MASALAH buli dalam kalangan pelajar mempunyai persamaan dengan kes jenayah scammer. Kedua-duanya terus berlaku walaupun terdapat banyak nasihat dan usaha dilakukan bagi membanteras kejadian tersebut.
Berdasarkan laporan media pada tahun lalu, terdapat 38 kes buli berlaku di sekolah-sekolah di negara ini dalam tempoh empat bulan – Januari hingga April 2022 sahaja.
Terbaharu, kita dikejutkan dengan kes seorang abang berusia 14 tahun bertindak mencekik adiknya berusia sembilan tahun sehingga mati.
Menurut bapa mereka, anak sulung daripada empat beradik itu menjadi mangsa buli di sekolah sejak setahun lalu sehingga menyebabkan dia mengalami gangguan perasaan dan sering meracau.
Jadi, kita semua tertanya-tanya apa sudah jadi dengan usaha untuk membanteras kes buli di sekolah? Sejauh mana kejayaan program yang menempatkan pegawai perhubungan daripada pihak polis di sekolah? Bagaimana pula dengan pihak sekolah?
Apakah usaha-usaha yang serius untuk mendidik pelajar tentang kesan perbuatan buli telah dibuat? Bagi ibu bapa pula, ada yang ambil tahu dan prihatin dengan keadaan anak mereka di sekolah tetapi malangnya ada yang tidak begitu. Malah, ada segelintir daripada mereka inilah yang menjadi punca anak-anak menjadi seorang pembuli.
Kebanyakan pembuli datang daripada keluarga yang bermasalah, terlibat dengan jenayah, mengambil dadah dan juga menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Justeru, dengan kes buli terus berlaku dan tidak berkesudahan, kerajaan perlu mencari cara lain yang lebih berkesan bagi menangani masalah tersebut dengan segera.
Disebabkan banyak kes buli berlaku di sekolah, saya ingin mencadangkan supaya segala usaha yang dilakukan adalah sebahagian daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) pentadbir sekolah.
Usaha untuk melaksanakan program-program penerangan dan intervensi buli harus dijadikan keutamaan serta diberikan satu tanggungjawab besar kepada warga pendidik.
Persembahan ‘role play’Antara perkara lain yang boleh dilakukan adalah menerusi pendekatan persembahan ‘role play’ antara pembuli dan mangsa buli sehinggalah perbuatan yang mereka lakukan itu akhirnya mendapat balasan setimpal.
Ia boleh dilakukan sebagai sebahagian usaha untuk menanam dalam minda pelajar bahawa perbuatan membuli memberikan kesan cukup besar kepada semua pihak.
Selain itu, saya ingin mencadangkan Kementerian Pendidikan Malaysia dan kerajaan untuk menggunakan medium media sosial terutama TikTok bagi menyampaikan mesej anti buli dalam kalangan pelajar.
Ini kerana, menurut firma penyelidikan, Kepios yang menganalisis data media sosial dan penggunaan internet menyatakan hampir 27 juta orang atau 78.5 peratus penduduk di Malaysia menggunakan media sosial setakat Januari 2023.
Sementara itu, laporan tahunan dikeluarkan oleh sebuah lagi agensi iaitu Meltwater mendapati purata pengguna internet di Malaysia berusia antara 16 hingga 64 tahun menghabiskan masa selama dua jam 47 minit menggunakan media sosial setiap hari, lebih tinggi berbanding purata global iaitu dua jam 31 minit.
Meltwater menerusi laporan Digital 2023 juga mendapati pengguna internet di Malaysia secara purata menggunakan tujuh media sosial. Menurut agensi itu lagi, Malaysia adalah negara kelapan mempunyai capaian iklan TikTok paling tinggi di dunia dalam kalangan pengguna dewasa.
Usaha untuk melaksanakan kempen tidak boleh dilakukan secara bermusim, sebaliknya ia adalah satu langkah berterusan yang penting bagi menangani masalah buli di sekolah.
Masalah tersebut menuntut jiwa dan nurani kita semua berlaku adil serta kasihan kepada mangsa-mangsa buli. Jika tidak ditangani, kemungkinan besar suatu hari nanti genetik pembuli akan subur dalam hati mereka juga.
* Junhairi Alyasa ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca