SHAH ALAM - Keputusan MCA dan MIC tidak bertanding serta hanya akan membantu calon daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti memperlihatkan hubungan tidak direstui antara gabungan parti politik dalam Kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan MCA dan MIC tidak bertanding serta hanya akan membantu calon daripada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti memperlihatkan hubungan tidak direstui antara gabungan parti politik dalam Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Kartini Aboo Talib@Khalid berkata, kesepaduan yang dicapai ketika ini diibaratkan indah khabar daripada rupa.

"Saya berpandangan, mereka mungkin melihat Kerajaan Perpaduan ini hanya mempunyai semangat bersama dalam parti-parti dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) sahaja melibatkan PKR (Parti Keadilan Rakyat), DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara).

"Sebab itu, kesepaduan yang dicapai dalam parti-parti politik antara gabungan iaitu PH-BN ibarat indah khabar daripada rupa, yang mana sebelum ini (Pilihan Raya Umum Ke-15) berkempen cakap tak serupa bikin antara PH dan UMNO.

"Suatu ketika dahulu UMNO telah bersumpah tidak akan bersama atau menyokong, kini bergabung dan bersama membentuk Kerajaan Perpaduan yang belum suci bersih daripada pertuduhan rasuah,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman MCA dan MIC yang tidak akan bertanding dalam PRN nanti dan menyatakan bahawa hanya akan membantu calon daripada BN.

Menurut Kartini, keputusan MCA dan MIC itu dibuat juga bersandarkan beberapa sebab, antaranya prestasi MIC dalam PRU14 dan PRU15 yang tidak begitu memberangsangkan.

MCA pula katanya, telah dapat membaca undi komuniti Cina yang pro-DAP.

"Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (Presiden MCA) dan Tan Sri SA Vigneswaran (Presiden MIC) pada November 2022 pernah mengusulkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Ini bermakna telah ada kesenjangan kepercayaan terhadap Ahmad Zahid sebagai rakan parti komponen BN. Ketiga, berundur hari ini untuk persediaan masa depan yang lebih kuat (PRU16) mungkin dilihat lebih baik buat MCA dan MIC kerana impak PRN tidak akan mengubah pembentukan kerajaan yang bergantung kepada kerusi Parlimen,” jelasnya.

Sementara itu, saintis politik daripada Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berkata, tidak timbul soal MCA dan MIC tidak merestui hubungan dengan PH atau tiada perpaduan antara gabungan Kerajaan Perpaduan.

Jelasnya, pada tahap sekarang, isunya adalah berkisar tentang pengagihan kerusi dalam BN dan bukannya antara PH-BN.

"Peraturan asas pembahagian kerusi antara parti-parti berpakat di Malaysia adalah kerusi yang dimenangi akan kekal di tangan parti penyandang sementara kerusi yang dimenangi oleh pihak lawan akan menjadi terbuka untuk rundingan.

"Maka, BN sebenarnya boleh dapat maksimum lima kerusi sahaja di Selangor dan tiga di Pulau Pinang. Tetapi BN diberi lebih banyak kerusi, misalnya 11 kerusi Selangor mengikut laporan.

"Ini bermaksud PH akan berikan enam kawasan yang disandang sekarang kepada BN. Kalau MCA atau MIC ingin bertanding, UMNO perlu kongsikan sebahagian kerusi yang dihadiahkan oleh PH.

"Hakikat MCA dan MIC tidak bertanding bermaksud UMNO rasa lebih penting untuk dirinya menang lebih banyak daripada memberi peluang kepada rakannya. Ini tidak menghairankan dan MCA serta MIC juga menerima realiti ini,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca