BANYAK sifat Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW telah dan akan terus memajukan umat Islam dari kalangan bangsa Melayu.
Empat daripadanya ialah: (i) Menyimpan amanah; (ii) Bercakap benar; (iii) Mencari kesahihan; dan (iv) Membuang bid‘ah serta khurafat.
Bid‘ah ialah apa-apa jenis pembaharuan dalam Islam yang ditegah oleh Nabi Muhammad SAW.
Walaupun pembaharuan atau inovasi dalam bidang sains, perubatan dan teknologi dibolehkan dan digalakkan, bid‘ah dalam hal keagamaan adalah ditegah oleh syarak.
Saidatuna Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang membuat sesuatu urusan yang berlainan daripada urusan kami yang tiada (sebab) untuknya, maka ia hendaklah ditolak.” (Sahih Muslim, Kitab 18: Hadis 4266)
Khurafat ialah kepercayaan karut atau tahyul yang diada-adakan.
Mesyuarat Lembaga Fatwa kali ke-23 pada 29 Syawal 1434H bersamaan 5 September 2013M telah sebulat suara menerima Garis Panduan Khurafat Dan Azimat Menurut Perspektif Islam yang dengan tegas menolak pemikiran dan amalan yang salah berkaitan dengan kedua-duanya ini.
Hingga sekitar 60 tahun silam, satu amalan karut orang Melayu di Semenanjung serta Sarawak dan Sabah ialah adat mandi Safar yang diamalkan secara berleluasa beratus-ratus tahun pada Rabu akhir bulan Safar.
Dengan berenang dan bermandi-manda di pantai, orang Melayu percaya mereka boleh menolak bala yang diturunkan Tuhan pada hujung bulan itu.
Akhirnya kepercayaan dan adat karut ini berjaya dihapuskan bermula pada dasawarsa 1960-an, hasil daripada fatwa-fatwa oleh beberapa orang mufti yang menegahnya.
Kadang-kadang saya terfikir betapa gigih serta sukarnya para ulama dan cendekiawan Muslim Melayu di zaman silam berdakwah dan mendidik masyarakat.
Mereka terpaksa berhadapan dengan golongan pengamal khurafat-syirik dari kalangan penghuni dan pawang istana serta rakyat jelata Melayu yang jahil agama.
Kini ramai kita telah berubah dari cara hidup sinkretik animisma-Buddha-Hindu-Islam kepada cara hidup Islam yang lebih jernih dan bersih.
Sudah tentu ia adalah hasil usaha gigih para ulama serta cendekiawan Muslim Melayu di zaman pramoden hinggalah pasca moden ini.
Berfikiran kritikal dan mencari kesahihan sesuatu perkara yang diajar oleh Nabi SAW menjadikan golongan ulama serta cendekiawan umat Baginda mempunyai ketajaman fikiran dan tidak terperangkap dengan cara berfikir yang mundur atau lapuk.
Dalam kalangan bangsa Melayu Muslim hari ini, ada yang berfikiran kritikal dan sebaliknya yang tidak. Dua misalan daripada banyak isu yang mesti ditangani secara ilmiah dan kritikal.
Pertama ialah sangkaan tentang Hang Tuah bertemu Nabi Khidir; kedua ialah sangkaan tentang Keturah moyang orang Melayu.
Perbincangan yang panjang lebar tentang Nabi Khidir masih hidup hingga kini atau tidak telah dibincangkan oleh Muhammad Fathi Noordin (8 Mac 2021) pada perbincangan nombor 114 dalam siri penerangan Al-Afkar yang dikendalikan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
Bidang sains perubatan menekankan tentang perubatan yang berasaskan dalil. Bidang sejarah juga menekankan dalil dan bukti.
Ini ditegaskan oleh sejarawan kontroversial Profesor Emeritus Dr Ahmat Adam yang menggunakan pendekatan filologi dan analisis sejarah dalam metodologi sejarahnya.
Watak Hang Tuah terus menjadi kontroversi dalam kalangan sejarawan hingga kini. Usia Nabi Khidir menjadi kontroversi dalam kalangan ulama.
Bagi saya, mengaitkan kedua-dua nama ini seperti mereka bertemu atau tidak hanya membuang masa dan tidak berfaedah.
Watak Keturah yang disebut dalam Bible sebagai isteri ketiga Nabi Ibrahim AS tidak disebut dalam al-Quran dan tidak juga disebut oleh mana-mana Hadis Rasulullah SAW.
Malahan dalam kalangan pendeta Yahudi ada yang percaya bahawa Keturah ialah sebenarnya Hajar isteri Nabi Ibrahim. Mengaitkan nama yang tidak pasti kesahihannya menurut Islam dengan rumpun Melayu adalah usaha sia-sia.
* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah penulis dan aktivis sosial
Klik di sini untuk terus membaca