SHAH ALAM - Pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serentak pada 12 Ogos nanti, disifatkan sebagai praktikal dan memudahkan banyak pihak.
Bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, pelaksanaan secara serentak itu memberi kebaikan kepada semua parti politik yang bakal bersaing merebut 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
"PRN secara serentak di enam negeri terbabit membolehkan semua parti politik bertanding menjimatkan kos berkempen seperti elaun pekerja parti, pengangkutan, logistik dan lain-lain kos bersangkutan.
"Selain itu, ia turut memberi kebaikan kepada SPR dan petugas pilihan raya serta agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu perjalanan proses PRN seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa tempatan di mana mereka hanya bekerja sekali (serentak) dalam semua aktiviti ketika pilihan raya,” katanya kepada Sinar Premium.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh pada Rabu, mengumumkan hari pengundian bagi PRN di enam negeri terlibat akan dilaksanakan serentak pada 12 Ogos nanti, manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal adalah pada 8 Ogos.
Wan Ahmad berkata lagi, tarikh pengundian 12 Ogos yang diumumkan SPR adalah tepat dan bersesuaian berikutan majoriti rakyat bercuti pada hari Sabtu.
"Tarikh 12 Ogos yang jatuh pada hari Sabtu adalah amat bersesuaian berikutan ia memberi kesempatan kepada pengundi luar kawasan untuk pulang melaksanakan tanggungjawab mereka.
"Penetapan tarikh mengundi juga tentunya mengambil kira jemaah haji yang akan pulang sebelum tarikh tersebut sekali gus memberi peluang untuk mereka turut sama mengundi,” katanya.
Jelas Wan Ahmad, mengundi pada hari Sabtu juga tidak mengganggu jadual para guru dan sekolah-sekolah yang digunakan sebagai pusat mengundi.
Berhubung tempoh berkempen selama 14 hari, Wan Ahmad berkata, ia lebih daripada mencukupi berikutan semua parti politik sebenarnya sudah lama berkempen walaupun tempoh rasmi hanya bermula pada 29 Julai.
"Tempoh kempen yang panjang hanya membakar suhu politik dan merosakkan ketenteraman hidup rakyat.
"Tambahan pula selain kempen bersemuka, kempen juga boleh dilakukan dengan lebih cepat dan berkesan secara digital bagi mencapai sasaran pengundi yang lebih luas pada PRN Ogos nanti,” katanya.
Sementara itu, bekas Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pelaksanaan PRN secara serentak adalah praktikal bukan sahaja dari segi penjimatan kos pilihan raya tetapi ia dapat mengelakkan politiking berpanjangan oleh parti politik bertanding.
"Politiking berpanjangan (semasa tempoh berkempen) boleh menimbulkan pelbagai isu, tohmahan dan fitnah yang boleh mencemar imej pilihan raya. Maka adalah lebih baik ia dilakukan secara serentak.
"Kita juga tidak mahu politiking berpanjangan ini akhirnya membuat rakyat letih dan muak.
"Proses pilihan raya juga sepatutnya berjalan lancar dan tenang agar rakyat dapat membuat pilihan dalam suasana paling kondusif,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca