PADA 19 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa langkah menyokong pasaran modal dan memperkukuhkan mata wang ringgit. Tiga minggu sudah berlalu. Indeks Komposit Bursa Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 19 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan beberapa langkah menyokong pasaran modal dan memperkukuhkan mata wang ringgit.

Tiga minggu sudah berlalu. Indeks Komposit Bursa Malaysia jatuh 8.9 mata daripada 1,386.57 pada 19 Jun kepada 1,377.67 pada 7 Julai. Dalam bahasa mudah, harga saham di Bursa Malaysia masih mendatar kerana minat pelabur tidak bertambah baik.

Sebaliknya, media massa melaporkan jualan bersih oleh pelabur asing mencecah RM4.19 bilion dalam masa enam bulan pertama tahun ini, sekali gus menghapuskan hampir semua belian bersih bernilai RM4.4 bilion sepanjang tahun 2022. Maknanya, kemasukan bersih setahun hilang dalam masa enam bulan.

Penganalisis Maybank Investment Bank, Wong Chew Hann berkata, dalam bulan Jun, pengaliran keluar bersih adalah sebanyak RM1.35 bilion. Aliran itu telah berlarutan 10 bulan berturut-turut.

Akibat penjualan tersebut, pegangan asing di Bursa Malaysia jatuh di bawah 20 peratus kepada 19.9 peratus setakat 30 Jun iaitu kadar paling rendah sejak krisis kewangan global 2007-2008.

Kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika terus merosot. Jika pada 19 Jun, kita memerlukan RM4.62 untuk membeli AS$1, pada 7 Julai kita perlukan RM4.67. Macam perniagaan di Bursa Malaysia juga, nilai ringgit mendatar.

Baiklah, kita boleh kata tiga minggu terlalu singkat untuk pasaran memberi respons tetapi kalau kita kira dari tarikh Anwar mengangkat sumpah jawatan pada 24 November lalu pun, dua petunjuk itu masih negatif.

Tidak tahulah apa lagi boleh kita kata mengenai kadar tukaran ringgit dan pasaran modal. Yang berminat bolehlah terus membuat kajian kerana sekarang ini ada banyak maklumat boleh didapati dengan percuma dan cepat atas talian, lagi-lagilah dalam bahasa Inggeris.

Misalnya, menurut pangkalan data antarabangsa, CEIC Data, kadar tukaran bulanan ringgit paling buruk sejak 1957 adalah RM4.695 yang dicatatkan pada Oktober 2022 dan paling baik RM2.122 pada September 1980. Jadi, kadar sekarang sudah hampir kepada paras paling buruk.

Sejak 2021, mata wang paling kukuh dan stabil di dunia ialah franc Switzerland serta dolar Kanada. Ia kerana dua negara itu stabil dari segi kewangan dan politik. Di negara mana pun di dunia, kestabilan politik sangat penting.

Mata wang lain yang juga kukuh ialah Euro, dolar Pulau Cayman, pound Inggeris, dinar Jordan, rial Oman, dinar Bahrain dan dinar Kuwait.

Alasan yang kerap diberikan mengapa ringgit lemah adalah dasar Amerika Syarikat (AS) menggunakan kadar faedah bagi mengukuhkan dolar dan mengawal inflasi.

Kadar inflasi AS adalah 4.05 peratus berbanding Malaysia, 2.8 peratus pada Mei lalu. Harga makanan di AS diramalkan naik enam peratus tahun ini berbanding lima peratus yang diramalkan untuk Malaysia.

Bagi AS okeylah. Ia bukan sahaja mengeluarkan cukup makanan ruji seperti gandum dan jagung untuk kegunaan dalam negara, malah adalah antara pengeksport makanan terbesar dunia. Sebaliknya, kita amat bergantung kepada makanan import. Nilai ringgit yang rendah menyebabkan barang-barang import mahal.

Minta maaflah saya menulis mengenai perkara ini berulang kali tetapi selagi tidak diatasi, ekonomi kita dan kehidupan rakyat jelata akan terus bermasalah.

Yang sangat saya takuti adalah kita di Malaysia hendak hidup senang dan bergaya tetapi kurang berfikir, merancang serta melaksana. Atau banyak bercakap tapi kurang bekerja.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca