SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk turut mewajibkan ahli politik dan calon yang bertanding pada pilihan raya di negara ini mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan amalan tata kelola baik dan berkesan. Presiden Transparency... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk turut mewajibkan ahli politik dan calon yang bertanding pada pilihan raya di negara ini mengisytiharkan harta masing-masing bagi memastikan amalan tata kelola baik dan berkesan.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, langkah itu penting bagi membendung sebarang salah guna kuasa membabitkan pemimpin politik.

Jelasnya, rakyat juga wajar menyokong usaha untuk memastikan golongan berkenaan bersikap jujur dengan kekayaan atau aset dimiliki dengan mengisytiharkannya kepada umum.

"Semua ahli dari mana-mana parti politik termasuk yang menjadi calon pilihan raya perlu diwajibkan mengisytiharkan harta mereka. Rakyat yang akan memilih calon dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini juga harus memberi perhatian terhadap isu tersebut.

"Rakyat (juga) harus (mengajukan persoalan) kepada calon yang menjadi wakil rakyat (pilih untuk tidak isytihar harta) kenapa mereka bimbang untuk mengisytiharkan harta dan bagi mereka yang enggan bersetuju dengan cadangan ini harus ditolak," katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan semula pengisytiharan harta oleh anggota pentadbiran.

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Sementara itu, ditanya sebab pengisytiharan harta itu penting, Muhammad menjelaskan, ia bagi mengelak wujudnya sebarang salah guna kuasa membabitkan pemimpin politik seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

"Pengisytiharan harta ini penting sebab kita telah perhatikan sebelum ini ramai pemimpin politik apabila berkuasa dan selepas beberapa tahun harta mereka melambung kepada jutaan ringgit," ujarnya.

Justeru katanya, keputusan untuk mewajibkan pengisytiharan harta ini dilihat tepat pada masanya untuk mengelak amalan rasuah atau salah guna kuasa daripada terus membarah di Malaysia.

Sementara itu, gesaan sama turut dibuat Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), K Sudhagaran Stanley.

Menurut Stanley, pengisytiharan harta atau aset juga selaras dengan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) yang telah lama tertangguh untuk dilaksana oleh ahli politik sebelum ini.

Justeru katanya, tiada alasan lagi untuk kerajaan tidak turut melibatkan ahli politik atau calon bertanding dalam pilihan raya melakukan perkara yang telah dirancang lama tersebut.

"Pengisytiharan aset adalah prinsip penting kerana ia membolehkan orang ramai dan pihak berkuasa mengesan kekayaan yang tidak dapat dijelaskan yang diperolehi ahli politik semasa memegang jawatan awam," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca