KITA kini sedang menanti berlangsungnya pilihan raya enam negeri bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk negeri-negeri berkenaan. Artikel kali ini tidak membincangkan keahlian DUN di Malaysia tetapi keahlian Dewan Negara di... Klik di sini untuk terus membaca

KITA kini sedang menanti berlangsungnya pilihan raya enam negeri bagi melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk negeri-negeri berkenaan. Artikel kali ini tidak membincangkan keahlian DUN di Malaysia tetapi keahlian Dewan Negara di peringkat persekutuan.

Struktur legislatif negara terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara, mirip sebagaimana terdapat di England iaitu House of Lords serta House of Common.

Di England, House of Common seperti Dewan Rakyat, manakala House of Lords dilantik dalam kalangan bangsawan, ilmuwan dan badan bukan kerajaan. Jelaslah terdapat pemisahan fungsi dewan tersebut. Sistem seumpama itu juga menjadi amalan di beberapa negara lain.

Di Malaysia, Parlimen terdiri daripada Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Ahli Dewan Rakyat terdiri daripada mereka yang menang pilihan raya dan dalam kalangan ahli politik. Ahli Dewan Negara pula dilantik mewakili 13 negeri di Malaysia – setiap negeri akan melantik dua orang ke Dewan Negara.

Kerajaan Persekutuan pula akan melantik baki ahli Dewan Negara, terdiri daripada dua orang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, masing-masing seorang bagi Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya, manakala 40 yang lain dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 45 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara itu sebenarnya tidak asing di Malaysia. Di kebanyakan negeri memang telah mempunyai dua dewan iaitu DUN dan Dewan Diraja. Ahli DUN dipilih melalui pilihan raya, sementara ahli Dewan Diraja dilantik oleh sultan, terdiri daripada golongan bangsawan ilmuwan dan orang yang dihormati dalam masyarakat.

Dalam hal demikian, amat perlu transformasi dilakukan kepada Dewan Negara iaitu dengan mengambil kira pelantikan ahli dalam kalangan tokoh masyarakat, ilmuwan dan orang dihormati. Disebabkan fungsi dewan yang berlainan, di samping menjadi check and balance antara satu sama lain, amatlah wajar kedua-dua dewan itu diisi oleh golongan berlainan.

Dewan Negara tidak seharusnya dimonopoli oleh ahli-ahli politik dan tidak hanya dianggap sebagai ‘rubber stamp’. Fungsi sebenarnya akan lebih menyerlah kepada rakyat jelata.

Memang sudah ada lantikan dalam kalangan bukan politikus sebagai ahli Dewan Negara, namun jumlahnya amat kecil berbanding ahli-ahli politik sehinggakan kadangkala Dewan Negara dilabel sebagai tempat orang kecundang pada pilihan raya.

Penulis percaya dengan pelantikan ahli Dewan Negara daripada kalangan bukan politikus, perbahasan akan menjadi lebih ilmiah, mantap dan berkesan. Namun, penulis sedar keperluan melantik beberapa ahli dalam kalangan politikus tetapi golongan berkenaan jangan sampai mendominasi Dewan Negara.

Perkara 45(2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan ahli Dewan Negara yang dilantik Yang di-Pertuan Agong hendaklah daripada kalangan mereka yang cemerlang dalam perkhidmatan awam atau telah mencapai kecemerlangan dalam profesion, perdagangan, industri, pertanian, aktiviti budaya atau perkhidmatan sosial atau wakil kumpulan minoriti.

Berdasarkan kelayakan yang dinyatakan, jelas bahawa kelayakan menjadi ahli Dewan Negara tidaklah ditumpukan kepada mereka yang bergiat dalam politik semata-mata.

Transformasi keahlian Dewan Negara dengan melantik lebih ramai bukan ahli politik dan memberi peluang kepada cendekiawan, individu berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing tanpa melupakan golongan minoriti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan sangat perlu dibuat.

Bagaimanapun, penulis tidak sesekali memperkecil atau memperlekeh peranan ahli politik sebagai pembuat undang-undang. Yang ingin disarankan hanyalah penambahbaikan kepada sistem yang ada agar ia menjadi lebih murni dan efektif.

Insya-ALLAH, dengan transformasi tersebut, kita akan dapat melihat perbahasan lebih menarik tidak diikat dengan politik kepartian dan usul dibincangkan akan menjadi lebih komprehensif.

Rakyat dan kerajaan perlu membuat anjakan minda dengan berfikiran membuat undang-undang bukan lagi dimonopoli ahli politik sahaja tetapi dikongsi bersama cendekiawan, golongan dihormati masyarakat serta mereka yang telah berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca