KEBELAKANGAN ini isu keselamatan dan sempadan di Laut China Selatan menjadi perbualan masyarakat antarabangsa terutama bagi negara-negara Asean seperti Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia serta Brunei.
Ia berikutan aktiviti berterusan oleh China yang menjalankan eksplorasi-eksplorasi lautnya berdasarkan peta Nine Dash Line (NDL) mereka yang ditentang negara-negara Asean.
Bagaimanapun, pada Julai 2016, Mahkamah Timbang Tara Tetap di Hague memutuskan bahawa persempadanan semula NDL tidak boleh digunakan oleh Beijing untuk membuat tuntutan bersejarah ke atas Laut China Selatan.
The Hague membuat keputusan China tiada asas undang-undang untuk membuat tuntutan maritim sedemikian.
Sejak itu China menjadi agak agresif dalam menimbulkan provokasi di Laut China Selatan. Mereka melakukan pembinaan pulau buatan, kapal-kapal China kerap kali menguji kawalan sempadan negara lain di Laut China Selatan kerana menyedari negara-negara Asia Tenggara terlalu kecil untuk menentangnya.
Pencerobohannya yang tidak henti-henti ke dalam perairan dipertikaikan tanpa persetujuan walaupun selepas pelbagai amaran dan penyeliaan memberi gambaran merisaukan bahawa China mungkin bertindak lebih kasar pada masa hadapan.
Tahun ini sahaja penganalisis keselamatan antarabangsa melaporkan bahawa kapal nelayan China, kapal pengawal pantai dan rondaan tentera laut telah berulang kali melanggar zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina, Vietnam, Malaysia serta Indonesia.
Terdapat juga laporan media antarabangsa mengenai penampakan dan pencerobohan kapal Pengawal Pantai China di Kasawari Oil Field serta Beting Patinggi Ali yang terletak dalam sempadan Malaysia.
Walaupun semua negara yang mempunyai sempadan maritim di Laut China Selatan membantah tindakan China, namun cara menangani provokasi China itu sangat berbeza.
Vietnam paling agresif menentang provokasi China. Bulan lalu, mereka menerima kehadiran sebuah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) dan dua kapal penjelajah peluru berpandu bagi lawatan persahabatan selama enam hari.
Minggu lalu, negara tersebut mengumumkan pengharaman filem Barbie kerana memaparkan peta China berdasarkan NDL tidak diiktiraf. Turut menjadi mangsa pengharaman ialah konsert kumpulan popular, Blackpink yang dijadualkan di Hanoi akhir bulan ini kerana penganjur konsert telah menerbitkan peta wilayah Laut China Selatan yang kontroversi itu dalam laman web mereka.
Filipina tidak terkecuali menegaskan pendirian mereka. Terbaharu, mereka mendapatkan sokongan India bagi mengiktiraf keputusan The Hague.
India sebelum ini mengambil keputusan tidak berpihak kerana tidak mahu berkonflik dengan China. Namun, mesyuarat Suruhanjaya Bersama India-Filipina kelima bulan lalu mengumumkan kedudukan India untuk menyokong keputusan The Hague mengenai Laut China Selatan.
Bagaimanapun, Indonesia dan Malaysia - dua negara yang menerima banyak pelaburan serta hutang dari China tampak mengambil pendirian lebih lembut.
Indonesia pada 2016 pernah menembak bot nelayan China kini mengambil pendekatan sedemikian. Terbaharu, Indonesia dikatakan mengubah lokasi latihan ketenteraan bukan pertempuran bersama ASEAN yang pertama dari kawasan Laut China Selatan yang kontroversi ke sekitar pulau Latuna Selatan bagi mengelak sebarang kritikan China.
Malaysia pula sekadar mengulangi pendirian untuk meneruskan pendekatan diplomatik dalam usaha memastikan Laut China Selatan kekal aman, stabil dan selamat bagi laluan perdagangan.
Sebagai negara kecil, kita pasti tidak mahu berkonfrontasi ketenteraan dengan China tetapi sebagai negara berdaulat, langkah berhati-hati dan menunjukkan pendirian tegas perlu ditunjukkan.
Malangnya, Malaysia tampak sekadar bersikap tidak apa, berbangga dengan pelaburan dan keaktifan syarikat China di negara ini. Ada syarikat dari China yang telah disenarai oleh banyak negara sebagai berkemungkinan mengutip data perisikan masih mendapat peluang luas termasuk memasang teknologi pemantauan di dalam hutan belantara di kepulauan Borneo.
Kini disebut-sebut syarikat tersebut akan turut terlibat dengan pelaksanaan 5G negara. Ia sangat membimbangkan. Tidak ada syarikat asing akan menawarkan pakej terlalu lumayan tanpa kelingking berkait.
Walaupun kita tidak boleh menolak kehadiran China sebagai kuasa besar ekonomi dunia, namun Malaysia perlu menilai kebergantungan secara keterlaluan kepada syarikat dan pemodal dari negara itu.
Jangan menang sorak, kampung tergadai!
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca