SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) wajar mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sedia ada, namun perlu menjalankan penilaian impak selama tiga bulan sebelum membuat sebarang pelarasan selanjutnya. Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) wajar mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sedia ada, namun perlu menjalankan penilaian impak selama tiga bulan sebelum membuat sebarang pelarasan selanjutnya.

Ahli Ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Muhamad Zharif Luqman Hashim berkata, penilaian impak itu dapat menganalisis kesan OPR semasa terhadap pelbagai aspek termasuk pendapatan rakyat dan perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Muhamad Zharif Luqman Hashim

"Dengan menilai kesan OPR ke atas PMKS, BNM dapat memahami kemungkinan akibat peningkatan OPR ke atas keupayaan meminjam dan melabur di dalam operasi PMKS.

"BNM juga boleh memperoleh pandangan tentang kesan peningkatan itu ke atas ekonomi, perniagaan dan rakyat,” katanya kepada Sinar Premium.Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM pada Khamis membuat keputusan untuk mengekalkan OPR pada 3.00 peratus.

Ia selepas MPC membuat keputusan luar jangkaan pada Mei dengan menaikkan penanda aras kadar faedah pinjaman dan tabungan itu sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Pada 3 Mei lalu, MPC menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Kenaikan OPR pada bulan Mei itu adalah pertama bagi tahun ini selepas penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit di Malaysia telah dikekalkan pada Januari dan Mac lalu pada paras 2.75 peratus.

Bekas pemimpin UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Shahril Sufian Hamdan ketika Podcast Keluar Sekejap (KS) pada Selasa meluahkan bahawa rakyat tidak sanggup menerima satu lagi kenaikan OPR, selain faktor luaran iaitu pilihan raya negeri yang bakal memberi implikasi kepada Kerajaan Perpaduan.

Menyokong pandangan tersebut, bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Othman Aziz berkata, kenaikan OPR bakal memberi implikasi kepada status kewangan rata-rata isi rumah.

Othman

"Sekiranya OPR meningkat sebanyak 25 mata asas, ia turut menaikkan kadar asas semalaman dan kadar pinjaman asas atau Base Lending Rate (BLR). Pengguna akan terkesan dengan peningkatan ini terutamanya mereka yang melakukan pinjaman jangka panjang seperti pinjaman perumahan.

"Rakyat juga menanggung bebanan kos pinjaman meningkat dan terpaksa ‘membayar lebih’ mengikut angka baharu yang ditetapkan dengan kenaikan OPR,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca