MALAYSIA pernah didakwa menjadi pusat terpenting kitar semula sampah di dunia, termasuk sisa elektronik (e-sisa). Dikatakan lebih 1,000 tan e-sisa diproses semula di negara ini sebelum dihantar ke China pada setiap bulan.
Pada 2019, timbunan sisa plastik dikesan di Pelabuhan Klang dipercayai berasal dari Amerika Syarikat (AS). Paling menarik, data kerajaan AS mengesahkan Malaysia mengimport lebih 192,000 tan metrik sisa plastik pada 10 bulan pertama 2018, kenaikan 132 peratus berbanding 2017.
Fakta ini membuatkan penulis mengangkat kening membaca laporan British Broadcasting Corporation (BBC) News, Isnin lalu berkaitan isu sisa sampah, proses pengasingan dan kitar semula yang dianggap berbahaya.
Wartawan BBC, Jake Wakefield mendedahkan, betapa sisa buangan meningkat drastik di seluruh dunia.
Jake mengutip laporan Bank Dunia tahun lalu yang menyebut 2.24 bilion tan sisa pepejal dihasilkan setiap hari pada 2020 berbanding 2.01 bilion tan pada 2019.
Angka tersebut boleh melonjak 73 peratus kepada 3.88 bilion tan menjelang 2050 atau anggaran satu kilogram seorang setiap hari.
Penulis menyifatkan plastik sebagai satu permasalahan kritikal. Sejak awal 1950-an sehingga 2015, lebih 8.3 bilion tan sisa plastik telah dihasilkan.
Laporan statistik Universiti Georgia dan California yang disahkan Bank Dunia menyebut sisa plastik akan meningkat sekiranya ia tidak ditangani dengan cekap dan pantas.
Dalam hal ini, penulis tabik kepada inisiatif dimulakan saintis muda, Dr Mikela Druckman yang mencipta platform Greyparrot berpangkalan di Britain berteraskan teknologi kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) untuk mengenal pasti sisa daripada longgokan sampah, sekali gus mencadangkan jenis proses perlu dilaksanakan.
Greyparrot dibangunkan awal 2019 berasaskan platform analitik sisa AI bagi menjadikan pengurusan sisa dan kitar semula sumber ekonomi berpotensi tinggi. Ketika ini industri kitar semula dianggarkan bernilai bernilai AS$1.6 trilion (RM7.5 trilion).
Menggunakan sistem penglihatan komputer AI canggih, Greyparrot memantau, menganalisis dan menyisih aliran sisa buangan pada skala besar.
Penulis percaya isu pengasingan sisa pepejal dan proses kitar semula adalah teras agenda utama dalam program Matlamat Pembangunan Mampan atau Sustainable Development Goals (SDG) diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2015 berdasarkan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus atau Environmental, Social and Governance (ESG).
Melihat kepada isu yang dibangkit oleh BBC, penulis percaya sudah sampai masanya untuk kerajaan menyiasat dakwaan kononnya Malaysia menjadi tapak pembuangan sampah dunia.
Sekiranya dakwaan tersebut belum dapat dibuktikan, teknologi Greyparrot mungkin boleh digunakan mengesahkan kegusaran ramai pihak di negara ini. Hakikat Malaysia mengimport lebih 192,000 tan metrik sisa plastik pada 10 bulan pertama 2018 meyakinkan penulis bahawa isu sisa pepejal dan kitar semula perlu ditangani secara serius.
Penulis difahamkan teknologi Greyparrot boleh disepadukan ke dalam mesin dan robot daripada sistem pihak ketiga. Di sinilah pihak berkuasa tempatan (PBT), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh mengesan pencemaran dengan mudah menggunakan teknologi AI.
Laporan BBC juga menyebut penyelidikan Material Focus, sebuah organisasi yang berkempen untuk kitar semula produk elektrik pada tahun ini mendapati 1.3 juta vape dibuang setiap minggu di Britain.
Ini bermakna kira-kira 10 tan lithium masuk ke tapak pelupusan setiap tahun cukup untuk menggerakkan 1,200 bateri kereta.
Kesimpulan isu sisa pepejal, e-sisa dan vape boleh mendatangkan kemusnahan teruk kepada alam sekitar di negara ini sekiranya tidak ditangani dengan betul!
Klik di sini untuk terus membaca