UNITED Kingdom (UK) merupakan antara negara yang terawal mengangkat sistem meritokrasi dalam pelbagai sektor bermula dengan pendidikan.
Menurut pengasasnya, Michael Young (1950-an), idea meritokrasi menyatakan kejayaan seseorang individu itu ditentukan oleh gabungan dua elemen utama iaitu bakat dan usaha keras.
Bagi negara seperti UK, meritokrasi adalah satu-satunya 'alat' untuk membolehkan kelompok masyarakat berpendapatan rendah mendaki tangga sosial dalam masyarakat. Idealnya, jika ini berlaku, jurang pendapatan dalam masyarakat dapat dikecilkan dan sampai di satu tahap, mungkin tiada lagi golongan miskin di UK.
Bermula dengan sistem pendidikan, merit akan diberikan melalui keputusan peperiksaan dan juga penglibatan pelajar dalam pelbagai aktiviti bukan akademik di sekolah.
Pelajar yang memperoleh merit yang banyak, berpeluang lebih besar untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi.
Namun, sistem meritokrasi ini ada kelompongan yang besar. Sampai ke hari ini, golongan miskin masih begitu ramai di UK. Jurang pendapatan penduduknya tidak pun mengecil, malah semakin besar sejak 1980an.
Dalam 50 tahun, golongan terkaya di UK berjaya menggandakan kekayaan mereka melalui meritokrasi.
Statistik 2020 menunjukkan 10 peratus golongan terkaya UK memegang 43 peratus jumlah kekayaan negaranya. Pada tahun 2023 pula, jumlah pendapatan 50 keluarga terkaya UK sama dengan jumlah pendapatan 33.5 juta rakyatnya.
Mungkin kritikan sarjana, Lee Elliot Major dan Stephen Machin, ada benarnya. Kata mereka, meritokrasi ini sebenarnya dicipta oleh golongan elitis untuk mengekalkan kedudukan mereka dalam masyarakat semata-mata.
Golongan ini bimbang dengan bertambahnya jurang pendapatan mereka dengan majoriti masyarakat, kedudukan mereka akan tergugat.
Jadi, atas nama meritokrasi, mereka mengatakan, siapa saja boleh jadi seperti mereka, asalkan dia punya bakat dan berusaha keras.
Ironinya, meritokrasi langsung tidak mengambil kira latar belakang seseorang saat ia memulakan perjalanan membaiki taraf hidup.
Sedangkan seawal dilahirkan, anak si kaya sudah tentu punya kehidupan yang lebih kondusif dan akses kepada sistem pendidikan yang lebih baik berbanding anak si miskin.
Kebanyakan ibu bapa berpendapatan rendah misalnya tidak punya masa menyokong pembelajaran anak-anak di rumah kerana sibuk bekerja.
Laporan dari Sutton Trust misalnya, hanya 45 peratus ibu bapa berpendapatan rendah di UK membacakan buku kepada anak kecil mereka berbanding 78 peratus ibu bapa berpendapatan tinggi.
Social Mobility Comission pula menunjukkan hanya 57 peratus pelajar yang mendapat bantuan makanan (kerana kemiskinan) di UK mencapai tahap perkembangan yang disasar pihak sekolah berbanding 74 peratus pelajar yang tak layak mendapat bantuan makanan.
Lebih membimbangkan hanya 26 peratus penerima bantuan makanan ini berjaya menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Hasil kaji selidik Policy Institute King’s College London pada 2021 mendapati usaha keras dan bakat saja tidak cukup untuk menentukan kejayaan seseorang.
Status keluarga seperti pendapatan, jaringan dan trait demografi seperti kaum, jantina, agama juga memainkan peranan penting.
Namun meritokrasi telah berakar umbi dalam sistem nilai masyarakat UK, termasuk di tempat kerja, perniagaan mahupun politik. Faktor sosio-ekonomi lain dalam memberi peluang yang lebih adil kepada semua tetap dipinggirkan.
Bagi mereka, seseorang itu gagal kerana tak cukup kuat bekerja atau malas dan tak ada bakat yang baik. Sekali pandang, ia sepertinya diskriminasi sosio-ekonomi yang disembunyikan.
Meritokrasi juga pernah diamalkan di Tanah Melayu ketika dijajah British. Di zaman itu, peluang mendapat pendidikan yang baik dikuasai mereka yang mendominasi sektor ekonomi atau elitis sahaja.
Sedang si miskin yang tinggal di kawasan pedalaman dan estet, jarang sekali dapat melanjut pengajian ke universiti yang pada ketika itu hanya ada di luar negara. Mereka kekal kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Mujurlah selepas merdeka, wujud dasar yang lebih inklusif bagi menyokong kumpulan dengan latar belakang sosio-ekonomi yang pelbagai.
Kita percaya, untuk bersaing secara adil dan sihat, kita mesti bermula pada tapak yang sama. Bukan atas merit semata-mata.
Prestasi awal anak si miskin di kampung dengan akses pendidikan yang terhad tentulah tidak sama dengan anak si kaya yang belajar di sekolah swasta.
Namun suara memperjuang meritokrasi terus kedengaran lantang di tanah air.
Setelah meneliti pengalaman UK, eloklah ditanya semula, benarkan meritokrasi adalah sistem terbaik untuk semua?
Jika ya, bersediakah Malaysia?
* Wan Izar Haizan ialah pelajar PhD di Centre for Environmental Policy, Imperial College London. Beliau merupakan penulis novel dengan nama pena Michiko Ohara.
Klik di sini untuk terus membaca