DANA berjumlah AS$15.5 juta (RM72.4 juta) diperlukan untuk projek pembinaan semula infrastruktur yang musnah di bandar Jenin, utara Tebing Barat selepas operasi ketenteraan berskala besar yang dilancarkan tentera Israel pada minggu lalu.... Klik di sini untuk terus membaca

DANA berjumlah AS$15.5 juta (RM72.4 juta) diperlukan untuk projek pembinaan semula infrastruktur yang musnah di bandar Jenin, utara Tebing Barat selepas operasi ketenteraan berskala besar yang dilancarkan tentera Israel pada minggu lalu.

Menteri Perumahan dan Kerja Awam, Mohamed Ziara berkata, anggaran itu dibuat berdasarkan senarai kerosakan bangunan, jalan raya dan infrastruktur asas seperti rangkaian bekalan air serta sanitasi.

Katanya, anggaran itu termasuk operasi pembersihan sisa runtuhan empat struktur yang menelan kos AS$15 juta (RM70 juta), kos baik pulih kerosakan separa 25 bangunan yang dianggarkan berjumlah AS$20 juta (RM93 juta) dan kerosakan teruk pada masjid berjumlah AS$1 juta (RM4.7 juta).

"Jalan raya sepanjang lima kilometer di kawasan kem pelarian Jenin juga rosak teruk dan perlu dibaiki. Pasukan kami telah memulakan pelan penyelamat untuk menangani impak kempen pencerobohan ganas tersebut,” ujarnya sambil menambah pasukan pertahanan awam turut dikerahkan untuk mengumpulkan senjata dan artileri milik rejim Zionis yang ditinggalkan di seluruh kem pelarian Jenin.

Potret korban kekejaman terbaharu rejim Zionis ditampal pada tembok di tengah bandar Jenin.
Potret korban kekejaman terbaharu rejim Zionis ditampal pada tembok di tengah bandar Jenin.

Pesuruhjaya Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini dalam satu kenyataan merayu sokongan untuk pembangunan semula kem pelarian Jenin yang menjadi sasaran serbuan rejim Zionis pada minggu lalu.

"Operasi selama dua hari pada 4-5 Julai itu adalah yang paling sengit dalam tempoh lebih dua dekad. Bagi kebanyakan penghuni kem itu, ia seakan-akan mengimbau semula memori hitam ketika kebangkitan Intifada Kedua pada 2002.

"Kebanyakan keluarga berasa takut dengan nasib yang bakal dihadapi anak-anak mereka apabila berdepan situasi sedemikian,” katanya.

Difahamkan, kem tersebut mengalami kerosakan ketara yang turut menyaksikan bekalan air dan elektrik terputus.

"Kami terpaksa menubuhkan pusat kesihatan sementara kerana kemudahan asal UNRWA musnah ketika serbuan ganas itu.

"Majlis perbandaran Jenin, pihak berkuasa tempatan dan Pihak Berkuasa Palestin (PA) yang mentadbir Tebing Barat telah memulakan operasi pembersihan sisa struktur yang musnah secara besar-besaran,” jelasnya lagi.

Dikecam PBB Ketika ini, agensi bantuan memberi tumpuan terhadap usaha untuk memulihkan perkhidmatan asas dan menyokong penduduk yang terkesan dengan menyalurkan wang tunai kecemasan.

"Kami perlu membuka semula pusat kesihatan utama dan empat sekolah UNRWA yang menyediakan pendidikan kepada kira-kira 1,700 kanak-kanak. Kami mengerahkan lebih ramai staf untuk membantu penduduk terjejas,” ujarnya.

Wakil agensi bantuan antarabangsa meninjau kesan kemusnahan di kem pelarian Jenin.
Wakil agensi bantuan antarabangsa meninjau kesan kemusnahan di kem pelarian Jenin.
Wakil agensi bantuan antarabangsa meninjau kesan kemusnahan di kem pelarian Jenin.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan menegaskan mereka enggan menarik balik kecaman yang dilemparkan ke atas rejim Zionis berhubung kempen pencerobohan ganas tersebut.

Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres sekali lagi menegaskan pendirian beliau terhadap operasi mengejut tersebut yang kononnya mahu menumpaskan ‘sarang pengganas’.

"Guterres juga menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan tentera Israel yang menghalang mangsa cedera mendapatkan rawatan selain menyekat akses staf agensi bantuan kepada penduduk yang terkepung.

"Beliau mengutuk sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan terhadap orang awam di wilayah diduduki di Palestin,” menurut Farhan Haq.

Di bawah operasi dalam tempoh singkat itu, rejim Zionis mengerahkan kira-kira 1,000 anggota tentera untuk menggempur markas Briged Jenin yang dianggap sebagai 'pengganas'.

Tentera Israel bagaimanapun berundur dari Jenin selepas melancarkan kempen pencerobohan selama 44 jam itu yang turut menyebabkan sekurang-kurangnya 12 penduduk Palestin terkorban. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca