SHAH ALAM - MCA dan MIC perlu mempertimbangkan kembali keputusan mereka untuk hanya membantu calon daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN), demi kekukuhan dalam Kerajaan Perpaduan. Pengarah Komunikasi Parti Keadilan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - MCA dan MIC perlu mempertimbangkan kembali keputusan mereka untuk hanya membantu calon daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN), demi kekukuhan dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, walaupun tidak bertanding, parti komponen BN itu masih boleh berkempen untuk parti lain dalam gabungan berkenaan sebagai tanda kesatuan kerjasama.

"Kita harapkan mereka boleh pertimbangkan semula keputusan tersebut. Bertanding atau tidak sebenarnya adalah langkah politik. Jadi, kalau mereka buat keputusan tidak bertanding, maka boleh berkempen.

"Ia dibuat atas dasar apa, kita tidak tahu sebab itu keputusan dalaman BN (Barisan Nasional). Jadi, saya serah kepada mereka untuk selesaikan, cuma demi kekukuhan kerajaan bersama, mereka boleh pertimbangkan semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan MCA dan MIC yang tidak akan bertanding dalam PRN nanti dan menyatakan bahawa hanya akan membantu calon daripada BN.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, keputusan itu dicapai selepas perbincangan secara mendalam dan analisis serta mengambil kira situasi politik semasa.

Setiausaha Agung MIC, RT Rajasekaran pula menyatakan pendirian itu dibuat setelah meneliti keadaan politik semasa dan mendengar pandangan setiap ahli Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).

Dalam pada itu, Chean Chung berkata, ketetapan kedua-dua parti itu untuk bertanding atau tidak juga bergantung kepada rundingan dalam BN."Seperti mana Pakatan Harapan, mereka juga ambil langkah sama dengan berunding berapa kerusi yang dapat, perlu diagih dan berkompromi sesama mereka.

"Tetapi dari segi kempen, ia harus berjalan dan mereka juga sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan. Kalau tak suka calon di kawasan sendiri, ini adalah perkara biasa tapi kita kena buat demi kerja serta parti,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca