SHAH ALAM - Perubahan terhadap sistem pendidikan negara khususnya di peringkat sekolah wajar dilaksanakan dengan matlamat mengurangkan tekanan terhadap rutin harian remaja seterusnya sebagai langkah mengatasi isu masalah kesihatan mental golongan itu yang semakin membimbangkan.
Pensyarah psikologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Mohd Awang Idris berkata, kerajaan perlu melihat semula silibus-silibus dengan mengurangkan subjek yang tidak sepatutnya menjadi beban kepada pelajar.
Menurutnya, sekiranya ia tidak dibendung, dikhuatiri memberi kesan jangka masa panjang terhadap pembentukan kendiri remaja yang berisiko cenderung menjadi individu dewasa yang bersifat negatif.
"Alam persekolahan sepatutnya menjadi alam yang menyeronokkan. Tetapi remaja sekolah pada hari ini sama sibuk seperti golongan ibu bapa yang bekerja.
"Mungkin perlu lihat semula bagaimana kita boleh kurangkan subjek-subjek agar pelajar lebih santai menghadapi alam persekolahan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau mengulas laporan muka depan Sinar Harian berkenaan kesihatan mental dalam kalangan pelajar yang didapati semakin membimbangkan.
Tinjauan Kesihatan Remaja (AHS) oleh Institut Kesihatan Umum Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke atas 33,523 pelajar berusia 13 hingga 17 tahun pada tahun lalu turut mendedahkan peningkatan peratusan mereka yang mempunyai tingkah laku merancang untuk membunuh diri.
Berdasarkan dapatan AHS, seramai 10 peratus mereka merancang untuk membunuh diri pada 2022, berbanding 7.3 peratus (2017) dan 6.4 peratus (2012).
Mohd Awang menjelaskan, keinginan membunuh diri antaranya berpunca daripada kurangnya kemahiran penyelesaian masalah dalam diri remaja.
Katanya, kekurangan komunikasi dengan ibu bapa yang boleh mendengar masalah mereka juga menyebabkan golongan remaja terfikir mengambil jalan singkat sebagai penyelesaian.
"Kebanyakan silibus pendidikan kita juga adalah subjek umum. Tiada subjek khusus berkaitan survival skill. Berbeza di negara barat, yang turut menerapkan subjek tersebut dengan matlamat mengajar bagaimana pelajar mampu menyelesaikan masalah.
"Ibu bapa juga kini sibuk dan jarang berkomunikasi dengan remaja. Jadi sistem pendidikan kita perlu selari dengan perubahan yang berlaku dengan masyarakat di luar,” ujarnya.
Tambahnya, zaman remaja adalah penting kerana ini adalah proses yang membentuk konsep kendiri.
"Jadi kalau tidak dibendung dibimbangi akan membentuk konsep kendiri yang bersifat negatif. Ia akan membentuk karakter orang yang selalu murung dan mudah gelisah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca