MINGGU lalu berlaku insiden Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) campur tangan atas penahanan seorang pelancong wanita dari negara China di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri mendakwa pelancong itu yang gagal berkomunikasi ditahan dan diminta oleh ‘orang tengah’ untuk membayar sebanyak RM18,000 kerana gagal memenuhi syarat kemasukan ke negara ini. Sumber dalaman Jabatan Imigresen pula mendakwa menteri telah memasuki tempat larangan tanpa pas dan menyebabkan kekecohan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang giat menjalankan penyiasatan. Sebelum itu, sudah ada sekurang-kurangnya dua golongan yang cuba menangguk di air keruh.
Golongan pertama cuma menjadikan insiden ini sebagai satu pertembungan antara menteri dan penjawat awam. Muncullah pemimpin muda yang ingin menonjolkan diri sebagai pembela penjawat awam dan terus menuntut menteri terbabit dipecat sebelum penyiasatan selesai.
Golongan kedua berniat jahat ingin menjadikan ini isu perkauman. Menteri itu dikatakan campur tangan kerana kedua-dua dirinya dan pelancong yang ditahan itu adalah orang Cina, manakala pegawai Jabatan Imigresen adalah orang Melayu.
Ini seterusnya dikaitkan dengan tuduhan mungkin seramai 1.2 juta pelancong negara China kekal di Malaysia tanpa izin kerana seramai 7.18 juta masuk Malaysia dan cuma 5.95 juta yang tinggalkan Malaysia antara 2018-2021, menurut satu jawapan Kementerian Dalam Negeri di Parlimen.
Tujuan mereka yang menangguk di air keruh dengan menjadikan isu rasuah sebagai isu perkauman atau pembelaan penjawat awam senang difahami.
Ada yang inginkan Kerajaan Madani dihukum oleh pengundi Melayu dan penjawat awam dalam pilihan raya negeri (PRN) ini. Kononnya ini kerana dominasi DAP sungguhpun menteri itu bukan DAP pun. Ada pula yang harap pesalah-pesalah akan terlepas kalau kerajaan takutkan kemarahan pengundi.
Apakah isu sebenar yang perlu kita lihat di sini? Pertama, benarkah berlaku tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa berkaitan dengan kemasukan dan juga kehadiran tanpa izin selepas tamat visa? Kalau benar, maka ekonomi dan keselamatan negara telah pun terjejas, tidak kira dari negara dan kaum mana pelancong negara itu.
Sebab itu, tindakan menteri ini disokong pemimpin-pemimpin industri pelancongan seperti Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun dan Presiden Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA), Datuk Noor Zaleha Baharuddin. Mereka orang Melayu.
Kalau pelancong tidak datang ke Malaysia kerana takut ditahan dan diperas ugut, kita kekurangan pertukaran wang asing, ringgit akan terus merudum, semua rakyat Malaysia termasuk orang Melayu-Muslim sama-sama menanggung mudaratnya.
Kedua, kita mesti bersangka baik bahawa 99 peratus penjawat awam di Jabatan Imigresen dan agensi penguatkuasaan undang-undang melaksanakan amanah mereka dengan penuh kesetiaan dan integriti. Jangan kita membuat tuduhan liar.
Demi maruah dan nama baik Jabatan Imigresen dan penjawat awam, teramat penting satu peratus nila yang merosakkan susu sebelanga itu mesti diberkas dan dihadapkan ke muka keadilan.
Ketiga, kalau ada kekhilafan pada pihak menteri, tunggulah laporan siasatan akhir dan lihat apa tindakan dan penambahbaikan yang perlu diambil.
Mari kita semua jadi ‘rasuah buster’ untuk melawan rasuah dan penyalahgunaan kuasa sehabis-habisan. Kalau ada yang nak jadikan rasuah isu kaum untuk menangguk di air keruh, biar mereka dihukum sekuat-kuatnya pada PRN ini.
Dihormati kalau penuh bersusila,
Disukai kalau pandai bawa diri;
Jangan pilih kasih pada nila,
Sayangkan susu yang dicemari.
* Profesor Wong Chin Huat ialah Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway
Klik di sini untuk terus membaca