SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan cadangan untuk meminta pelajar sekolah menjalani ujian psikologi atau kesihatan mental bagi membolehkan mereka yang mempunyai tanda-tanda pembuli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan cadangan untuk meminta pelajar sekolah menjalani ujian psikologi atau kesihatan mental bagi membolehkan mereka yang mempunyai tanda-tanda pembuli dikenal pasti lebih awal.

Menurut Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, syor itu penting bagi membendung perbuatan buli melibatkan pelajar sekolah daripada terus berpanjangan.

Malah katanya, ujian berkenaan juga boleh dilaksanakan secara berkala dengan kerjasama kementerian berkaitan.

"Saya melihat syor ini (pelajar sekolah perlu jalani ujian psikologi) sesuatu yang baik dalam usaha untuk kita mengenal pasti tanda-tanda awal pelajar mempunyai ciri pembuli supaya dapat kekang perbuatan mereka.

"Peranan kaunselor sekolah juga amat penting dalam hal ini untuk melihat secara keseluruhan tingkah laku pelajar dengan mengenal pasti faktor yang mendorong mereka menjadi pembuli,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang dipercayai mencekik adiknya sehingga mati di Bukit Piatu, Melaka pada Rabu.

Remaja berkenaan didakwa mengalami perubahan sikap selepas menjadi mangsa buli pelajar senior di asrama.

Menurut Mohamad Ali, kerajaan juga disaran untuk meneliti isu kekurangan guru kaunseling terutama di sekolah rendah yang berlanjutan sejak sekian lama.

Katanya, masalah tersebut secara tidak langsung menyukarkan lagi usaha pihak sekolah untuk membimbing pelajar bermasalah.

"Bagaimanapun, dalam hal disiplin pelajar, kes kemurungan atau buli tidak seharusnya terletak di bahu kaunselor semata-mata tetapi semua pihak perlu ambil tanggungjawab termasuk guru besar,” ujarnya.

Sementara itu, Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom turut mempunyai pandangan sama berhubung perkara tersebut.

Katanya, melalui ujian psikologi itu secara tidak langsung membolehkan pihak sekolah mengenal pasti pelajar yang mempunyai tanda-tanda pembuli untuk diberikan pemulihan.

"Cadangan ini wajar dipertimbangkan kerana ia sangat baik dan boleh dilaksanakan sebab di semua sekolah kita telah mempunyai kaunselor yang boleh mengenal pasti perubahan sikap pelajar lebih awal.

"Di pihak guru kaunseling, mereka boleh mengenal pasti perubahan ini apabila dahulunya pelajar itu seorang yang aktif tetapi tiba-tiba bertukar menjadi pendiam dan tidak bergaul dengan pelajar lain,” katanya.

Beliau berkata, semua pihak juga digesa supaya melihat isu melibatkan buli sebagai isu nasional dan perlu ditangani secara menyeluruh melibatkan semua pihak.

"Ini kerana insiden buli yang serius bukan perkara baharu dilaporkan tetapi berulang kali, namun penyelesaiannya belum ditemui,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca