SHAH ALAM - DAP dijangka berada dalam kedudukan selesa mempertahankan semua 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang pada pilihan raya negeri (PRN) nanti, dengan kemenangan sehingga 90 peratus kerusi ditandingi.
Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, tidak mustahil unjuran itu dapat direalisasikan atas faktor kedudukan kerusi parti gabungan Pakatan Harapan (PH) tersebut berada dalam kawasan bandar dan majoriti pengundi bukan Melayu.
Menurutnya, sokongan pengundi bukan Melayu kepada PH juga mampu menjadi nilai tambah untuk kemenangan calon DAP.
"Pola pengundian segmen pengundi bukan Melayu terutama kaum Cina masih kekal menyokong PH. Melihat trend PRN Melaka dan Johor, DAP masih mampu bertahan di kerusi yang ditandingi mereka.
"Keadaan ini memberi gambaran, gabungan pembangkang yang diwakili Gerakan sukar mencabar dominasi di Dun milik DAP buat masa ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Sabtu, Setiausaha Agung parti, Anthony Loke berkata, DAP akan meletakkan calon di semua kerusi DUN yang disandang pada PRN yang diadakan 12 Ogos nanti.
Secara keseluruhan DAP memenangi 48 kerusi DUN di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Kerusi DUN itu termasuk 19 di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (2).
Hisommudin berkata lagi, sebanyak 10 peratus kerusi yang dijangka terjejas adalah melibatkan kawasan yang mempunyai sekurang-kurangnya 45 peratus pengundi Melayu.
Ujar beliau, faktor itu hanya boleh berlaku sekiranya peratus keluar mengundi bagi pengundi Cina rendah dan pengundi Melayu mencatatkan sebaliknya.
Klik di sini untuk terus membaca