SHAH ALAM - Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pertimbangan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori, mendapat reaksi positif pencarum. Tinjauan Sinar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung pertimbangan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori, mendapat reaksi positif pencarum.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, majoriti pencarum yang ditemui bersetuju dengan cadangan KWSP itu.

Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Nurashikin Mohamad Ngafan, 28, berkata, caruman KWSP merupakan simpanan pada masa depan di mana ia boleh digunakan untuk perbelanjaan harian dan ketika kecemasan.

"Keluarkan (wang) secara bulanan lebih bagus. Sekurang-kurangnya masih ada simpanan untuk kecemasan berbanding mengeluarkan secara keseluruhan,” katanya.

Pekerja sambilan, Asyraf Farhan Amir, 23, berkata, pelaksanaan pengeluaran secara bulanan mengurangkan risiko pembaziran sekiranya terdapat individu yang tidak cekap dalam pengurusan kewangan.

"Saya rasa risiko sangat tinggi jika pencarum itu keluarkan wang dalam jumlah yang banyak sekali gus kerana mereka akan lebih cenderung berbelanja perkara yang tidak penting,” ujarnya.

Eksekutif Jualan, Tan Lee Ching, 40, pula berkata, kaedah itu lebih efisien berbanding pengeluaran menyeluruh seperti yang dilaksanakan sekarang.

Turut bersetuju ialah pekerja kedai bakeri, Khairul Syahirah Mukhtasham, 21, yang berpendapat kaedah itu akan memudahkan pencarum membuat bajet untuk perbelanjaan bulanan.

"Boleh buat pengeluaran secara keseluruhan tetapi hutang atau pinjaman perlu didahulukan supaya wang caruman tidak habis begitu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, seorang juruteknik, Nurwahid Apendi, 27, berpandangan pengeluaran keseluruhan lebih baik berbanding berkala kerana pencarum boleh mengembangkan wang itu menerusi pelbagai platform pelaburan.

"Kalau keluar sekali gus, boleh digunakan sebagai modal untuk berniaga atau beli rumah. Bimbang bilasudah tiada (meninggal dunia), duit itu tidak sempat diguna,” katanya.

Penyelia projek, Lukmanul Hakim Abdul Halim, 25, berkata, wang pengeluaran penuh boleh digunakan untuk keperluan peribadi atau modal perniagaan alatan perkakasan rumah.

Ditanya mengenai risiko ditipu dengan skim penipuan masa kini, jelas Lukman, perkara itu boleh dielakkan sekiranya mengambil langkah berjaga-jaga daripada kegiatan berkenaan.

Pekerja swasta, R Kesavan, 22, mengakui mahu menggunakan wang caruman KWSP untuk kegunaan peribadi apabila sudah bersara kelak.

"Ketika kerja, tidak sempat ambil cuti. Apabila sudah pencen nanti, itulah tempoh untuk hargai diri sendiri dengan bercuti bersama keluarga menggunakan wang caruman,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca