SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) mampu sapu bersih semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi di Kedah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PN merangkap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perkara itu bukan mustahil kerana gelombang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) masih kekal, biarpun Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) mendakwa PN bakal tewas di beberapa kerusi susulan penggabungan undi kedua-dua koalisi terbabit.
Muhammad Sanusi juga berpuas hati dan cukup bersyukur jika PN berjaya menang 33 daripada 36 kerusi ditandingi mereka di Kedah.
"Gelombang PRU15 masih kekal dan sekiranya ditingkatkan lagi usaha, mungkin boleh dapat 36-0 kerusi DUN di Kedah. Tetapi saya tidak mahu, cukuplah 33-3 untuk PN dan PH/BN.
"Walaupun sekarang ada perubahan pengundi, PH campur BN dan dakwa apabila disatukan, ada beberapa tempat PN boleh tewas. Malah, saya tidak yakin pengundi BN akan mengundi PH dan sebaliknya kerana mereka bukanlah perkahwinan atas dasar cinta, tetapi kahwin paksa. Situasi seperti itu bila ada peluang, satu pihak akan lari," katanya dalam satu wawancara bersama Sinar Harian.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi enggan mendedahkan berapa jumlah sasaran sebenar kerusi bakal dimenangi PN pada PRN nanti kerana belum mendapat data terkini.
"Secara keseluruhan (enam negeri) saya tidak dapat menjumlahkan sasaran, belum ada kemas kini. Untuk Kedah sasaran 33-3, tiga kerusi (dijangka milik PH) kerana berlaku penghijrahan pengundi Melayu termasuk antaranya Kota Darul Aman kubu kuat DAP sejak dulu.
"Pengundi di situ tidak ramai tetapi banyak bukan Melayu, jadi agak sukar untuk PN kerana faktor komposisi kaum. Mungkin kalau tiada usaha menimbulkan ketakutan kepada Islam atau Islamofobia dan difahami bukan Melayu, PN mungkin ada peluang, tambahan pula DAP bukan kuat sangat di Kedah.
"PN boleh menang tetapi kita berilah DAP, kalau menang, Alhamdulillah. Situasi sama di Bakar Arang, satu lagi (DUN) rahsia," tambahnya lagi.
Muhammad Sanusi juga meramalkan PN kekal menjadi kerajaan dan mendominasi kerusi DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain mempunyai peluang 50-50 untuk merampas Negeri Sembilan dan Selangor pada PRN nanti.
"Saya percaya Selangor dan Negeri Sembilan akan ada perubahan, peluang 50-50. Tidak mustahil PN boleh ambil alih Selangor dan Negeri Sembilan.
"Walaupun saya kata PN bersedia untuk tadbir Pulau Pinang, negeri itu, kerusi Melayu majoriti 15 sahaja. Kita perlu enam lagi kerusi untuk dapatkan 21. Tidak mustahil tetapi agak sukar namun kita sedang berusaha ke arah itu.
"Pada PRU15, di Kepala Batas dan Permatang Pauh, kita tidak jangka. Saya berharap gelombang di Pulau Pinang akan terus membesar. Kalau bukan dalam PRN, mungkin dalam PRU akan datang. Dalam politik kena sabar," katanya.
Muhammad Sanusi juga tidak menolak kemungkinan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin akan menyertai PN dan menjadi calon di saat akhir sebelum hari penamaan calon pada 29 Julai depan.
"Khairy sudah beberapa kali dipelawa menyertai PN, mungkin masih dalam pertimbangan sama ada nak kembali kepada UMNO yang memecat beliau atau cari ‘kapal baharu’.
"Saya harap beliau pilih kapal baharu, terserah pada beliau. Beliau seorang tokoh yang ada masa depan cerah dalam politik negara. Individu berkenaan perlu menjadi calon PN, masuklah mana-mana parti sama ada Pas atau Bersatu. Saya rasa bukan pelik sangat pun, di saat akhir apa pun boleh berlaku asalkan sebelum penamaan calon," katanya.
Beliau juga mendedahkan bahawa bekas Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mungkin tidak akan bertanding atas tiket PN pada PRN nanti.
"Tokoh dalam MN diterajui Annuar terdiri daripada tokoh besar, sesuai untuk peringkat nasional atau bertanding Parlimen. Kalau ditawar kerusi DUN seolah-olah merendahkan taraf mereka dan kurang sesuai. Perlu tunggu PRU akan datang.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi juga melahirkan rasa kecewa kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim enggan mengadakan pertemuan empat mata dengannya biarpun banyak surat sudah dihantar ke Pejabat Perdana Menteri, sebelum ini.
"Saya sentiasa berusaha untuk bertemu Perdana Menteri. Tidak semua orang patut berwatak seperti orang lain kehendaki. Kalau mahu saya berwatak seperti dia kehendaki, saya tidak perlu ikut, saya ada watak sendiri. Etika, tatasusila dan tata kelola sebagai menteri besar, saya pelihara dengan baik.
"Kalau tidak mahu berjumpa atas asas saya kurang adab, jumpa dahulu dan nilai kemudian. Jangan nilai saya dalam peranan politik tetapi sebagai menteri besar. Saya rasa PM akan meminati saya lebih daripada beliau minat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
"Saya jujur, tidak menipu dan tidak berlakon depan sesiapa. Pengikut Anwar ramai yang berlakon depan beliau. Sehingga kini, pertemuan empat mata belum berhasil walaupun tiga surat dihantar. Saya akan hantar surat ke-empat selepas PRN. Kalau perlu 100 surat pun saya akan tulis untuk bertemu dan berbincang tentang wish list Kedah," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca