SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan pelaksanaan skim pencen pekerja swasta yang lebih pragmatik sebagai opsyen lebih baik berbanding cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan pengeluaran caruman secara berkala atau... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan disaran mempertimbangkan pelaksanaan skim pencen pekerja swasta yang lebih pragmatik sebagai opsyen lebih baik berbanding cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadikan pengeluaran caruman secara berkala atau bulanan bagi pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun secara mandatori.

Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia, Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman berkata, ini kerana majoriti pencarum KWSP yang mencapai usia persaraan telah mempunyai perancangan masa depan yang mungkin memerlukan mereka membuat pengeluaran secara penuh.

Justeru, beliau menegaskan cadangan menjadikan pengeluaran caruman KWSP secara bulanan sebagai mandatori adalah tidak praktikal, walaupun langkah itu mungkin mendatangkan manfaat kepada kerajaan bagi tujuan pelaburan strategik jangka panjang.

"Tiada keperluan menjadikan pengeluaran KWSP secara berkala atau bulanan ini sebagai mandatori. Sebaliknya apa yang penting adalah memberi pendidikan kepada pencarum untuk menguruskan kewangan dengan baik dan tidak melakukan pembaziran sewenang-wenangnya.

"Sebagai alternatif, mungkin juga boleh diwujudkan satu bentuk skim pencen swasta yang lebih pragmatik bagi memastikan pencarum pada umur persaraan mempunyai sumber pendapatan selain KWSP untuk kegunaan selepas bersara,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini media melaporkan KWSP memaklumkan sedang mempertimbangkan menjadikan pengeluaran berkala atau bulanan bagi pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun sebagai mandatori untuk ahli baharu dalam usaha membantu ahlinya mempunyai pendapatan pascapersaraan lebih stabil.

Dalam pada itu, Muhammad Daaniyall berkata, kajian teliti perlu dilakukan bagi mendapatkan reaksi dan pandangan pakar, majikan serta pencarum untuk menambah baik proses pengeluaran KWSP agar tidak membebankan mana-mana pihak terlibat.

"Pengeluaran KWSP secara berkala bermaksud dana menyusut secara berperingkat, sekali gus memberi peluang kerajaan membuat pelaburan strategik yang akhirnya akan kembali kepada rakyat.

"Namun, pencarum harus tetap diberi pilihan mekanisme pengeluaran mana yang lebih sesuai dengan situasi kewangan masing-masing setelah mencapai umur bersara.

"Tidak perlu jadikan pengeluaran bulanan ini mandatori, sebaliknya kekalkan ia sebagai opsyen sukarela seperti sedia ada,” ujarnya.

Turut senada ialah ahli ekonomi Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), Nur Azreen Mokhyi yang berpendapat, kerajaan wajar mempertimbangkan satu model skim persaraan lestari agar golongan pesara mempunyai sumber pendapatan lebih baik.

"Faktor ketidaktentuan ekonomi menjadikan masa depan golongan pesara amat kritikal, jadi adalah penting untuk mereka mempunyai sumber kewangan atau pendapatan yang kukuh setelah tidak lagi bekerja.

"Objektif model persaraan lestari ini adalah untuk membolehkan golongan pesara menjalani tempoh persaraan dengan lebih baik dan mempunyai pendapatan yang stabil,” katanya.

Sehubungan itu, Nur Azreen berkata, kerajaan juga wajar mempertimbangkan sebuah model gaji baharu merangkumi struktur tadbir urus gaji yang mampan dan garis panduan gaji khususnya untuk pihak swasta.

"Model gaji yang diperbaharui dengan mengambil kira peningkatan gaji pekerja dapat membantu golongan pekerja swasta meningkatkan keupayaan simpanan untuk kegunaan di hari tua kelak.

"Dengan adanya sumber kewangan yang stabil, pesara dijangka mampu mengharungi tempoh sukar dan kecemasan,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca