SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos ini bakal menjadi penentu hala tuju sama ada MIC dan MCA akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau keluar daripada Barisan Nasional (BN). Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri pada 12 Ogos ini bakal menjadi penentu hala tuju sama ada MIC dan MCA akan kekal bersama Kerajaan Perpaduan atau keluar daripada Barisan Nasional (BN).

Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah berpendapat, MIC dan MCA akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Perpaduan sekiranya kemenangan milik mereka.

"Namun, jika keputusan tidak berpihak kepada parti-parti komponen yang membentuk Kerajaan Perpaduan pada hari ini, maka, tidak mustahil akan wujud bibit-bibit perselisihan antara parti.

"MIC dan MCA perlu mengkaji semula kedudukan di dalam Kerajaan Perpaduan sama ada menguntungkan mereka atau tidak. Sekiranya tidak, mereka perlu mempertimbangkan cadangan untuk keluar dari BN walaupun mempunyai nilai-nilai sentimental bersama UMNO untuk sekian lama,” katanya kepada Sinar Premium.

Tambahnya, isu status quo MIC dan MCA serta sifat UMNO yang seolah-olah kalah sebelum bertanding dalam PRN kali ini menyebabkan ramai yang tidak yakin akan kesetiaan mereka terhadap BN kekal kukuh.

"PH memberi 11 kerusi kepada BN di Selangor untuk diagihkan termasuk bahagian MIC dan MCA. Bagi saya, formula status quo BN yang menerima hanya 11 kerusi itu seperti mengakui kekalahan sebelum bersaing.

"Ramai di peringkat akar umbi lebih memilih untuk bertanding seperti di Melaka dan Johor kerana tiada siapa tahu akan kuasa BN yang boleh merampas kembali kerusi di enam negeri tersebut. UMNO juga seperti sudah hilang taring apabila PH menjadi ‘abang besar’ di dalam Kerajaan Perpaduan sekarang ini,” ujarnya.

Kuok Tiung turut menolak pandangan bahawa MIC dan MCA bakal berpaling tadah daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN) meskipun mereka ditawarkan tempat untuk calon bertanding di kerusi campuran pada PRN kelak.

"Saya rasa MIC dan MCA tidak mungkin akan menyertai PN berdasarkan senario semasa PRN. Namun, tidak mustahil mereka akan bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) di masa akan datang.

"Buat masa ini, mereka sudah bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan di seluruh peringkat Parlimen. Jadi tidak mungkin satu kaki di tempat lain dan satu di tempat yang lain,” jelasnya.

KUOK TIUNG

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencadangkan agar MCA dan MIC meninggalkan BN dengan menyertai PN pada PRN enam negeri akan datang.

Muhammad Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah berpendapat, MCA dan MIC memutuskan tidak menyertai PRN disebabkan layanan tidak adil, khasnya membabitkan kerusi campuran dikuasai PH.

Selain Sanusi, perkara itu turut disuarakan oleh Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang menyatakan bahawa penyertaan MCA dan MIC dalam PN diyakini mampu menarik sekurang-kurangnya 20 hingga 30 peratus sokongan pengundi kaum masing-masing.

Bagaimanapun, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menolak untuk meninggalkan BN bagi menyertai PN dengan pesanan ringkas ‘No’ (tidak) menerusi hantaran ringkas di Facebook pada Jumaat.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga yakin sepenuhnya MCA dan MIC kekal bersama perjuangan parti itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebarang tawaran untuk bekerjasama dalam pilihan raya adalah perkara biasa, namun beliau yakin parti komponen BN akan terus bersama parti.

Di peringkat Parlimen, MCA mempunyai dua wakil iaitu Ka Siong yang merupakan Ahli Parlimen Ayer Itam dan Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Ahli Parlimen Tanjung Piai) manakala MIC diwakili Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan.

PERIASAMY

Dalam pada itu, penganalisis politik, Datuk M Periasamy berkata, PRN akan datang bakal menjadi saksi ketidakpuasan hati MIC-MCA terhadap pengurusan pucuk pimpinan BN yang seolah-olah meminggirkan mereka di dalam Kerajaan Perpaduan.

"Terdapat beberapa perkara yang membuatkan MIC ‘berkecil hati’ dengan pucuk pimpinan BN serta gabungan BN-PH. Pertama, MIC tidak dijemput berbincang bersama kepemimpinan UMNO ketika parti itu membuat sesuatu keputusan strategik bagi pihak BN.

"Keahlian di dalam kabinet juga tidak ditawarkan kepada MIC. Memang benar PH menawarkan jawatan untuk kaum India namun mereka bukan wakil MIC. Walhal, pada zaman pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kedua-dua pemimpin di bawah PN ini melantik seorang ahli MIC untuk mewakili kabinet.

"Mengapa Kerajaan Perpaduan tidak memberi peluang sama? MIC merupakan satu parti yang mewakili sebahagian besar masyarakat India di Malaysia jadi mereka perlu diberi penghormatan. Ketidakpuasan hati ini yang bakal diterjemahkan di dalam PRN nanti,” katanya.

Mengulas lanjut tentang parti PN yang tidak keberatan memberikan kerusi kepada MCA dan MIC untuk bertanding dalam PRN sekiranya kedua parti itu meninggalkan BN, Periasamy berpandangan, gabungan itu mampu mencabar kedudukan DAP sekiranya berganding bahu bersama PN.

"Sudah pasti ia dapat mencabar DAP sekiranya MIC atau MCA menyertai PN. Calon MIC bakal meraih sokongan hebat daripada sebahagian besar pengundi Melayu khususnya penyokong Pas dan sebahagian pengundi yang menyokong MCA.

"Dengan adanya lima hingga sepuluh peratus pengundi India daripada MIC, ia boleh menambah margin sokongan dan mempunyai peluang besar untuk menang. Saya yakin mereka boleh mengharungi cabaran daripada DAP,” jelasnya.

Periasamy yang juga bekas Panel Pemikir, Kementerian Penerangan dan Multimedia berkata, tawaran daripada PN untuk MIC dan MCA menyertai mereka sangat wajar dalam membantu parti itu meraih sokongan terutamanya daripada golongan bukan Melayu.

"Kebanyakan calon BN menang di kawasan yang mendapat sokongan ahli MIC. MIC mempunyai pengaruh kuat di dalam masyarakat India yang mana mereka mempunyai lebih 4,000 cawangan dan hampir 10 peratus daripada pengundi India di setiap kawasan merupakan ahli MIC.

"Dari segi kajian dan pertimbangan statistik, PN sangat memerlukan sokongan pengundi India khususnya MIC dan undi mereka sangat penting dalam menentukan keputusan PRN kelak,” kata Periasamy.

Klik di sini untuk terus membaca