DI DALAM penulisan kali ini, penulis masih lagi berlegar berkenaan isu mutakhir yang sedang membelenggu para peniaga dan pelanggan. Penulis inginkan kepastian adakah benar sebagaimana yang dilaporkan media berkenaan kemerosotan pelanggan... Klik di sini untuk terus membaca

DI DALAM penulisan kali ini, penulis masih lagi berlegar berkenaan isu mutakhir yang sedang membelenggu para peniaga dan pelanggan.

Penulis inginkan kepastian adakah benar sebagaimana yang dilaporkan media berkenaan kemerosotan pelanggan sehingga ada yang berkurangan antara 30 hingga 60 peratus.

Penulis tinggal di Negeri Sembilan, bekerja di Selangor dan berasal dari Perak.

Penulis telah mengambil langkah untuk bertanya sendiri kepada lebih ramai pengusaha gerai makanan di tiga-tiga negeri ini sama ada perkara ini benar-benar berlaku ataupun tidak.

Penulis bermula dengan bertanya kepada peniaga di gerai makanan di Negeri Sembilan, di mana sebahagian besar yang ditemui menyatakan kebenaran itu.

Ada juga yang menyatakan mereka berhadapan dengan kesukaran memperoleh sebahagian bahan mentah dan kesukaran menetapkan harga makanan disebabkan harga bahan mentah yang amat tidak menentu.

Penulis juga berkunjung ke sebuah gerai dan membeli empat biji karipap berharga RM4. Ini bermakna satu kuih berharga RM1. Bahkan harga tiga biji kuih pulut panggang bersaiz kecil berharga RM4.

Walaupun harga ini sesuatu yang mengejutkan, namun penulis memahami mengapa harga sedemikian diletakkan selepas bertanya kepada penjual sendiri.

Mereka menyatakan bahawa kos bahan mentah pada ketika ini amat berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Mereka menyatakan bahawa mereka memahami kesukaran yang dihadapi pelanggan disebabkan oleh kenaikan ini namun tidak mempunyai pilihan selain menetapkan harga sedemikian agar mereka dapat memperoleh margin keuntungan.

Perkara sama juga berlaku di sebahagian gerai makanan di Selangor.

Mendengar rintihan daripada sebahagian peniaga yang menyatakan bahawa mereka berhadapan dengan masalah aliran tunai disebabkan oleh jualan yang merosot kesan daripada kuasa membeli pelanggan yang berkurangan.

Disebabkan oleh aliran tunai dan kemerosotan pelanggan maka mereka terpaksa mengurangkan kuantiti jualan .

Minggu lalu, semasa berada di kampung halaman di Teluk Intan, Perak, penulis sempat bertemu sahabat baik sekolah yang mengusahakan gerai makan SM Faisal dengan pengalaman lebih 20 tahun berniaga mi rebus. Beliau turut menyatakan perkara yang sama.

Ini bermakna, perkara ini adalah realiti di lapangan di mana ramai peniaga berhadapan dengan kemerosotan pendapatan.

Peniaga ini turut menyatakan bahawa keadaan kini sebenarnya lebih mencabar jika dibandingkan dengan krisis Covid-19.

Sebahagian besar peniaga yang ditemui menyatakan bahawa sungguhpun semasa krisis Covid-19 pendapatan mereka terjejas namun, pelbagai bantuan diterima daripada kerajaan.

Antara inisiatifnya adalah Geran Khas yang diterima beberapa kali pada ketika itu yang akhirnya telah membantu mereka meneruskan perniagaan semasa krisis Covid-19.

Pada ketika itu, kerajaan menyediakan Geran Khas Prihatin (GKP) sebanyak RM3,000 untuk setiap syarikat mikro yang memanfaatkan ratusan ribu PKS mikro di seluruh negara.

Bahkan, ianya tidak berakhir setakat itu sahaja yang mana peniaga juga menyatakan bahawa mereka memperoleh beberapa kali bantuan GKP semasa krisis Covid-19 dalam beberapa tempoh yang berbeza.

Mereka juga menzahirkan kelegaan melalui pelaksanaan moratorium yang dapat membantu peniaga makanan untuk memberikan fokus terhadap perbelanjaan yang dapat digunakan untuk mempertahankan perniagaan pada ketika itu.

Selain itu, langkah moratorium dipanjangkan dan dilaksanakan bagi pinjaman dengan TEKUN, MARA dan koperasi serta mana-mana agensi kerajaan yang memberi pinjaman kepada PKS.

Oleh yang demikian, terdapat keperluan untuk memperkenalkan semula inisiatif geran khas dan bantuan lain yang bersesuaian termasuk moratorium bersasar untuk membantu peniaga dan pengusaha termasuk pengusaha gerai makanan untuk terus bernafas dalam keadaan yang mencabar pada ketika ini.

* Dr Anuar Shah Bali Mahomed ialah Profesor Madya di Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca