SETELAH tiga tahun berkonflik, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin akhirnya mencipta sejarah apabila hadir menemui bekas sekutu kuatnya, Tun Dr Mahathir Mohamad di rumah bekas Perdana Menteri dua kali itu di Seri Kembangan, Selangor.
Pertemuan itu dianggap signifikan susulan dua tokoh politik yang pernah menerajui negara itu, berpatah arang setelah Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertindak memecat Dr Mahathir bersama empat lagi ahli Parlimen sehaluan dengannya selepas peristiwa Langkah Sheraton daripada parti berkenaan pada Mei 2020.PRU,
Bagaimanapun, apabila PN menang besar di 74 kerusi majoriti pengundi Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun gagal membentuk kerajaan Pusat di Putrajaya, timbul gesaan supaya semua parti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu bersatu bagi mempertahankan kuasa politik kaum itu dalam kerajaan.
Hal ini susulan ada kelompok konservatif berhaluan kanan berpandangan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa tidak serius dalam mempertahankan kepentingan orang Melayu Islam.
Di pihak BN-PH pula, mereka menganggap dakwaan sebegini sebagai agenda politik PN yang cuba memainkan sentimen perkauman, agama dan institusi diraja (3R) menjelang pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos hadapan.
Justeru, apabila Dr Mahathir mengumumkan gerakan Majlis Proklamasi Melayu ala Kongres Maruah Melayu bagi menyuburkan semangat konservatif Melayu Islam, PN diterajui Muhyiddin menepati jangkaan untuk kembali bekerjasama dengan bekas pengasas Bersatu dan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) itu bagi menumbangkan musuh bersama mereka − Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan.
Ramai pihak melihat kerjasama baharu antara Muhyiddin dan Dr Mahathir itu mampu memberi implikasi besar kepada peluang PN menang pada PRN di enam negeri kelak.
Bagaimanapun, ada juga yang melihat keberadaan Dr Mahathir untuk bersama Muhyiddin menerusi kerjasama PN-Proklamasi Melayu, tidak lebih sekadar melakukan ayunan bandul terakhir yang berbaki bagi meraih sokongan maksimum pengundi Melayu pro PH-BN semata-mata.
Dengan PN menyasarkan untuk memuktamadkan perolehan undi Melayu sekitar 75 hingga 80 peratus, Muhyiddin dan Pas pastinya melihat kehadiran Dr Mahathir sebagai tonggak juru kempen paling berkesan bagi membangkitkan semangat Melayu Islam konservatif, terutama dalam kalangan pengundi berusia lebih 40 tahun.
Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, beliau melihat kehadiran Dr Mahathir tidak akan beri kesan langsung kepada kebangkitan gelombang sokongan Melayu terhadap PN kerana mereka sudah menerimanya secara maksimum pada PRU15.
"Terdapat juga kemungkinan penampilan Dr Mahathir bersama PN bakal menjarakkan lagi sokongan pengundi bukan Melayu kepada koalisi itu, pada saat sokongan mereka amat diperlukan bagi menawan Selangor dan Negeri Sembilan.
"Namun, PN sedar mereka tidak berpeluang memenangi sokongan pengundi bukan Melayu kerana kempen mereka dari PRU15 lagi sudah tidak tertumpu kepada pengundi segmen itu. Jadi saya lebih melihat kerjasama PN-Tun M ini bertujuan memburu saki baki undi penyokong Melayu yang masih bersama BN dan PH,” jelasnya kepada Sinar Premium.
Kerajaan Perpaduan gagal tunai janji
Bagaimanapun, seorang aktivis politik tempatan, Mohamad Shafiq Abdul Halim menolak idea kehadiran Dr Mahathir akan menjadi liabiliti kepada PN dalam konteks memenangi sokongan pengundi bukan Melayu pada PRN enam negeri.
"Sejak zaman Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun, orang bukan Melayu tiada masalah untuk menerima kepimpinan dan menyokong kerajaan beliau pada ketika itu.
"Meskipun skop perjuangan Dr Mahathir bersifat ultra Melayu, namun konteksnya adalah lebih teras dengan wajah beliau sendiri pun tidak menampakkan yang dirinya anti kaum bukan Melayu. Bukti paling jelas adalah pengumuman Dr Mahathir untuk menubuhkan Majlis Proklamasi Melayu langsung tidak dikritik parti-parti politik bukan Melayu,” ujarnya.
Mohamed Shafiq juga menjangkakan gabungan PH-BN bakal berdepan kehilangan hampir 20 peratus sokongan pengundi bukan Melayu pada PRN enam negeri disebabkan kegagalan Anwar dan Kerajaan Perpaduan memenuhi janji pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) selain belum memenuhi aspek kesaksamaan kaum diperjuangkan PH.
"Secara mudah, pengundi bukan Melayu yang menyokong PH kini melihat seolah-olah PH dikawal oleh UMNO selain Kerajaan Perpaduan dilihat bersifat janji tinggal janji.
"Faktor ini menyebabkan isu 3R ditimbulkan Kerajaan Perpaduan dengan menjadikan Pas sebagai fear factor kepada pengundi bukan Melayu. Parti Islam itu digambarkan sebagai parti ekstrem agama, sedangkan isu 3R timbul disebabkan masalah perbezaan ideologi politik antara PH yang lebih bersifat left centre dalam spektrum demokrasi sosial, manakala BN cuba menjadi pejuang Melayu Islam,” tegasnya.
Tun M masih ada aura
Sementara itu, penganalisis politik veteran, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling pula mengunjurkan sikap pengundi bukan Melayu terhadap Dr Mahathir bersama agenda Majlis Proklamasi Melayu sebenarnya bercampur-campur dan bukan menolak beliau sepenuhnya.
Sebagai contoh, Zainal mendedahkan masih ada sebahagian kelompok pengundi bukan Melayu yang lebih cenderung menyokong kekuatan kaum Melayu untuk mentadbir negara dengan mereka menganggap kuasa Melayu sebagai solusi mendatangkan kestabilan politik.
"Bagaimanapun, kita tidak boleh menafikan ada golongan yang menyokong ideologi DAP dan tidak bersetuju atas idea pengukuhan kuasa politik Melayu akan menjamin kestabilan negara.
"Atas sebab itu, kita lihat pada hari ini UMNO-BN dilemahkan dan tidak lagi memegang kuasa politik negara, sebaliknya mereka terpaksa bergantung kepada kerajaan campuran.
"Jika Dr Mahathir dan Muhyiddin dapat meneguhkan hubungan mereka, ada kemungkinan PN dapat menguasai lebih banyak negeri pada PRN kerana kekuatan Tun M adalah beliau pandai berhujah dan mampu menarik kepercayaan segmen pengundi yang tidak dapat ditarik PN pada PRU15,” ulasnya.
Klik di sini untuk terus membaca