BEBERAPA hari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat pengumuman bahawa kementeriannya dalam proses memperkemas serta menyelaraskan peranan dan fungsi 31 agensi penggalak... Klik di sini untuk terus membaca

BEBERAPA hari lalu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz membuat pengumuman bahawa kementeriannya dalam proses memperkemas serta menyelaraskan peranan dan fungsi 31 agensi penggalak pelaburan (IPA) di Malaysia.

Langkah itu adalah antara usaha kerajaan untuk menguruskan IPA dengan lebih efisien dan patut diterima baik oleh semua pihak.

Sejak penubuhan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 1967, banyak IPA yang telah ditubuhkan dan ia telah mengakibatkan peranan bertindih dalam kalangan IPA.

Lebih-lebih lagi persoalan seperti peranan Invest KL timbul kerana fungsi agensi pelaburan adalah untuk menggalakkan pelaburan asing di tempat kurang pembangunan.

Kuala Lumpur antara kawasan di Malaysia mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita tertinggi. Secara rasional, Kuala Lumpur tidak memerlukan insentif luar biasa bagi menarik pelabur asing.

Di United Kingdom, agensi penggalak pelaburan utama ditubuhkan di bandar-bandar sekunder seperti Manchester, Birmingham dan Liverpool, sementara fungsi hab perniagaan di ibu kota London memberi tumpuan untuk mengekalkan pelabur serta membantu industri sedia ada mengembangkan perusahaan.

Di Malaysia, selain MIDA, terdapat IPA negeri dan pihak berkuasa koridor yang turut berfungsi sebagai IPA – Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Koridor Pembangunan Sabah, Wilayah Ekonomi Koridor Utara, Wilayah Pembangunan Iskandar dan Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak – pencapaian lima pihak berkuasa koridor ini sederhana.

Iskandar Malaysia yang bermula pada 2006 mempunyai matlamat menjadi zon ekonomi utama di kawasan selatan Semenanjung Malaysia dengan KDNK AS$93.9 bilion pada 2025, tiga juta penghuni dan 1.46 juta pekerjaan. Walaupun Iskandar Malaysia mengumumkan pencapaian 60 peratus dari segi pelaburan yang direalisasikan, tiada statistik untuk jumlah peluang pekerjaan dicipta.

Bagi IPA yang lain, kualiti pelabur menjadi masalah kerana pelabur dibawa masuk ke Malaysia kebanyakan pusat perkhidmatan syarikat-syarikat antarabangsa dan bukan pelabur berkualiti dalam industri pembuatan serta penghasilan diinginkan.

Walaupun hab pusat perkhidmatan sedunia mengupah rakyat Malaysia dan mencipta peluang pekerjaan, ia adalah bisnes yang boleh dialih ke negara lain dengan senang atau ditutup seperti IBM, T-Systems serta Shell. Misalnya, Shell telah memilih memindah perkhidmatan IT syarikatnya ke India kerana kos buruh lebih murah. Akibatnya, rakyat Malaysia terjejas kerana diberhentikan kerja.

Justeru, Kopitiam Kita menyambut baik usaha kerajaan Malaysia menyelaraskan IPA tetapi pertimbangan sewajarnya patut diberi kepada IPA negeri yang berpotensi menerima pelaburan asing dan sektor impak tinggi selari dengan trend teknologi semasa.

Sebagai contoh, industri kecerdasan buatan, tenaga hijau, keselamatan siber dan pengkomputeran awan yang memerlukan usahawan berkaliber serta berpengetahuan mengemudi pembangunan dalam industri-industri tersebut.

Kerajaan negeri patut mempunyai IPA tersendiri tetapi usaha itu perlu diselaraskan dengan IPA kerajaan persekutuan. Negara yang mempunyai rangka kerja IPA kerajaan negeri dan persekutuan yang baik ialah India – IPA persekutuan membuat penilaian kapasiti terhadap setiap IPA negeri dan latihan khas diberikan kepada pegawai IPA negeri berdasarkan keperluan masing-masing.

Berdasarkan kajian Bank Dunia terhadap kes IPA India yang diterbitkan pada 2021, lebih 40 peratus pelaburan langsung asing dibawa masuk oleh Invest India, IPA kerajaan persekutuan disalurkan kepada IPA negeri.

Invest India menjadi hubungan utama bagi pelabur asing dan badan pe-ngurusannya (ahli profesional) – sektor swasta diberi akses terus kepada pegawai kerajaan berjawatan tinggi.

Ia telah berjaya meningkatkan pelaburan langsung asing sebanyak 33 peratus selepas 2015 dan membawa masuk 701 projek pada 2019, antaranya 157 pelaburan ibu pejabat serta penyelidikan dan pembangunan berkualiti tinggi. Pencapaian India telah terbukti dan ia adalah model yang boleh dicontohi.

*Christine Cheah ialah seorang pemudi yang ingin mengangkat martabat wanita dalam kalangan masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca