak berkuasa negara.

"Penguatkuasaan di sempadan perlu diperketat bagi memastikan aktiviti penyeludupan manusia ini tidak berlaku. Imigresen mesti bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan agensi keselamatan lain untuk meningkatkan pengawasan di sempadan,” ujar beliau.

Tambahnya, penggunaan teknologi seperti pengesan gerakan, kamera pengawasan dan sistem pemantauan sempadan boleh ditingkatkan kerana dapat membantu mengesan dan mencegah aktiviti penyeludupan manusia.

Pada masa sama, kerjasama dan komunikasi dengan pihak berkuasa negara jiran seperti Thailand wajar diperkemas untuk bertukar-tukar maklumat serta bekerjasama dalam menangani isu penyeludupan manusia berkenaan.

"Pendidikan dan kesedaran mengenai bahaya penyeludupan manusia harus ditingkatkan dalam kalangan masyarakat tempatan yang tinggal di sempadan dan warga asing itu sendiri.

"Imigresen juga wajib mengeratkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti polis, kastam dan SPRM. Ini akan membolehkan pertukaran maklumat dan koordinasi yang lebih baik dalam pencegahan dan penangkapan sindiket penyeludupan,” katanya.

KRONOLOGI INSIDEN KECOH DI KLIA

Khamis, 29 Jun 2023

Tular video seorang individu dipercayai menteri didakwa menceroboh dan membuat kecoh di Balai Ketibaan KLIA, Sepang bagi membebaskan seorang wanita pelancong China yang ditahan imigresen.

Jumaat, 30 Jun 2023

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengaku terlibat dalam insiden berkenaan, namun mendakwa tindakannya itu telah membawa kepada pendedahan amalan rasuah dalam kalangan pegawai imigresen di KLIA. Beliau juga membangkitkan masalah ketiadaan jurubahasa yang menyukarkan komunikasi antara pelancong dan pihak berkuasa.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh meminta Perdana Menteri memecat menteri terbabit.

Sabtu, 1 Julai 2023

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan semua menteri mempunyai pas khas (VIP) untuk memasuki setiap ruang di KLIA meskipun tidak menaiki mana-mana penerbangan.

King Sing menuntut satu siasatan terperinci dilakukan berhubung penyebaran video kekecohan membabitkan dirinya yang didakwa menyalah guna kuasa di KLIA. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memberi jaminan dakwaan oleh King Sing akan disiasat.Polis Selangor menerima laporan daripada seorang warga tempatan, Shariman Nordin berhubung tindakan menteri terbabit.

Ahad, 2 Julai 2023

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat lawatan mengejut ke KLIA dan memberi jaminan siasatan rapi akan dijalankan pihak berkuasa berhubung isu tersebut. Penolong Penguasa Imigresen, Syahmi Syafie Md Nazmil membuat laporan polis menafikan dakwaan wujud budaya rasuah dalam kalangan pegawai di KLIA dan menegaskan pelancong China berkenaan tidak dibenarkan masuk kerana tiada tiket pulang ke negara asal.

Isnin, 3 Julai 2023

Berucap pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, Anwar mengakui ada segelintir pegawai imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlibat amalan rasuah.

Selasa, 4 Julai 2023

SPRM mengesan ejen yang disyaki meminta RM18,000 untuk menyelesaikan masalah kemasukan seorang pelancong China yang tidak memenuhi syarat ketika tiba di KLIA.

Rabu, 5 Julai 2023

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberitahu siasatan penuh sudah dijalankan SPRM manakala pegawai yang fasih dalam pelbagai bahasa akan ditempatkan di KLIA.

Klik di sini untuk terus membaca