SEPERTI yang kita semua ketahui, dunia telah menyaksikan banyak krisis dan skandal yang membawa kesan buruk yang diakibatkan oleh kegagalan kepimpinan.
Di Amerika Syarikat sebagai contoh, kita membaca mengenai kegagalan Enron. Dalam negara kita sendiri kita mempunyai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dalam kesemua kegagalan kepimpinan itu, terdapat peraturan, mekanisme tadbir urus dan tata kelola serta sistem pelaporan.
Namun, semua ini menjadi skandal kerana pemimpin-pemimpin tertinggi di organisasi terbabit berhenti mendengar hati nurani mereka dan tunduk kepada godaan dan kebendaan. Perkara yang sama boleh dikatakan berkaitan dengan kemusnahan alam sekitar kita.
Insiden Deepwater Horizon di Teluk Mexico bertahun-tahun yang lalu menunjukkan kesan buruk terhadap alam sekitar akibat kegagalan kepimpinan dalam organisasi multinasional yang diberi tanggungjawab untuk menguruskannya.
Semua kegagalan ini berlaku kerana seseorang di peringkat atasan memutuskan untuk mengejar keuntungan mengatasi keselamatan rakyat dan kesan terhadap alam sekitar.
Kita mengharapkan kepada pemimpin yang akan melakukan kebaikan dan membantu rakyat supaya menjadi lebih baik lagi. Sebaliknya kita sering dikecewakan dengan pemimpin yang tindak tanduk mereka dilihat gelojoh. Ini adalah jenis manusia yang meletakkan keuntungan diri mengatasi segala-galanya.
Tindakan gelojoh mereka demi keuntungan peribadi telah merosakkan alam sekitar dan menyukarkan kehidupan serta meninggalkan kita dengan bencana seperti banjir dan pencemaran hanya kerana kerakusan nafsu sendiri.
Mereka membenarkan kepentingan peribadi mengatasi kepentingan bersama dan mengaut kekayaan untuk diri mereka sendiri tanpa memikirkan tentang rakyat. Malangnya, ada dalam kalangan kita yang sanggup menjadi pengikut pemimpin seperti ini.
Walaupun banyak usaha telah dilaksanakan untuk melahirkan pemimpin yang baik serta usaha kerajaan memperkenalkan pelbagai mekanisme untuk mengawal salah laku dalam tadbir urus, namun individu yang tidak bertanggungjawab boleh menjadi lebih kreatif dan akan cuba memintas mekanisme yang sedia ada untuk kepentingan diri.
Kita boleh membina kereta paling selamat di dunia tetapi ia tetap akan menyebabkan kemalangan jika kereta itu dipandu oleh pemandu yang memandu tanpa memikirkan tentang orang lain.
Begitu juga, kita telah melihat terlalu banyak contoh organisasi dan negara yang dipimpin oleh pemimpin yang tidak mempunyai kompas moral yang baik yang telah menyebabkan kerosakan kepada organisasi dan negara tersebut.
Sambil kita merenung perjalanan negara ke arah merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), kita perlu bertanya sama ada kita mempunyai jenis pemimpin yang benar-benar komited kepada usaha ini dan yang akan memimpin Malaysia mencapai matlamat seperti yang diharapkan.
Mencapai matlamat SDG memerlukan komitmen semua pihak. Ia memerlukan pemikiran tertentu untuk komited kepada tujuan jangka panjang seperti pembangunan mampan. Ia memerlukan pemimpin yang memimpin dengan hati nurani mereka.
Pusat Kepimpinan dan Pembangunan Profesional (UM LEAD), Universiti Malaya yang ditubuhkan baru-baru ini dan akan diluncurkan pada 10 Julai ini sebagai sebuah pusat kepimpinan yang akan memberi tumpuan untuk melahirkan pemimpin yang akan bertindak dengan hati nurani mereka.
Kursus utama yang bakal ditawarkan akan memberi penekanan kepada empat modul penting yang diperlukan oleh semua pemimpin yang ingin memimpin dengan dipandu oleh moral kompas.
Kursus ini dikenali sebagai Purposeful and Principled Leadership. Penekanan akan diberi kepada nilai-nilai baik yang terkandung dalam konsep tadbir urus dan integriti.
Peserta juga akan didedahkan dengan konsep kepelbagaian dan kepentingan untuk meraikan budaya pelbagai etnik dalam Malaysia.
Kepentingan merancang masa depan dan membuat keputusan dengan bijak menggunakan teknik foresight dan data science juga antara penekanan yang akan diberikan dalam kursus ini.
Para peserta juga akan diberi peluang untuk berinteraksi dengan pemimpin-pemimpin pelbagai sektor yang telah berjaya dalam kerjaya mereka.
Kursus ini insya-ALLAH akan membantu melahirkan pemimpin yang diperlukan negara. Apa yang penting kita ingin memupuk pemimpin yang akan memberi inspirasi kepada masa depan agar lebih ramai rakyat yang dibantu dan masalah negara dapat ditangani.
*Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Pengarah di UM LEAD, Universiti Malaya. Beliau pernah menjadi Felo Utama di KITA, UKM, Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM
Klik di sini untuk terus membaca