BARU-BARU ini Amerika Syarikat telah mengumumkan bakal menghantar sejumlah senjata berupa bom, roket atau peluru artileri jenis cluster munitions atau bom berangkai ke Ukraine. Bom berangkai dikategorikan sebagai sebutir bom atau roket yang... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini Amerika Syarikat telah mengumumkan bakal menghantar sejumlah senjata berupa bom, roket atau peluru artileri jenis cluster munitions atau bom berangkai ke Ukraine.

Bom berangkai dikategorikan sebagai sebutir bom atau roket yang di dalamnya terdapat berpuluh-puluh, malah mungkin beratus-ratus bom kecil apabila dilepaskan dan mampu bertindak secara autonomi seperti bom berasingan.

Analogi paling hampir diibaratkan sebagai sebiji cempedak, apabila dipisahkan kulitnya terdapat mungkin berpuluh-puluh biji cempedak kecil bersambung dengan empulur di tengah-tengahnya.

Bagi bom berangkai, bahagian luar kelongsong bom mempunyai mekanisme khusus yang akan terbuka pada ketinggian tertentu, lalu melepaskan atau menebarkan bom-bom kecil dalam satu radius kawasan luas.

Tujuan utama digunakan adalah untuk memberi impak kemusnahan dalam radius kawasan lebih besar berbanding jika hanya satu bom induk bersaiz sama dilepaskan.

Bom-bom kerdil yang dilepaskan ini, bergantung kepada jenis fiusnya, mampu meledak ketika impak pada permukaan atau bertindak menjadi jerangkap mahupun periuk api atas permukaan.

Isu yang menyebabkan isu bom berangkai mendapat perhatian apabila diumum bakal diberikan kepada Ukraine ialah kerisauan pelbagai pihak jika ia digunakan secara meluas. Ini kerana lazimnya tidak semua bom-bom kerdil yang dilepaskan bakal meletup.

Jika ini berlaku, ia akan kekal aktif untuk bertahun-tahun dan kerana saiznya yang kecil, bakal mendatangkan bahaya kepada masyarakat awam selepas tamatnya konflik.

Menurut kajian, kanak-kanak adalah golongan paling terdedah kepada bahaya apabila bom-bom kerdil tidak meletup dan masih aktif menyerupai permainan akan menarik minat mereka untuk mendekati dan menyentuhnya.

Pada tahun 2010, sejumlah negara bersetuju untuk memusnahkan stok serta mengharamkan penggunaan bom berangkai dalam apa yang dipanggil Konvensyen Bom Berangkai di Oslo, Norway. Sehingga April tahun ini, terdapat 111 negara telah menandatangani dokumen tersebut.

Apa yang mungkin unik ialah sebagai sebuah negara berdaulat, turut menghadiri proses rundingan Oslo dan beberapa kali menyuarakan sokongan agar bom berangkai dimusnahkan, Malaysia tidak menandatangani konvensyen itu.

Pada 2014, Malaysia menjadi negara pemerhati pada mesyuarat negara-negara ahli Konvensyen Bom Berangkai. Pada November 2020 dan September 2021, Malaysia dijemput untuk menghadiri konvensyen sama, namun tidak menghantar sebarang wakil.

Mungkin ada pihak menyatakan bahawa langkah diambil negara bersifat hipokrit kerana Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih mempunyai beberapa sistem pelancar atau pelepas bom berangkai dan menyimpan stok bom-bom jenis ini dalam inventorinya.

Pandangan ini sebenarnya agak cetek dan mungkin gagal mengambil kira strategi konflik bersenjata konvensional yang mungkin dihadapi negara pada bila-bila masa.

Malaysia bukanlah satu-satunya negara yang mengambil sikap sedemikian. Di rantau Asean, hanya Filipina dan Laos yang menjadi ahli konvensyen.

Malah menurut badan pemerhati Global Cluster Munition Monitor, pada tahun 2022 negara jiran Singapura adalah antara negara pengeluar bom berangkai, selain Amerika Syarikat, Israel, Rusia, China, Brazil, Turkiye dan beberapa negara lain.

Bagi ATM, sifat bom berangkai memberi kelebihan untuk menyekat dan menidakkan musuh daripada mampu bergerak pantas atau mara di laluan atau kawasan terbuka, terutama bagi musuh mempunyai daya mobiliti tinggi.

Ia juga amat efektif dalam menghalang pelepasan atau pendaratan pesawat apabila dibebaskan di atas landasan udara dengan mengakibatkan kerosakan pada pesawat mahupun landasan itu sendiri.

Sememangnya pelepasan bom berangkai di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi adalah sesuatu amat berbahaya dan perlu dielak.

Sebagai bukti, Malaysia telah menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengecam penggunaan bom berangkai di kawasan awam di Syria dan Sudan pada 2015. Tidak dapat dinafikan kemusnahan dan kematian orang awam adalah sesuatu yang amat sukar dielak ketika perang atau konflik bersenjata.

Malaysia sejak 2014 konsisten menyokong agar Konvensyen Bom Berangkai diperluaskan ahlinya dan penyimpanan serta penggunaan bom berangkai dihentikan.

Namun, sebagai sebuah negara berdaulat serta memiliki kemampuan pertahanan terhad, sokongan terhadap perkara ini tidak boleh menafikan hak kita untuk mempertahankan kedaulatan negara apabila diancam pada suatu masa nanti.

*Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca