PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan kekecewaannya terhadap orang Melayu yang tidak sedar mengenai kepentingan mengundi.
"Ramai orang Melayu tidak sedar, hendak keluar mengundi pun tidak mahu. Ini negara kita bukannya suruh pergi berperang. Cuma pangkah sahaja,” kata beliau.
Menurutnya, sebagai seorang warganegara yang layak, tanggungjawab untuk mengundi harus ditunaikan tanpa mengharap sebarang imbuhan daripada mana-mana pihak.
"Pusat pengundian cuma 100 ela sahaja tetapi kena bagi duit minyak,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama Sinar Ahad pada Khamis.
Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu menyaksikan peratusan keluar mengundi merosot kepada 74 peratus berbanding 82 peratus pada PRU14.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang sebelum ini mendakwa kadar peratusan keluar mengundi pengundi Melayu rendah berbanding kaum lain bagaimana kenyataan itu disangkal oleh penganalisis politik.
Dalam pada itu, Dr Mahathir tidak menolak Malaysia akan menjadi seperti negara jiran, Singapura sekiranya idea negara kepelbagaian kaum dilaksanakan.
"Bahasa kebangsaan Singapura ada bahasa Melayu, tetapi sesi pengajaran dan pembelajaran di sekolah adalah dalam bahasa Inggeris.
Menurutnya, prinsip Kemelayuan Malaysia yang disampaikannya pada akhir-akhir ini tidak difahami oleh anak muda.
"Kita kata negara akan dimiliki orang Cina. Dia tak faham.
"Sekarang masih okay lagi kerana ada dasar pemberian biasiswa kepada pelajar Melayu,” katanya.
Minggu ini Dr Mahathir dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bertegang urat mengenai idea negara kepelbagaian kaum.
Dr Mahathir menyifatkan tindakan mempromosikan negara berbilang bangsa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, kenyataan itu dibidas oleh Syed Saddiq yang mengatakan bahawa pemimpin negara seharusnya mengangkat dan meraikan kepelbagaian yang wujud di Malaysia dan bukannya menyerang mana-mana kaum lain.
Klik di sini untuk terus membaca