SHAH ALAM - Pelajar sekolah masa kini lebih memilih menjadi antisosial daripada bergaul dengan orang ramai serta mengelak daripada melibatkan diri dalam aktiviti keluarga dan rakan-rakan sebaya sehingga menyumbang kepada tekanan mental.
Menurut suri rumah, Izati Awang, 40, sebagai seorang ibu kepada anak lelaki berusia 14 tahun, dia menyedari anaknya bersikap antisosial dan suka menyendiri di dalam bilik sehingga tiada keyakinan diri untuk berhadapan dengan orang ramai.
"Anak saya memilih bermain permainan video dan berinteraksi dengan kenalan dalam media sosial sahaja serta terdedah dengan bahasa yang tidak baik atau tonton video yang berunsur keganasan sehingga emosinya terganggu,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, masalah kesihatan mental dalam kalangan pelajar didapati semakin membimbangkan dengan bilangan pelajar yang mempunyai idea untuk membunuh diri didapati meningkat kepada 13.1 peratus pada 2022 membabitkan lebih 4,300 orang, berbanding 10 peratus pada lima tahun sebelumnya.
Pekerja swasta, Kesumawati Kamarudin, 41, mengakui perceraian ibu bapa merupakan antara punca anak perempuannya berumur 17 tahun menghidap masalah kesihatan mental yang serius.
"Anak saya berada dalam fasa yang berat kerana dia yang sulung dipaksa menjadi dewasa dan bertanggungjawab menjaga dua orang adiknya.
"Saya juga sudah berkahwin semula dan penerimaan anak-anak terhadap ayah tiri ambil masa yang lama.
"Apabila saya nampak sendiri keadaan anak saya yang mengalami serangan panik, dari situ saya mula sedar masalah kesihatan mental adalah serius,” jelasnya.
Sementara itu, pembantu pengurus, Roslaini Radias, 40, menjelaskan, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah kemurungan anak perempuannya.
"Tekanan daripada pihak sekolah dan kami sendiri sebagai ibu bapa yang terlalu mementingkan skor dan gred peperiksaan sehingga terlepas pandang keadaan emosi anak yang baru berusia 14 tahun.
"Sekolah pada sesi pagi dan petang, ditambah pula dengan tuisyen yang silibusnya agak sukar untuk difahami juga menyebabkan anak saya tidak cukup rehat,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca