PARTI komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC telah memuktamadkan pendirian dengan pengumuman keputusan rasminya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Akhbar harian Tamil, Malaysia Nanban melaporkan buat julung kalinya parti kaum India itu membuat keputusan mengejutkan seperti itu.
Sejak penubuhannya yang kini sudah mencecah kira-kira 77 tahun, MIC nekad mengambil keputusan seumpama itu dengan 'memulaukan' PRN yang akan diadakan di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.
Ketabahan MIC walaupun mendapat respons cukup positif daripada rakyat ironinya ia mencetus spekulasi tentang kedudukan parti itu dalam BN dan Kerajaan Perpaduan serta kejatuhan legasinya.
Selepas PRN selesai, masa depan MIC akan ditentukan sama ada masih terjamin ataupun parti itu semakin menghampiri penamatnya.
Menurut Malaysia Nanban, MIC mendakwa parti itu tidak mendapat penghormatan dan pengiktirafan yang sewajarnya.
Parti itu dikatakan telah dilayan seperti tetamu tidak diundang dalam BN.
Dalam pada itu kedudukan MIC turut dicabar apabila peluang memiliki kerusi untuk bertanding dalam PRN akan datang semakin menjadi tanda tanya sehingga pemimpin tertinggi parti itu terpaksa mengambil keputusan drastik agar sejarah kegemilangan dapat dipelihara selama-lamanya.
Baru-baru ini, seorang pemimpin tertinggi parti UMNO telah mengeluarkan kenyataan sinis tentang MIC bahawa parti itu hanya menjadi beban dan mereka tidak lagi mampu untuk memikulnya.
MIC seolah-oleh sudah kehilangan kuasa dan kepercayaan.
Sekiranya MIC mahu memiliki kerusi untuk bertanding dalam PRN, jadi mereka perlu kembali berkuasa dan elak meneruskan perjalanan politik dengan bergantung kepada kemakmuran UMNO.
Malaysia Nanban menghuraikan kenyataan tersebut sememangnya telah mengguris kredibiliti MIC, justeru parti itu telah mengambil pendirian tegas untuk tidak bertanding dalam PRN.
Ada juga mantan pemimpin UMNO yang memuji pendirian MIC dengan menyatakan ia juga memaparkan kematangan pemimpin parti itu.
UMNO yang dahulu lain, UMNO yang ada sekarang lain dan kepimpinan MIC sedar akan transformasi itu.
Sokongan dan kepercayaan yang dijana UMNO daripada kaum Melayu sebelum ini kini sudah pun mengalami perubahan besar.
Oleh sebab itu MIC telah mengambil keputusan untuk tunggu dan lihat serta meneliti manfaat jika masih memberi sokongan padu kepada UMNO.
Sementara itu, timbul ura-ura bahawa MIC bakal berwajah baharu dan kemungkinan akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).
Bagaimanapun sehingga kini MIC masih menolak kemungkinan itu dan giat mengorak langkah transformasi untuk mewujudkan MIC baharu.
Kewujudan parti baharu untuk kaum India itu mungkin menjadi kenyataan apabila ada beberapa pemimpin tertinggi MIC yang kini telah keluar parti sedang dalam proses untuk melancarkan satu parti baharu sebagai pencabar kepada MIC.
MIC yang turut menghadapi krisis dalaman politik cukup mencabar telah berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan legasi parti itu dan gigih mengekalkan pendirian demi kebaikan parti serta kaum India di negara ini.
* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas dari Johor
Klik di sini untuk terus membaca