ISU kos sara hidup rakyat dan kebajikan pasukan penyelamat ketika menjalankan operasi bencana antara isu yang menjadi keutamaan Ahli Parlimen Kuantan, WAN RAZALI WAN NOR. Pada masa sama, beliau turut memperjuangkan hal-hal melibatkan... Klik di sini untuk terus membaca

ISU kos sara hidup rakyat dan kebajikan pasukan penyelamat ketika menjalankan operasi bencana antara isu yang menjadi keutamaan Ahli Parlimen Kuantan, WAN RAZALI WAN NOR.

Pada masa sama, beliau turut memperjuangkan hal-hal melibatkan kesejahteraan rakyat termasuk berkaitan infrastruktur dan akan menggunakan segala saluran bagi menjayakan agenda tersebut demi untuk kesejahteraan rakyat terutama di Kuantan.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, NIK AMIRULMU'MIN NIK MIN bersama Wan Razali dalam menterjemahkan agenda beliau menerusi ruangan Agenda YB kali ini.

SINAR HARIAN: Sebagai ahli Parlimen pembangkang, apakah isu yang menjadi keutamaan dan lebih mendapat perhatian YB untuk diperjuangkan ketika ini?

WAN RAZALI:
Ketika ini, rakyat berdepan dengan pelbagai isu terutama kenaikan kos sara hidup yang membebankan pelbagai lapisan masyarakat.

Walaupun kerajaan mendakwa isu itu terkawal namun situasi yang berlaku di lapangan amat berbeza terutama melibatkan barangan bukan kawalan yang menekan pengguna.

Justeru, jika diberi ruang, isu ini akan terus dibawa dalam perbahasan di Parlimen dengan beberapa cadangan untuk penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang terutama melibatkan isu bekalan dan harga barang keperluan.

Saya melihat dalam perkara ini, kerajaan perlu memberi peluang kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk terlibat sebagai pengeluar produk makanan dan keperluan asas, input-input pertanian dan penternakan untuk menampung keperluan, mengurangkan kebergantungan kepada produk import dan mengawal kenaikan harga.

SINAR HARIAN: YB ada menyebut keperluan kepada penambahbaikan aspek kebajikan pasukan penyelamat yang menyertai operasi bencana dan isu itu antara yang diberi perhatian, boleh jelaskan?

WAN RAZALI:
Dalam perkara ini, saya melihat kebajikan pasukan penyelamat terutama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) perlu ditambah baik agar mereka dapat menumpukan perhatian kepada operasi secara sepenuhnya.

Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) boleh berfungsi untuk turut terlibat dalam menyediakan keperluan sepanjang operasi tersebut selain yang disediakan sendiri oleh agensi terlibat.

Saya akan membangkitkan isu ini untuk pertimbangan pihak berkaitan, agar petugas yang terlibat disediakan segala kemudahan dan keperluan supaya operasi melibatkan bencana berjalan lancar.

ISU kos sara hidup rakyat dan kebajikan pasukan penyelamat ketika menjalankan operasi bencana antara isu yang menjadi keutamaan Ahli Parlimen Kuantan, WAN RAZALI WAN NOR.

SINAR HARIAN: Selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen Kuantan, apakah isu utama di kawasan yang YB akan perjuangkan ke peringkat Parlimen?

WAN RAZALI:
Saya dapati masih banyak isu melibatkan infrastruktur di kawasan Parlimen Kuantan terutama berkaitan jalan raya, isu air, banjir kilat, kemudahan awam dan sebagainya.

Dalam perkara ini, saya akui sebagai pembangkang kita berdepan banyak kekangan namun ia bukan satu alasan sebaliknya kita gunakan semua saluran yang ada agar permasalahan rakyat berkaitan infrastruktur ini dapat diselesaikan.

Selain dibawa ke Parlimen, permohonan juga diangkat ke peringkat agensi, kementerian dan terus melalui menteri terlibat untuk dipertimbangkan.

Permohonan yang dikemukakan akan diikuti dengan tindakan susulan untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkembangannya.

Paling penting, usaha perlu sentiasa berjalan demi khidmat untuk rakyat.

SINAR HARIAN: Adakah YB berdepan masalah untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat atau YB ada cara sendiri dalam memastikan agenda untuk rakyat dapat diteruskan?

WAN RAZALI:
Sebagaimana yang semua maklum, kami ahli Parlimen pembangkang tiada peruntukan khas, jadi memang tidak dinafikan timbul banyak kekangan untuk memberi khidmat terbaik kepada rakyat dalam kawasan.

Bagaimanapun saya tetap berkhidmat sebaik mungkin walaupun terpaksa menggunakan gaji dan elaun sendiri terutama untuk sumbangan, bantuan dan sebagainya.

Bila ada permohonan bantuan dan sumbangan, saya tetap hulurkan, jadi perbelanjaan memang terpaksa diatur kerana terlalu terhad agar khidmat dapat terus berjalan.

Jadi tiada istilah bila dilantik sebagai wakil rakyat kita dapat kumpul harta kekayaan sebagaimana andaian sesetengah pihak.

Sentiasa turun padang meninjau isu yang dihadapi rakyat terutama kenaikan kos sara hidup merupakan agenda penting Wan Razali (kanan).

SINAR HARIAN: Menyentuh soal pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi, apakah cabaran yang YB lihat bakal dihadapi Perikatan Nasional (PN) untuk kekalkan kuasa di Kedah, Kelantan dan Terengganu dan kelebihan PN untuk rampas Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang?

WAN RAZALI:
Saya melihat Kedah, Kelantan dan Terengganu akan terus diperintah oleh PN kerana banyak pencapaian yang telah ditunjukkan kerajaan negeri terlibat.

Kerjasama UMNO dan Pakatan Harapan (PH) terutama DAP juga mungkin memberi kelebihan untuk menarik sokongan undi Melayu kepada PN.

Bagi Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang, situasi hari ini menunjukkan anak-anak muda mendapat maklumat yang jelas berkaitan isu-isu terkini, manifesto yang tidak tertunai dan janji melibatkan integriti.

Saya yakin akan berlaku kejutan di mana sokongan kepada PH mungkin akan merosot malah tidak mustahil PN akan membentuk kerajaan di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.

PROFIL

Nama: Wan Razali Wan Nor

Umur: 42 tahun

Asal: Kampung Air Hitam, Tembeling Tengah, Jerantut

Status: Berkahwin

Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Open University Malaysia Jawatan:

-Ahli Parlimen Kuantan

- Pengarah Jabatan IT dan Dataraya Pas Pahang

- Pengarah Jabatan Pilihanraya Pas Kawasan Kuantan

- Pengerusi Ahli Jemaah Pengurusan Sistem Pendidikan Al-Irsyad, Kuantan

- Pengerusi Pusat Pengajian Darul Maarifah, Jerantut

Klik di sini untuk terus membaca