MENGUMPAMAKAN dirinya sebagai sebuah kereta kebal yang teguh dan tenang walaupun diserang, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) , bersedia berdepan saingan pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri pada 12 Ogos depan.
Dihambat kontroversi, dituduh menjadi beban dan liabiliti atau dianggap sebagai kelebihan kepada parti, jeneral perang Perikatan Nasional (PN) itu tidak peduli dengan label diberi, malah tegas dengan pendiriannya untuk kekal menjadi diri sendiri.
Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, ROSLINDA HASHIM dan NURUL HIDAYAH HAMID bersama Pengerusi PN Kedah ini yang namanya mula menjadi sebutan selepas dilantik menjadi Menteri Besar Kedah pada 17 Mei 2020.
SINAR HARIAN: Apakah kejayaan paling besar Datuk Seri sepanjang mentadbir Kedah?
MUHAMMAD SANUSI: Kejayaan utama adalah menghadapi masalah paling besar di Kedah iaitu infrastruktur bekalan air. Selepas ambil alih pentadbiran negeri pada Mei 2020, kita sambung proses sejak 2010 yang terhenti pada 2018 berkaitan pinjaman bekalan air.
Pada 2021, kita berusaha mendapatkan geran atau pinjaman bagi menaik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA).
Sebelum proses itu dimuktamadkan, perlu lakukan proses migrasi yang agak lama sangkut kerana banyak tafsiran perlu dimuktamadkan berdasarkan beberapa perjanjian antaranya pengkorporatan, menamatkan dua pemegang konsesi air iaitu Air Utara Indah Sdn Bhd (AUI) dan Taliworks yang memberi penjimatan besar.
Ketika ambil alih, hutang mencecah RM137 juta dan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sedang kerugian RM36 juta dalam operasinya. Pada 2021, kita berjaya kaut keuntungan RM1 juta dan seterusnya muktamadkan proses migrasi.
Kemudian pembinaan lima LRA dimulakan, keutamaan LRA Plubang dengan jajaran paip baharu sepanjang lebih 100 kilometer untuk dua laluan ke Pida (Jerlun) dan Kuala Kedah. Sementara LRA Bukit Selambau berdepan masalah.
Perkara kedua, pelaburan melonjak. Bermula 2020 hingga 2022, kita sentiasa mendekati syarikat-syarikat sedia ada untuk menambah pelaburan.
Sebuah syarikat melabur RM42 bilion menjadikan keseluruhan pelaburan mencecah RM68 bilion. Ia rekod baharu Kedah.
Apakah perkara penting akan dilaksanakan jika Perikatan Nasional (PN) menang pada PRN?
Saya akan memastikan Kedah 2035 diberikan nafas baharu. Kita akan semak semula pencapaian yang perlu diutamakan antaranya projek berimpak tinggi, untuk menyediakan peluang kerja dan melonjakkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta membawa limpahan ekonomi kepada rakyat Kedah.
Antaranya, Kedah Rubber City dalam fasa satu sebelum ini belum ada Pencawang Masuk Utama (PMU) bermakna tiada elektrik untuk beroperasi, mungkin terlepas pandang.
Kita usahakan dalam tempoh lebih dua tahun dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjaya siapkan. Selepas ini kita akan mengembangkan fasa dua.
Taman Sains dan Teknologi Kedah (KSTP) sedang melalui pelarasan dalam aspek pemasaran.
Jika kita ada kawasan industri besar namun mengabaikan pemasaran, kemasukan pelabur lambat. Special Border Economic Zone (SBEZ) pula dibangunkan anak syarikat bawah Kementerian Kewangan (MOF).
Kita akan mempercepatkan pembangunan kawasan industri sedia ada, termasuk yang baru diteroka dengan syarikat swasta di Sungai Petani, melibatkan kawasan seluas 809 hektar merangkumi kediaman dan zon perindustrian.
Di Gurun pula melibatkan pembangunan seluas 809 hektar atas tanah swasta selain pelaburan baharu di Jerman dan pengambilalihan kilang Aspen Glove Sdn Bhd.
Apakah elemen paling penting yang akan menentukan serta menjamin kejayaan Pas dan PN di Kedah?
Kita mempertaruhkan pencapaian tiga tahun mentadbir. Banyak kejayaan dicapai walaupun musuh-musuh politik kata tiada.
Selepas pandemik Covid-19, pencapaian pelaburan Kedah sangat tinggi selain dapat menyelesaikan masalah-masalah besar.
Label MB paling kontroversi mempopularkan Datuk Seri dalam kalangan anak muda. Adakah ia akan memberikan kelebihan kepada PN?
Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya tidak pandai berlakon untuk menjadi orang lain. Apabila bergelar MB pun itulah diri saya sendiri.
Kalau menjadi kontroversi, beban, liabiliti atau kelebihan untuk PN, terserahlah kepada penilaian orang.
Pada peringkat awal memang ramai tidak faham saya. Lebih 80 peratus orang kecam namun lama-kelamaan mereka faham. Kita bawa cara kita tanpa meniru sesiapa.
Saya harap rakyat boleh terima pendekatan saya. Saya akui pendekatan ini mungkin ada untung, ada rugi, bagi yang tidak dapat adaptasi sikap saya, dia ‘koyak’ lah.
Adakah pemimpin Pas menganggap sikap Datuk Seri sebagai liabiliti parti?
Tidak pernah ada aduan seperti itu. Mungkin kerana orang parti sudah lama kenal saya.
Dalam mesyuarat parti atau sebelum ini pun saya memang lantang, apa saya nak kata, saya kata sahaja.
Kalau saya tidak betul, saya belajar. Saya tidak tahu, saya tanya. Kalau saya benar, saya akan berdiri dengan kebenaran dan akan mempertahankannya habis-habisan tidak kira siapa, saya lawan kalau saya di pihak benar.
--SH: Datuk Seri dikatakan tidak mencerminkan perwatakan pemimpin Pas yang Islamik dan dikategorikan sebagai pemimpin alaf baharu Pas. Adakah pemimpin Pas perlu ikut acuan parti?
Ada empat khalifah yang menjadi rujukan perwatakan, sikap dan pendekatan. Saya rasa saya ambil salah satu daripadanya tetapi tidaklah setahap itu, pendekatan sahaja.
Bukan semua perlu lemah-lembut, ada juga kebaikan tapi bukan semua perlu seperti itu. Ada ketika perlu berkeras sedikit. Selagi saya betul mengikut syarak, tiada masalah.
Belum ada teguran bahawa perwatakan saya menjejaskan imej Pas. Saya pun tanya ustaz-ustaz kalau ada teguran, silakan. Kalau orang tegur kerana saya salah dari segi hukum-hakam, saya terima.
Perwatakan Datuk Seri meresahkan pemimpin Kerajaan Perpaduan sehingga banyak serangan peribadi diterima. Adakah ia memberikan kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH)-BN?
Sebenarnya saya memang buat supaya mereka serang saya, jadi mereka lupa nak serang Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Saya umpama kereta kebal, mereka lempar bom di sini sahaja. Tempat lain aman, boleh buat kerja dengan elok. Kalau mereka serang pun, saya kebal dan relaks sahaja.
Sesuai dengan perwatakan jeneral perang (Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan PN). Saya guna watak itulah, mereka serang saya, mereka lupa negeri lain.
Datuk Seri dikatakan gagal menjalin hubungan mesra dengan Perdana Menteri. Adakah aspek ini akan diperbaiki?
Saya sentiasa berusaha untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tidak semua orang patut berwatak seperti orang lain kehendaki. Kalau mahu saya berwatak seperti dia kehendaki, saya tidak perlu ikut, saya ada watak sendiri.
Etika, tatasusila dan tata kelola sebagai menteri besar, saya pelihara dengan baik.
Kalau tidak mahu berjumpa atas asas saya kurang adab, jumpa dahulu dan nilai kemudian. Jangan nilai saya dalam peranan politik tetapi sebagai menteri besar.
Saya rasa PM akan meminati saya lebih daripada beliau minat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Saya jujur, tidak menipu dan tidak berlakon depan sesiapa. Pengikut Anwar ramai yang berlakon depan beliau.
Sehingga kini, pertemuan empat mata belum berhasil walaupun tiga surat dihantar. Saya akan hantar surat ke-empat selepas PRN. Kalau perlu 100 surat pun saya akan tulis untuk bertemu dan berbincang tentang wish list Kedah.
Apakah pandangan Datuk Seri mengenai saingan pada PRN berbanding PRU15?
Saya berdepan kerajaan Persekutuan dalam PRN kali ini, berbeza dalam PRU15, kerajaan ketika itu semua ada, PN ada UMNO ada. Sekarang PH (DAP, PKR, Amanah) menjadi kerajaan bersama BN.
Saya akan masuk pilihan raya sebagai parti politik, bukan sebagai kerajaan negeri.
Jadi saya tidak akan mengambil kesempatan berkempen atas nama kerajaan negeri di Kedah.
Serangan kali ini lebih berat, malah media dikawal, TikTok disekat dan Facebook juga dapat amaran. Ini menunjukkan media sosial bukan lagi medan terbuka atau bebas.
Cabaran menjadi lebih besar namun kita tetap masuk gelanggang politik dengan cara termampu dan harap jentera parti dapat menghadapi semua rintangan dengan kreatif.
Saya yakin boleh menghadapi saingan PH-BN dan gelombang rakyat yang tidak berpuas hati kepada Kerajaan Madani akan memihak kepada PN.
Mengapa Kedah menjadi sasaran untuk dirampas dalam PRN?
Mereka anggap Kedah sasaran mudah kerana komposisi kaum di sini lebih terbuka berbanding Kelantan dan Terengganu kerana PH bergantung kepada undi bukan Melayu.
Tempat yang ramai pengundi Melayu, mereka tidak begitu yakin. Kedah memiliki lebih 25 peratus bukan Melayu sebab itu tumpuan lebih di Kedah dan diserang habis-habisan.
Pada PRU15, PN berjaya menyapu bersih 14 kerusi Parlimen, hanya satu milik PH di Kedah. Adakah masih berbisa gelombang itu dalam PRN di enam negeri?
Ya, masih lagi berbisa malah meningkat berdasarkan pemerhatian saya. Cula parti sudah bergerak termasuk jentera pilihan raya dan kita tidak merujuk kajian pusat-pusat yang tidak diyakini kerana tidak beri gambaran sebenar.
Ada responden tidak beri jawapan jujur, enggan bercakap benar tentang politik, sebab itu kajian berkenaan tidak mewakili keadaan sebenar.
Paling tepat ialah cula yang dilakukan jentera parti dengan jumpa bersemuka. Kita dapat kenal pengundi sedia ada atau baharu.
Gelombang PRU15 masih kekal dan sekiranya ditingkatkan lagi usaha, mungkin boleh dapat 36-0 kerusi DUN di Kedah. Tetapi saya tidak mahu, cukuplah 33-3 untuk PN dan PH/BN.
Walaupun sekarang ada perubahan pengundi, PH campur BN dan dakwa apabila disatukan, ada beberapa tempat PN boleh tewas.
Saya tidak yakin pengundi BN akan mengundi PH dan sebaliknya kerana mereka bukanlah perkahwinan atas dasar cinta, tetapi kahwin paksa. Situasi seperti itu bila ada peluang, satu pihak akan lari.
Berapakah sasaran kerusi bakal dimenangi PN berdasarkan senario politik semasa?
Secara keseluruhan (enam negeri) saya tidak dapat menjumlahkan sasaran, belum ada kemas kini. Untuk Kedah sasaran 33-3, tiga kerusi (dijangka milik PH) kerana berlaku penghijrahan pengundi Melayu.
Antaranya Kota Darul Aman kubu kuat DAP sejak dulu.
Pengundi di situ tidak ramai tetapi banyak bukan Melayu, jadi agak sukar untuk PN kerana faktor komposisi kaum.
Mungkin kalau tiada usaha menimbulkan ketakutan kepada Islam atau Islamofobia yang dimainkan DAP dan difahami bukan Melayu, PN mungkin ada peluang, tambahan pula DAP bukan kuat sangat di Kedah.
PN boleh menang tetapi kita berilah DAP, kalau menang, Alhamdulillah. Situasi sama di Bakar Arang, satu lagi (DUN) rahsia.
PN diramal terus tadbir Kedah, Kelantan dan Terengganu. PH-BN dijangka kekal di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan selepas PRN. Adakah ia menepati sasaran PN?
Sekali imbas nampak macam itu tetapi jika melihat gelombang di Selangor kini sangat hebat. Semua program PN mendapat sambutan menggalakkan.
Saya percaya Selangor dan Negeri Sembilan akan ada perubahan, peluang 50-50. Tidak mustahil PN boleh ambil alih Selangor dan Negeri Sembilan.
Walaupun saya kata PN bersedia untuk tadbir Pulau Pinang, negeri itu kerusi Melayu majoriti 15 sahaja. Kita perlu enam lagi kerusi untuk dapatkan 21. Tidak mustahil tetapi agak sukar namun kita sedang berusaha ke arah itu.
Pada PRU15, di Kepala Batas dan Permatang Pauh, kita tidak jangka. Saya berharap gelombang di Pulau Pinang akan terus membesar. Kalau bukan dalam PRN, mungkin dalam PRU akan datang. Dalam politik kena sabar.
Adakah Pas sedia membuat perubahan drastik dalam PRN seperti menawarkan kerusi kepada Muafakat Nasional (MN) yang menyokong PN atau meletakkan calon bebas yang ada nama besar seperti Khairy Jamaludin?
Khairy Jamaludin sudah beberapa kali dipelawa menyertai PN, mungkin masih dalam pertimbangan sama ada nak kembali kepada UMNO yang memecat beliau atau cari ‘kapal baharu’.
Saya harap beliau pilih kapal baharu, terserah pada beliau. Beliau seorang tokoh yang ada masa depan cerah dalam politik negara.
Individu berkenaan perlu menjadi calon PN, masuklah mana-mana parti sama ada Pas atau Bersatu. Saya rasa bukan pelik sangat pun, di saat akhir apa pun boleh berlaku asalkan sebelum penamaan calon.
Tokoh dalam MN diterajui Tan Sri Annuar Musa terdiri daripada tokoh besar, sesuai untuk peringkat nasional atau bertanding Parlimen. Kalau ditawar kerusi DUN seolah-olah merendahkan taraf mereka dan kurang sesuai.
Perlu tunggu PRU akan datang.
Tiada tokoh MN di Kedah dan di tempat lain pun kalau ada kita tidak mahu merendahkan taraf mereka yang lebih sesuai untuk menjawat jawatan menteri, bukan lagi taraf ADUN.
Parti Pejuang masih berharap PN pertimbangkan untuk menyertai atau menjalinkan kerjasama dalam PRN. Adakah pertemuan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini merintis jalan ke arah itu?
Itu hak Majlis Presiden PN. Keputusan harus datang dari sana. Jika Pejuang memberikan sokongan atas undi kepada PN, tiada masalah. Kalau Pejuang menjadi calon bersendirian, mereka akan kalah.
Lebih baik minta ahli-ahli Pejuang undi PN. Pertemuan Muhyiddin dengan Dr Mahathir atas proklamasi Melayu. Mungkin ada kerjasama dibincangkan namun saya tidak dapat maklumat.
Kekuatan Pas terletak pada isu agama dan bangsa. Apakah akan berlaku jika Pas dihalang menggunakan kedua-dua naratif ini untuk memenangi hati pengundi terutama Melayu Islam?
Rukun Negara pertama, Kepercayaan kepada tuhan, itu aspek agama. Tuhan suruh buat apa? Tak akan tak boleh cakap? Mana boleh, itu bertentangan dengan Rukun Negara.
kepada Raja dan negara. Sistem kita Raja berperlembagaan.
Ada perjuangan parti-parti politik tidak meletakkan kesetiaan kepada Raja-Raja Melayu dalam perlembagaan parti. Ada parti secara tersirat mahu menjadikan Malaysia negara tanpa institusi raja.
Mereka mahu semua orang sama rata. Ada tokoh dalam parti-parti PH menghina institusi raja. Bila ada petunjuk, tentu ada gerakan. Orang Melayu harus mempertahankan kedaulatan raja.
Parti-parti yang ditubuhkan mengikut sejarah, MIC atas perkauman India. MCA kaum Cina, UMNO orang Melayu, Pas orang Melayu.
Semua parti politik ditubuhkan berasaskan kaum. Jadi bagaimana untuk elak daripada bercakap tentang kaum?
Pengundi bukan Islam mungkin berasa tidak selesa dengan pendekatan Pas berikutan dasar judi, adakah ia boleh menjejaskan undi?
Saya yakin tidak jejas kerana yang tidak suka premis judi tutup hanya tauke judi kerana hilang pendapatan. Orang yang suka berjudi tetapi tiada tempat main judi, mereka akan ke negeri lain atau mencuba kaedah dalam talian.
Saya rasa tindakan menutup operasi judi di Kedah tidak akan menjejaskan apa-apa. Saya lakukan atas perintah ALLAH SWT untuk menutup ruang kemungkaran.
Saya harap diberikan ganjaran di akhirat kenyang pahala, di dunia dimudahkan urusan dengan memenangi hati pengundi.
Saya turut perintah ALLAH SWT yang akan tentukan apa terbaik untuk saya dan parti.
Setakat ini pun tiada bantahan besar-besaran, hanya dibayangi isu politik konon nafi hak bukan Islam, berjudi bukan hak dan bukan budaya, hanya mainan sentimen untuk menimbulkan rasa benci kepada Pas.
Ramai orang bukan Islam sokong tutup pusat judi cuma tidak diuar-uarkan. Itu pun salah satu kejayaan besar Kedah.
Pemuda Pas berharap sekurang-kurangnya 30 peratus calon muda dipilih bertanding di enam negeri PRN. Adakah ia boleh dicapai selepas Pas perlu mengorbankan kerusi untuk ditandingi Bersatu?
Peringkat Parlimen PRU15 ramai golongan muda jadi calon dan menang. Dalam PRN ini, saya yakin calon-calon PN termasuk di Kedah dibarisi ramai orang muda.
Ada tokoh-tokoh hebat yang masih dirahsiakan. Peratusan itu boleh dicapai dan akan pastikan calon-calon mewakili semua kelompok dalam gabungan Pas dan Bersatu.
Saya percaya ada ruang lebih untuk Pemuda dan Wanita kali ini melebihi jumlah berbanding PRU14 dan PRU15.
Berapa peratus agihan kerusi Pas, Bersatu dan Gerakan yang dipersetujui?
Seluruh negara sudah siap semua, sudah dimuktamadkan dan seimbang. Bergantung kepada negeri, di Kelantan dan Terengganu tentulah Pas lebih banyak kerusi. Di Kedah agak seimbang.
Asas pertama diambil kira dalam agihan kerusi ialah kerusi penyandang dan status quo. Kalau parti itu menang di situ, kekallah.
Kemudian kerusi-kerusi yang kita belum menang, kita lihat pada kekuatan di situ, kalau di situ jentera Pas lebih hebat dan ada tokoh untuk diangkat menjadi calon, kita beri kepada Pas. Begitulah sebaliknya.
Dalam PN, tiada ‘abang besar’. Pembahagian berasaskan realiti, bukan kerana kuota. Semua negeri sudah capai muafakat yang baik. Senarai calon Pas sudah dihantar ke Majlis Syura Pas.
Prosesnya cepat kerana tiada gaduh-gaduh. Sejurus itu boleh buat kerja masing-masing. Pas Kedah pun akan umum calon lebih awal.
Adakah Datuk Seri akan mempertahankan kerusi disandang, DUN Jeneri?
Belum tahu lagi, Pas Pusat perlu memutuskannya. Pertimbangan awal tentu Jeneri juga, cuma belum diputuskan secara rasmi. Saya berpegang kepada disiplin Pas.
Kalau parti putuskan saya tidak boleh bertanding, saya reda. Kalau parti kata, cukuplah Sanusi, ‘hang’ punya kelaku tak sesuai jadi calon pun saya reda dan berlapang dada.
Letak di DUN mana pun tiada masalah, jika tidak dicalonkan semula pun reda, malah seronok. Saya mahukan kehidupan saya balik.
Datuk Seri disebut-sebut kekal sebagai MB Kedah sekiranya PN terus menguasai Kedah. Adakah pendekatan Datuk Seri berjaya menawan hati rakyat Kedah dan memberi aura positif?
Alhamdulillah, kalau kita tidak meminta-minta jawatan, ALLAH SWT akan tolong berbanding kalau meminta-minta.
Itu yang Islam ajarkan. Saya rasa ini pertolongan ALLAH SWT dan kehendak orang ramai yang bantu saya dalam kemenangan lalu.
Apa reaksi Datuk Seri apabila ada pemimpin mengharapkan Datuk Seri tewas dalam PRN disebabkan lantang bersuara?
Jika musuh politik berkehendak begitu, saya akan lawan habis-habisan. Kalau parti, kita patuh. Itu sikap kita kepada parti lawan. Jika kita ikut kehendak parti lawan, habislah parti kita.
Disiplin parti kita pegang, kalau berhadapan dengan musuh politik, akan lawan sampai ke titisan peluh terakhir dan secara demokrasi.
Klik di sini untuk terus membaca