SHAH ALAM - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran melihat beberapa faktor yang boleh menjadi loophole sebelum melaksanakan cadangan pengeluaran secara berkala atau bulanan bagi pencarum.
Pakar kewangan, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, langkah itu bertujuan memastikan proses pengeluaran berkala atau bulanan itu secara mandatori tersebut adil kepada semua pencarum.
Katanya, faktor penilaian ini berbeza-beza dari segi faktor suasana, situasi, latar belakang, pendapatan atau jumlah.
"Kalau ‘mandatorikan’ cadangan itu, saya rasa mungkin tidak adil kepada sesetengah orang yang mempunyai literacy (celik) kewangan yang sangat bagus dan baik.
"Di sisi lain, mungkin mereka ada rancangan sendiri yang sihat (bagus) oleh kerana pandai mengurus kewangan,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Bagaimanapun, ujar Azizul, pengeluaran secara berkala atau bulanan dilihat sesuai bagi sebilangan besar masyarakat dalam mengawal pengeluaran simpanan terutama bagi mereka yang tidak celik mengurus kewangan.
"Kalau tengok data (jumlah median simpanan) yang dikeluarkan KWSP baru-baru ini, kaum Cina hanya satu peratus, India 40 peratus dan Melayu sampai 70 peratus.
"Kenapa KWSP mengeluarkan cadangan itu? Ada dua faktor besar. Satu, mereka dapat duit caruman dan habiskan semuanya dalam tempoh satu tahun, duit lesap, digunakan untuk meniaga, gadai duit untuk kahwin lagi, baiki rumah, bantu anak berkahwin dan lain-lain.
"Kedua, golongan yang kali pertama pegang duit banyak dan lalai sebab kurang literacy kewangan,” ujarnya.
Tegasnya, KWSP mungkin berdepan cabaran dari segi membentuk kesedaran dan meyakinkan pencarum berhubung manfaat pengeluaran secara berkala atau bulanan.
"Namun cadangan pengeluaran secara berkala itu berkemungkinan mendapat tentangan banyak pihak terutama pencarum yang mahu semua simpanan untuk dirinya sendiri.
"Sebab orang awam ini, mereka rasa bila umur sudah 55 tahun, mereka perlu dapat semua duit itu. Mereka tidak peduli apa jadi selepas itu.
"Tetapi KWSP sebagai satu badan, sudah tentu akan merangka (cadangan tersebut) untuk kesan-kesan jangka panjang,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca