SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor menafikan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih ‘bertindih’ dan menjadi perundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bakal diserahkan kepada PH untuk ditandingi pada pilihan raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) Selangor menafikan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang masih ‘bertindih’ dan menjadi perundingan antara BN dan Pakatan Harapan (PH) bakal diserahkan kepada PH untuk ditandingi pada pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Pengerusinya, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata, dakwaan itu tidak benar kerana keputusan muktamad hanya akan diumumkan pucuk pimpinan kedua-dua koalisi dalam masa terdekat.

Berikutan itu, beliau mempertikaikan kesahihan sumber yang melaporkan dakwaan berkenaan memandangkan belum ada keputusan rasmi diumumkan mana-mana pihak.

"Setakat ini belum ada keputusan rasmi diumumkan. Jadi dakwaan PH mendapat tiga kerusi yang menjadi perundingan PH-BN di Selangor sebelum ini adalah tidak benar.

"Jadi saya berharap semua penyokong BN-PH supaya bersabar menunggu pengumuman rasmi dan jangan terpengaruh dengan khabar angin yang tidak diketahui sumbernya," katanya kepada Sinar Premium.

Megat Zukarnain berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan tiga kerusi yang menjadi perebutan antara kedua-dua gabungan parti kini sah sudah diserahkan BN kepada PH untuk ditandingi pada PRN Selangor kelak.

Sumber mendedahkan tiga kerusi DUN yang menjadi perebutan antara BN dan PH, sebelum ini adalah kerusi Dengkil, Meru dan Kuang.

Difahamkan, kerusi Dengkil dan Kuang dikatakan menjadi rebutan antara UMNO dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), manakala kerusi DUN Dengkil menjadi rebutan antara Parti Amanah Negara (Amanah) dan BN.

Selain itu, terdapat spekulasi mengatakan perbincangan kerusi DUN Selangor untuk ditukar di antara PH-BN turut melibatkan DUN Sungai Kandis disandang Mohd Zawawi Ahmad Mughni dari PKR, untuk ditandingi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dari UMNO-BN.

Sementara itu, Setiausaha PH Selangor, Mohd Khairuddin Othman menganggap isu perebutan tiga kerusi DUN antara PH dan BN sudah selesai sepenuhnya selepas perkara berkenaan diserahkan kepada Majlis Presiden kedua-dua koalisi itu untuk dimuktamadkan.

Mohd Khairuddin berkata, beliau difahamkan senarai penuh nama calon PH dan BN yang bakal bertanding pada PRN Selangor nanti, akan diumumkan sendiri oleh pucuk pimpinan tertinggi parti masing-masing sebelum hari penamaan calon yang ditetapkan 29 Julai ini.

Justeru, Mohd Khairuddin yang juga penyandang DUN Paya Jaras berkata, beliau menyerahkan kepada pucuk pimpinan PH untuk mengumumkan calon yang akan bertanding di kerusi tiga DUN itu.

"Pucuk pimpinan BN dan PH sudah mengadakan rundingan serta membuat keputusan mengenai parti mana bakal bertanding di semua DUN di Selangor dan lima negeri lain.

"Namun, keputusan muktamad mengenai jumlah dan kerusi mana bakal ditanding BN dan PH hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum hari penamaan calon kelak,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca