SETELAH lebih enam bulan berteka-teki, akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos nanti sebagai hari pengundian bagi enam pilihan raya negeri (PRN). Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah,... Klik di sini untuk terus membaca

SETELAH lebih enam bulan berteka-teki, akhirnya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos nanti sebagai hari pengundian bagi enam pilihan raya negeri (PRN).

Enam negeri itu adalah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai, manakala bagi pengundian awal, tarikh ditetapkan ialah pada 8 Ogos.

Beliau berkata, bagi tempoh berkempen, ia ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon bertanding pada 29 Julai sehingga 11.59 malam, 11 Ogos.

Tidak keterlaluan untuk menjangkakan PRN kali ini bakal menjadi medan pertempuran politik perdana kedua terbesar selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Hal itu apabila keputusan pilihan raya umum lalu buat kalinya menyaksikan Parlimen tergantung dengan tiada koalisi mencapai angka majoriti mudah 112 kerusi membentuk kerajaan.

Berbeza pada PRU15, pertarungan calon-calon merebut 222 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melebihi dua penjuru, selain pertembungan antara koalisi pula melebihi tiga pakatan iaitu Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

PRN kali ini juga menyaksikan berlakunya konfigurasi semula gabungan politik apabila pembentukan Kerajaan Perpaduan membolehkan BN bekerjasama dengan PH buat julung kali.

Lebih menarik, parti Ikatan Demokratik Muda (Muda) yang sebelum ini bekerjasama dengan PH, membuat keputusan mengejut bertanding secara solo sekali gus menjadi blok ketiga mencabar PH-BN dan PN.

Dengan PN kekal diterajui Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas kini mendapat sokongan tambahan bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad, timbul persoalan adakah koalisi itu mampu mengekalkan sokongan majoriti pengundi muda yang ternyata memberi undi kepada mereka pada PRU15?

Daripada 21.1 juta rakyat yang layak mengundi pada PRU15, sejumlah 1.3 juta orang adalah kelompok berusia bawah 21 tahun yang mengundi buat pertama kali dan ramai pemerhati politik bersependapat PN berjaya menawan hati kelompok itu menerusi pendekatan kempen media sosial yang agresif melalui aplikasi TikTok.

Bagaimanapun, dengan 9.77 juta rakyat layak mengundi PRN, yang mana 2,831,025 daripadanya merupakan pengundi muda bawah 30 tahun dan 661,905 pula ialah pengundi bawah 21 tahun, hasrat PN mengekalkan gelombang sokongan kelompok ini kepada mereka hakikatnya penuh berliku.

Ia susulan seorang penganalisis politik berpandangan sifat 'tidak setia' pengundi muda membuka peluang kepada semua parti mendapatkan sokongan kelompok itu pada PRN.

Pensyarah Pengajian Polisi Universiti Malaysia Terengganu, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, tinjauan kaji selidik pasca PRU15 bersama Ilham Centre sehingga Mac lalu mendapati, pengundi muda yang majoriti memilih PN dilihat cenderung membuat keputusan lain.

"(Pada) PRU15, pengundi muda khususnya segmen Melayu Islam mengundi PN.

"Namun undi itu bersifat semasa dan bukan setia.

"Menjelang PRN nanti, kumpulan ini masih terbuka untuk menyokong mana-mana parti, bahkan dapatan menunjukkan sebahagian yang mengundi PN dalam PRU lepas telah menyatakan kesediaan untuk mengundi PH.

"Maksudnya sokongan mereka sangat dinamik dan boleh berubah-ubah mengikut situasi,” kata Yusri.

Rentak ayunan bandul Sentimen sama turut disokong Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Mujibu Abdul Muis yang melihat kelompok pengundi muda dijangka lebih bermaklumat, berpengalaman dan rasional dalam menentukan parti pilihan mereka.

Mengakui trend ayunan bandul pengundian kelompok ini masih ‘liar’ dan dinamik, Mujibu bagaimanapun menjangkakan undi orang muda tidak lagi mengalir secara majoriti ke arah PN sebagaimana PRU15.

"Ada beberapa faktor yang membawa perubahan trend itu iaitu kelompok pengundi muda bawah 30 tahun ini bukan pengundi partisan dan pengundi atas pagar.

"Sebaliknya, mereka bersikap tunggu dan lihat untuk meneliti perkembangan politik dalam tempoh dua bulan terakhir menjelang PRN di enam negeri, sebelum membuat keputusan untuk mengundi parti mana kelak.

"Saya percaya selepas penubuhan Kerajaan Perpaduan, faktor karisma Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencapaian baik kerajaan dalam menangani isu ekonomi serta keperluan anak muda bakal mempengaruhi pandangan dan perspektif mereka terhadap PH-BN,” ulasnya.

Mujibu turut melihat kelompok pengundi muda tidak melihat isu konflik dalaman di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan sebagai halangan untuk mereka mengundi koalisi perdana itu pada PRN enam negeri.

Jelasnya, hal ini kerana beliau merasakan pengundi muda lebih meyakini kesungguhan Kerajaan Perpaduan untuk membaiki keadaan ekonomi negara, tata kelola tadbir urus kerajaan dan pelan pembangunan masa hadapan golongan itu berbanding PN yang berterusan memainkan naratif perjuangan kaum dan agama.

"Mungkin ada sedikit persepsi terbentuk, tetapi mereka lebih melihat rasional daripada aspek keseluruhan usaha Kerajaan Perpaduan untuk membaiki keadaan sosioekonomi negara berbanding perancangan PN.

"Saya yakin anak muda akan lebih kritikal dan tidak akan membuat pertimbangan berasaskan kepartian.

"Sebaliknya mereka akan cenderung memilih koalisi mana yang mampu menangkap imaginasi mereka dari sudut inisiatif meningkatkan taraf kehidupan, peluang pekerjaan serta sistem pendidikan lebih proaktif dan kondusif,” tegas Mujibu.

Klik di sini untuk terus membaca