KETIKA ini tarikh enam pilihan raya negeri (PRN) sudah sah muktamad. Dengan pengumuman Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos sebagai hari mengundi, maka politik negara akan kembali riuh dan meriah.
Momentum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka berpanjangan. Ada beberapa perkara yang mungkin berlarutan. Walaupun berlaku perubahan landskap yang ketara selepas PRU15, situasi dan trend sepanjang PRU15 masih terbawa-bawa.
Paling jelas perihal undi Melayu yang jelas mengejutkan ketika PRU15 dan dijangka berterusan pada PRN. Kemampuan Perikatan Nasional (PN) menang 74 kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti pengundi Melayu diramal bakal berterusan.
Undi Melayu menjadi sangat penting sampai hal-hal yang aneh dan luar biasa timbul. Pertama, apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO meminta supaya ahli parti itu menyokong DAP pada PRN di enam negeri.
Lebih gempar, pertemuan dua bekas perdana menteri yang tiga tahun bersengketa kerana ‘Langkah Sheraton’ berlaku demi penyatuan Melayu yang barangkali bukan kebetulan kerana dekatnya PRN.
Menjangkakan Kedah, Kelantan dan Terengganu meneruskan momentum undi Melayu PRU15, maka PRN bagi Pulau Pinang, Selangor serta Negeri Sembilan bakal menguji sejauh mana fenomena tersebut mampu diteruskan.
Tiga negeri itu adalah ‘lapangan’ terbaik menguji hipotesis berkenaan undi Melayu. Berikutan demografi pengundi yang seimbang antara Melayu dan bukan Melayu, di samping Melayunya lebih moderat-konservatif, ia paling sesuai untuk membaca pola undian orang Melayu.
Membaca pola pengundian Melayu tidak terhad kepada PN sahaja. Oleh sebab tiga negeri tersebut dikuasai oleh Pakatan Harapan (PH), maka PH dan UMNO-Barisan Nasional (BN) termasuk di dalamnya.
Berbanding Terengganu, Kelantan (PH tidak kuat dan berpengaruh di dua negeri itu) dan mungkin Kedah, undi Melayu di Selangor serta Negeri Sembilan paling menarik untuk diperhatikan.
Secara mudah, melihat kepada perbandingan antara tiga negeri PN dan PH-BN, jelas menunjukkan bahawa undi Melayu menunjukkan variasi tidak seragam serta terpecah-pecah.
Faktor kemerosotan pengaruh UMNO dan masalah dalam parti, alergi terhadap DAP (kerana sentimen undi Melayu lebih bersifat kepartian berbanding kaum) serta kemunculan gabungan Pas-Bersatu sebagai alternatif kepada UMNO membawa kepada perubahan undi Melayu.
Ia menjadikan agihan undi Melayu tidak sekata antara parti dan pakatan. Penerimaan agihan undi antara Pas dan Bersatu, di sebalik kemenangan PN memperlihatkan hal tersebut. Ia turut berlaku terhadap UMNO dan PH, di sebalik PH memenangi kerusi Parlimen terbanyak antara kesemua parti bertanding.
Ketika PRU15, taburan undi Melayu memperlihatkan PN menerima manfaat daripada kemerosotan sokongan undi Melayu UMNO dan PH. Sokongan penyokong UMNO dan PH jelas menyumbang kepada perkara tersebut.
Justeru dengan pakatan antara PH-BN-UMNO pada PRN mendapatkan kembali sokongan yang hilang menjadi kunci utama.
Isunya, bagaimana untuk mendapatkannya? Ketika naratif Melayu-Islam PN masih bernada sama, PH-BN masih tidak muncul dengan naratif balas yang berkesan.
Paling parah, perbalahan sesama sendiri hanya menghidangkan peluang buat PN menguatkan naratif sedia ada tanpa perlu berbuat apa-apa.
Prasyarat kepada pakatan politik kuat dan berkesan memerlukan bukan sahaja akomodasi elit yang mesra, malah penerimaan akar umbi yang mantap. Malangnya, kedua-dua tersebut masih belum timbul buat PH-BN.
Yang pasti, peluang merebut undi orang Melayu kelihatan semakin terbuka dan sengit. Dengan UMNO tidak lagi mendominasi undi Melayu, di samping kelemahan (mungkin terlalu menumpu undi Melayu) PN menarik undi bukan Melayu, sokongan pengundi jelas sangat dinamik serta anjal untuk kekal kepada mana-mana parti.
Mengambil dapatan Bridget Welsh (2023) tentang undi Melayu ketika PRU15, pola sokongan dan pengundian orang Melayu adalah dinamik kerana mereka mencari wakil yang dapat memenuhi keperluan serta menangani kebimbangan mereka sebagai asas. Apakah hal serupa juga berulang pada PRN enam negeri akan datang?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi Mara (UiTM)