SHAH ALAM - Biarpun berstatus 'warlord' atau Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) namun, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak kisah jika beliau bukan lagi Menteri Besar biarpun PN kekal memerintah Kedah selepas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun berstatus 'warlord' atau Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) namun, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, tidak kisah jika beliau bukan lagi Menteri Besar biarpun PN kekal memerintah Kedah selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Muhammad Sanusi menegaskan beliau juga tidak pernah melobi untuk kekal sebagai Menteri Besar kerana apa yang bakal berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT.

"Saya rasa ini pertolongan ALLAH SWT dan kehendak orang ramai yang bantu saya dalam kemenangan lalu," katanya dalam satu wawancara khas bersama wartawan Sinar Harian baru-baru ini.

Muhammad Sanusi berkata demikian ketika mengulas cakap-cakap bahawa beliau dijangka kekal sebagai MB Kedah sekiranya PN terus menguasai Kedah selepas PRN pada 12 Ogos nanti.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menyerahkan kepada pucuk pimpinan tertinggi PN untuk menentukan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeniri dimenanginya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu atau berpindah ke kawasan lain, pada PRN nanti.

"Belum tahu lagi, Pas Pusat perlu memutuskannya. Pertimbangan awal tentu Jeneri juga, cuma belum diputuskan secara rasmi. Saya berpegang kepada disiplin Pas.

"Kalau parti putuskan saya tidak boleh bertanding, saya reda. Kalau parti kata, cukuplah Sanusi, ‘hang’ punya kelaku tak sesuai jadi calon pun saya reda dan berlapang dada," katanya.

Muhammad Sanusi

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi menegaskan beliau reda jika dipindahkan ke kawasan lain atau tidak dicalonkan oleh Pas pada PRN nanti.

"Letak di DUN mana pun tiada masalah, jika tidak dicalonkan semula pun reda, malah seronok. Saya mahukan kehidupan saya balik," katanya.

Muhammad Sanusi juga menegaskan beliau juga tidak kisah dilabelkan sebagai Menteri Besar paling banyak kontroversi kerana enggan bersikap hipokrit di hadapan orang lain.

"Saya hanya menjadi diri sendiri. Saya tidak pandai berlakon untuk menjadi orang lain. Apabila bergelar MB pun itulah diri saya sendiri. Kalau menjadi kontroversi, beban, liabiliti atau kelebihan untuk PN, terserahlah kepada penilaian orang.

"Pada peringkat awal memang ramai tidak faham saya. Lebih 80 peratus orang kecam namun lama-kelamaan mereka faham. Kita bawa cara kita tanpa meniru sesiapa.

"Saya harap rakyat boleh terima pendekatan saya. Saya akui pendekatan ini mungkin ada untung, ada rugi, bagi yang tidak dapat adaptasi sikap saya, dia ‘koyak’ lah," katanya.

Malah, Muhammad Sanusi menjelaskan pucuk pimpinan tertinggi Pas tidak menganggap dirinya liabiliti kepada parti kerana mereka sudah lama mengenali hati budinya.

"Tidak pernah ada aduan seperti itu. Mungkin kerana orang parti sudah lama kenal saya. Dalam mesyuarat parti atau sebelum ini pun saya memang lantang, apa saya nak kata, saya kata sahaja.

"Kalau saya tidak betul, saya belajar. Saya tidak tahu, saya tanya. Kalau saya benar, saya akan berdiri dengan kebenaran dan akan mempertahankannya habis-habisan tidak kira siapa, saya lawan kalau saya di pihak benar," katanya.

Baca wawancara penuh:

Sanusi mahu lawan habis-habisan

Klik di sini untuk terus membaca