SHAH ALAM - Perbuatan buli berterusan yang dialami pelajar sekolah boleh menyebabkan mangsa mengalami gangguan mental neurosis tahap serius hingga menyebabkannya berubah sikap menjadi ganas.
Pakar Psikologi dan Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Fauziah Mohd Saad berkata, gangguan mental yang tercetus akibat daripada perbuatan buli di asrama itu menyebabkan kesan emosi dan trauma di mana akhirnya menyebabkan mangsa bertindak luar kawalan.
"Orang introvert ini mereka tidak ada tempat support group (kumpulan sokongan) untuk berbincang, nak bercerita.
"Sebab kalau mereka bercerita, mungkin orang tidak akan percaya atau mereka takut lagi teruk dibuli. Jadi mereka berdiam diri,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Menurut Fauziah, apabila mangsa berdiam diri dan memendam perasaannya, tindakan itu akan menyebabkan tekanan serta depresi yang cenderung ke arah neurosis.
Jelasnya, mangsa yang menderita neurosis boleh dirawat dengan bantuan daripada kumpulan sokongan seperti ibu bapa, ahli keluarga, guru dan rakan-rakan sekeliling.
"Sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan traumatik, apabila mereka ada kumpulan sokongan, mereka boleh bercerita, meluahkan perasaan jadi mereka dapat melepaskan tekanan (stres), kebimbangan dan depresi mereka itu.
"Apabila ada kumpulan sokongan ini, mereka boleh membina daya tahan dalam diri mereka,” menurutnya.
Tambahnya, pihak sekolah juga perlu memainkan peranan dari segi pemerkasaan undang-undang bagi mengawal kegiatan buli yang seolah-olah menjadi tradisi biasa di sesetengah asrama.
"Saya selalu bercakap kepada masyarakat bahawa kaunselor perlu buat kempen kesedaran, membuat ujian saringan kesihatan mental sekurang-kurangnya dua tahun sekali ke sekolah.
"Jadi kita tahu tahap kesihatan mental pelajar-pelajar di asrama sekolah,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan pelajar lelaki Tingkatan Dua sebuah sekolah menengah Arab di Alor Gajah, Melaka yang berubah sikap didakwa akibat dibuli mengalami gangguan mental neurosis tahap serius.
Bagaimanapun, menurutnya, laporan diagnosis terhadap mangsa yang dipercayai mencekik adiknya hingga mati itu perlu dilakukan terlebih dahulu bagi mengesahkan tahap kategori gangguan mental yang dialami oleh remaja itu.
"Daripada senario yang ditunjukkan, mangsa mungkin berada dalam tahap neurosis yang serius dan sudah tentu corak pemikirannya, perasaan dan perilakunya turut terpengaruh,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca