SHAH ALAM - Hasrat bilionair, Elon Musk untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi petunjuk kepada dunia bahawa Malaysia menjadi negara yang stabil untuk syarikat-syarikat gergasi global melabur. Pakar Ekonomi,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hasrat bilionair, Elon Musk untuk berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi petunjuk kepada dunia bahawa Malaysia menjadi negara yang stabil untuk syarikat-syarikat gergasi global melabur.

Pakar Ekonomi, University College I-Cats, Kuching, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia juga memberi isyarat bahawa keyakinan pelabur besar dunia terhadap Malaysia ketika ini sudah mula wujud.

"Saya gembira dengan berita tersebut kerana selama ini kalau di rantau Asia Tenggara, Elon yang memiliki syarikat Tesla dan Twitter banyak membuat pelaburan di Indonesia dan seolah-olah tak pandang Malaysia.

"Jadi, apabila beliau menyatakan hasrat sebegitu, ia membuktikan kepada dunia bahawa syarikat gergasi dunia minat dengan ekosistem pelaburan menarik yang ada di negara ini,” katanya kepada Sinar Ahad.

Media sebelum ini melaporkan Elon menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri pada minggu depan berhubung penambahan pelaburan di Malaysia.

Perkara itu dimaklumkan Anwar ketika berucap semasa majlis amanat Perdana Menteri kepada penjawat awam Negeri Sembilan pada Jumaat.

Dalam pada itu, menurut Shazali, ekosistem pelaburan menarik itu bukan semata-mata diambil kira daripada kos tenaga buruh murah tetapi turut merangkumi budaya bekerja di sesebuah negara, kemahiran komunikasi pekerja, kemudahan fizikal dan bantuan so-kongan kerajaan.

"Faktor-faktor positif ini mungkin jadi pertimbangan syarikat gergasi dunia ini untuk datang ke Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, kedatangan Elon itu juga dijangka memberikan limpahan manfaat kepada Malaysia dari segi perkembangan teknologi tinggi kerana Tesla merupakan sebuah syarikat kenderaan elektrik (EV) yang dikagumi.

"Kita tahu pelaburan yang akan dibawa Elon bukan alang-alang kerana ia memerlukan kepakaran yang tinggi.

"Jadi, maknanya beliau sendiri tahu Malaysia mampu dan ada sumber manusia yang boleh kendalikan teknologi tinggi,” ujarnya.

Katanya, selama ini negara banyak menerima pelaburan bukan pada tahap teknologi tinggi yang memerlukan tenaga buruh ramai hinggakan kilang-kilang terpaksa menggaji buruh asing.

"Selepas ini negara dijangka memerlukan ramai pekerja berkepakaran tinggi dan kalau terpaksa tambah rakyat asing untuk turut sama bekerja pun akan berlaku, pemindahan kepakaran teknologi mereka yang akan beri faedah kepada negara,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca