BANYAK kejayaan positif yang direkodkan oleh ekonomi Malaysia bagi separuh pertama 2023, termasuk pertumbuhan 5.6 peratus pada Suku Pertama (S1) 2023 yang mengatasi pelbagai ramalan dan menjadikan Malaysia kekal mendahului banyak negara... Klik di sini untuk terus membaca

BANYAK kejayaan positif yang direkodkan oleh ekonomi Malaysia bagi separuh pertama 2023, termasuk pertumbuhan 5.6 peratus pada Suku Pertama (S1) 2023 yang mengatasi pelbagai ramalan dan menjadikan Malaysia kekal mendahului banyak negara serantau.

Dalam S1 2023 juga, Malaysia meluluskan pelaburan berjumlah RM71.4 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 60 peratus tahun ke tahun.

Inflasi pula berada pada kadar 2.8 peratus pada Mei 2023, terendah dalam tempoh setahun.

Pada Separuh Pertama 2023, komitmen pelaburan diraih Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melebihi RM230 bilion, manakala komitmen perdagangan pula lebih RM10 bilion.

Untuk Separuh Kedua 2023, kami akan mengembangkan usaha ke Eropah dan Timur Tengah dan berusaha untuk merealisasikan komitmen pelaburan pada Separuh Pertama 2023.

Walaupun terdapat pelbagai cabaran tahun ini, kerajaan tetap optimis bahawa Malaysia akan mencapai unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) empat hingga lima peratus.

Tetapi jangan alpa, kerana sektor perdagangan di serata dunia tidak akan sunyi daripada cabaran, terutamanya kerana ketidaktentuan global dan penguncupan eksport ke Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) pada Jun 2023, walaupun perdagangan global memulih pada S1 2023, prospek untuk sepanjang tahun ini kekal suram.

Dengan nisbah perdagangan kepada KDNK melebihi 130 peratus, Malaysia tentu sekali terdedah kepada kelembapan perdagangan global, jadi bagaimana kita boleh membina daya tahan negara? Satu cara ialah dengan meningkatkan daya saing negara.

TIDAK CUKUP TRANSFORMATIF

Baru-baru ini, Malaysia meningkat lima anak tangga dalam penarafan Daya Saing Dunia (WCR) Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) iaitu daripada tangga 32 (2022) kepada tangga 27 (2023). Ini membuktikan bahawa ekonomi kita di landasan betul.

Laporan itu yang menobatkan Malaysia sebagai ekonomi ASEAN kedua paling berdaya saing selepas Singapura menyatakan bahawa Malaysia berjaya dalam pengurusan kos, infrastruktur asas dan dasar cukai.

Namun, ada ruang untuk penambahbaikan dalam pembangunan bakat tenaga kerja sedia industri, pembaharuan kawal selia untuk memudahkan perjalanan perniagaan, pengutamaan digital untuk sektor kritikal dan pembangunan mampan.

MITI giat berusaha untuk meningkatkan pencapaian dalam semua aspek tersebut.

Contohnya, perkembangan bakat melalui inisiatif Akademi dalam Industri (AiI) membantu belia memperoleh kemahiran yang relevan untuk membina kerjaya yang baik dalam industri pembuatan, salah satu pemacu ekonomi kita.

Dikendalikan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), AiI menawarkan 300,000 peluang pekerjaan menjelang akhir tahun 2023 di dalam sektor berimpak tinggi seperti automotif dan semikonduktor.

Untuk meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan, MITI kini sedang giat memperkemas 31 Agensi Penggalakan Pelaburan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menerajui inisiatif ini.

Kami juga mengenal pasti 13 isu di sepanjang perjalanan pelabur dan berusaha untuk menanganinya segera.

Usaha ini penting dalam menarik, mengekalkan dan meningkatkan Pelaburan Langsung Asing dan Pelaburan Langsung Domestik.

Walaupun semua ini adalah inisiatif yang berfaedah, kesannya terhad dalam membina daya tahan industri pembuatan kita, yang secara amnya kurang bersedia untuk menangani pelbagai cabaran operasi.

Ini termasuk risiko geopolitik yang mengganggu rantaian bekalan, kekurangan sumber yang mengancam sekuriti sumber tenaga dan air serta bencana perubahan iklim yang mempertaruhkan kelangsungan hidup kemanusiaan.

Satu titik tolak yang boleh digunakan adalah perbandingan indeks kerumitan ekonomi. Analisa ini menunjukkan Malaysia ketinggalan berbanding ekonomi maju seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan dan Singapura.

Buat masa ini, penglibatan Malaysia dalam rantaian nilai pembuatan kekal tertumpu kepada segmen tambah nilai yang rendah.

Sebagai contoh, dalam sektor elektronik dan semikonduktor, tumpuan kita lebih kepada pemasangan dan ujian, bukannya reka bentuk.

Ini mengehadkan keupayaan kita untuk mewujudkan aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi.

Begitu juga bagi industri komoditi, pengeluaran utama Malaysia adalah minyak sawit mentah.

Di tahap tersebut, kita tidak memaksimumkan potensi faedah pendapatan tukaran wang asing yang lebih tinggi melalui penambahan nilai pemprosesan hiliran, satu penyumbang utama kekuatan Ringgit.

Malaysia mengalu-alukan keputusan pelbagai syarikat multinasional memindahkan operasi pembuatan mereka kerana ingin meningkatkan daya tahan rantaian bekalan berikutan ketegangan AS-China yang berterusan.

Namun, ini hanya sebahagian kecil daripada usaha holistik untuk membangunkan sektor pembuatan yang kukuh.

Jadi, bagi membina daya tahan industri pembuatan dan eksport, kita perlu satu usaha berbaloi, strategik dan lebih transformatif untuk merombak teras sektor pembuatan dan eksport bagi membina ekonomi lebih berdaya tahan.

STRATEGI HOLISTIK MITI

Di sinilah Pelan Induk Perindustrian Baharu MITI 2030 (NIMP2030) bakal memainkan peranan. MITI mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pihak bagi memuktamadkan dan memperhalusi NIMP2030 yang bakal dilancarkan pada Ogos. MITI juga akan mendorong pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) (termasuk peranti perubatan), kimia dan petrokimia, ekonomi digital, kejuruteraan aeroangkasa dan farmaseutikal.

Skeptis mungkin bertanya, apa bezanya NIMP2030 berbanding pelan induk industri sebelumnya?

Sebagai permulaan, kami tidak lagi mengambil pendekatan berasaskan sektor perindustrian.

Sebaliknya, pendekatan yang diambil adalah berlandaskan empat misi utama iaitu dengan memajukan kepelbagaian ekonomi; memfokuskan kepada teknologi untuk menjadi negara digital; mencapai sasaran Karbon Sifar; serta memastikan sekuriti ekonomi dan keterangkuman.

Objektif utama kami adalah untuk memastikan semua sektor ‘menjiwai’ misi-misi tersebut.

Ini menjanjikan kebarangkalian kejayaan yang lebih tinggi untuk mengembangkan peluang dan menjana gaji lebih tinggi bagi 2.4 juta individu atau 15 peratus daripada jumlah pekerja Malaysia yang berkhidmat dalam sektor pembuatan.

Industri pembuatan pada masa ini menyumbang 25 peratus daripada KDNK Malaysia dan 80 peratus daripada jumlah eksport negara.

Jelas sekali, transformasi sektor pembuatan pasti menjana pertumbuhan senegara lebih meluas dan pembinaan semula kelas pertengahan Malaysia pasca pandemik.

Misi NIMP2030 untuk mencapai karbon sifar juga akan disokong kuat oleh pelaburan disasarkan dalam ekonomi hijau seperti penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS), tenaga boleh diperbaharui, mobiliti elektrik, tenaga hidrogen dan teknologi peralihan karbon rendah.

Selanjutnya, Rangka Kerja Industri Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus Kebangsaan (i-ESG) bagi sektor pembuatan yang sedang dimuktamadkan juga akan menyokong penerimaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terhadap ESG.

Jika tidak, mereka mungkin tidak dapat mengakses pasaran yang peka ESG pada masa hadapan dan ini akan mengehadkan manfaat pelbagai Perjanjian Perdagangan Bebas yang giat dirundingkan oleh MITI.

Kesimpulannya, MITI fokus pada penambahbaikan jangka panjang untuk Malaysia.

Sebagai rakan kongsi utama bagi komuniti pelaburan dan perniagaan, pilihan adalah di tangan kita, biarkan cabaran global memaksa industri pembuatan kita ‘tutup kedai’ atau kita genggam bara api sampai jadi arang dalam melaksanakan pembaharuan yang serius bagi sektor pembuatan kita.

MITI memilih untuk menggenggam bara api sehingga jadi arang untuk terus membina keyakinan terhadap potensi pemulihan dan perkembangan ekonomi Malaysia.

* Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Klik di sini untuk terus membaca