SHAH ALAM - Sistem politik semasa di Malaysia iaitu '1st Past The Post System' disifatkan 'zero sum game' yang tidak kondusif untuk parti kecil seperti Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menang pilihan raya dan berperanan selaku 'king maker' sama ada kepada kerajaan atau pembangkang.
Menurut Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi, sistem politik semasa yang diamalkan itu sebaliknya memberi kelebihan kepada parti-parti bersifat gabungan dan telah menjadi arus perdana seperti tiga blok utama politik.
Bagaimanapun katanya, peluang masih ada untuk parti-parti kecil dan alternatif ini memandangkan undi rakyat yang semakin kompetitif.
Jelas Anis Anwar, corak undi yang kompetitif ini mungkin baharu saja berlaku di peringkat persekutuan dan negeri-negeri di Semenanjung, tetapi dinamik undi seperti ini telah menjadi norma khususnya di Sabah serta memberi ruang dan peluang parti-parti tempatan di negeri itu mendapat tempat dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) mereka.
"Mereka perlu terlebih dahulu mengukur tahap sokongan rakyat kepada jenama Muda secara bersendiri sebelum bekerjasama dengan mana-mana parti gabungan sedia ada,” kata Anis Anwar kepada Sinar Premium.
Tambahnya, apabila tahap sokongan telah terbukti di kotak undi, barulah Muda boleh memasuki mana-mana rundingan dengan parti gabungan sedia ada sekali gus memposisikan diri mereka sebagai aset dan bukannya 'free rider'.
"Parti itu juga boleh membina blok pakatan politik keempat bersama-sama Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Warisan sebagai blok alternatif kepada pengundi spektrum kiri yang tidak berpuas hati dengan Pakatan Harapan (PH).
"Justeru, blok keempat ini boleh menjadi pilihan kepada mereka sekiranya pengundi spektrum kiri tidak bersedia mengundi blok konservatif seperti Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN)," katanya lagi.
Ujar beliau, sekiranya blok politik keempat ini berjaya ditubuhkan dan peranan yang dimainkan dalam demokrasi di Malaysia bersifat konsisten, pembentukan kerajaan di Malaysia akan menuju ke arah multi party system (sistem pelbagai parti) di mana pembentukan kerajaan campuran bakal menjadi norma dan setiap parti akan saling memerlukan antara satu sama lain.
"Hubungan kebergantungan ini di masa hadapan akan membolehkan parti-parti alternatif memiliki daya rundingan yang lebih besar dalam menuntut perubahan sistem pilihan raya berkadaran di Malaysia,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca