BILANGAN pemikir Melayu yang secara konsisten melakukan analisis pengartikulasian politik bangsanya boleh dihitung dengan jari. Salah seorang daripada mereka yang masih berbuat demikian ialah Datuk Dr Firdaus Abdullah. Beliau seorang... Klik di sini untuk terus membaca

BILANGAN pemikir Melayu yang secara konsisten melakukan analisis pengartikulasian politik bangsanya boleh dihitung dengan jari. Salah seorang daripada mereka yang masih berbuat demikian ialah Datuk Dr Firdaus Abdullah.

Beliau seorang ilmuwan yang terdidik di tiga universiti berbeza di Amerika Syarikat tetapi tidak pernah luntur dalam membicarakan politik bangsa Melayu. Bagi beliau, berdasarkan sejarah, bangsa Melayu 'merupakan pewaris yang sah negara Malaysia' dan sewajarnya memainkan peranan utama dalam pembinaan negara bangsa Malaysia.

Sepanjang menjadi ahli akademik di Universiti Malaya (UM), bermula sebagai pensyarah sehingga akhirnya menjadi salah seorang timbalan naib canselornya, dan dalam kerjaya lain selepas itu, Firdaus tidak jemu-jemu membuat penelitian terhadap perjuangan politik Melayu.

Malah, syarahan perdana beliau untuk mengukuhkan kedudukan gelaran profesornya di UM pada 25 Mei 2003, membedah sejarah politik Melayu secara kritis dengan judul Antara Yang Dikendong Dengan Yang Dikejar.

Kemudian, syarahan perdana tersebut bersama esei-esei lain dan dua puisi panjang yang telah beliau hasilkan tentang analisis pengartikulasian politik Melayu itu ditulis semula dengan lebih mantap untuk diterbitkan menjadi sebuah buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka tahun ini. Judul yang diberi bagi buku tersebut ialah Antara Yang Dikendong Dengan Yang Dikejar Analisis Pengartikulasian Politik Melayu.

Beliau sendiri menganggap buku setebal 520 muka surat itu 'sebagai satu huraian sejarah politik Melayu sejak penghijrahan besar-besaran tenaga kerja dari tanah besar China dan India yang membawa perubahan besar terhadap demografi Semenanjung Tanah Melayu'.

Buku terbaharu oleh Firdaus dibahagikan kepada lapan bahagian besar atau bab utama. Bab pertama - sebuah prolog yang mengandungi dua puisi panjang dan satu naskhah syarahan perdana yang telah disampaikan di UM.

Enam bab berikutnya pula adalah esei-esei yang menyentuh mengenai mengenai topik lebih khusus yang diperkenalkan untuk memastikan apa yang dikendong oleh orang Melayu tidak keciciran, manakala yang dikejar tetap menjadi genggaman.

Antaranya, Alam Melayu – warisan dan wawasan, membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat, sepakat dan sengketa dalam masyarakat majmuk, menggugat kontrak sosial mengingkari tradisi, revolusi mental dan perubahan sikap dan pemimpin politik, pentadbiran awam dan pemerhatian sasterawan.

Bab kelapan pula dinamakan sebagai Epilog. Ia bolehlah dianggap sebagai renungan patriotik Firdaus terhadap masa depan bangsanya kerana dalam bab itu beliau sampaikan tiga wasiat atau pesanan untuk bangsa Melayu.

Pertama, memahami ikhtisar sejarah dan misi perjuangan bangsa. Kedua, mengukuhan azam dan iltizam serta membina akal dan akar serta ketiga menghayati kesinambungan perjuangan melalui sembilan puisi terpilih tentang watan, warisan dan wawasan.

Bagi Firdaus sendiri buku itu diharapkan menjadi satu penghayatan terhadap perjuangan bangsa Melayu sepanjang sejarah kewujudannya terutama sejak dirempuh kuasa-kuasa asing dari benua Eropah dan Asia – pada mulanya oleh Portugis, diikuti Belanda, kemudian Inggeris dan masa perang dunia kedua oleh Jepun dan kembali kepada Inggeris sehinggalah kita merdeka pada 1957.

Sekurang-kurangnya ada tiga ciri lain yang menarik mengenai karya terbaharu Firdaus.

Pertama, sebagai pemikir ulung bangsanya, Firdaus membicarakan kesinambungan perjuangan politik Melayu bersandarkan falsafah orang Minangkabau yang terkandung dalam peribahasa berbunyi - adat bersendikan syarak dan syarak bersendikan kitabullah.

Kedua, kepentingan politik Melayu itu dilihat dalam konteks serumpun melalui konsep 'nusantara' yang pernah diperjuangkan pemimpin Melayu Malaysia dan Indonesia terdahulu. Dengan berbuat demikian, Firdaus berharap ia dapat menyemarakkan minat terhadap konsep bangsa-bangsa serumpun itu sendiri dan timbul minat mengkaji kembali aspek dan susur galur konsep tersebut yang dapat memberi sumbangan terhadap perkembangan tamadun umat manusia.

Ketiga, bagi setiap lapan bab buku ini, Firdaus telah memperkenalkan catatan hujung yang merumuskan mesej utama ingin disampaikan kepada khalayak.

Sesungguhnya karya terbaharu Firdaus patut menjadi renungan patriotik orang Melayu terutama dalam kalangan generasi muda jika mereka tidak mahu kehilangan keperibadian dan kehilangan akar Melayunya dalam peradaban bangsa Malaysia yang sedang rancak dibangunkan.

Dengan itu barulah yang dikendong tidak keciciran, yang dikejar berada dalam genggaman.

* Datuk Dr Chamil Wariya ialah Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI)

Klik di sini untuk terus membaca