SHAH ALAM - Kesan pengambilan dadah termasuk jenis sintetik merupakan antara penyumbang utama kepada perlakuan jenayah dalam kalangan masyarakat ekoran kegagalan mengawal minda dengan baik.
Pengerusi Yayasan Keperihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, kesan penggunaan dadah dan aktiviti jenayah tidak dapat dinafikan berdasarkan kes-kes yang berlaku sebelum ini.
"Dadah membuatkan pengguna jadi kurang terkawal, seterusnya berasa lebih berani atau kurang sensitif terhadap kesan negatif.
"Hal ini menyebabkan mereka melakukan aktiviti jenayah tanpa sedar atau tanpa berfikiran waras,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Selain itu katanya, penyalahgunaan dadah sering kali mendesak penagih untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membeli bahan terlarang tersebut.
Oleh sebab itu menurutnya, kumpulan penagih mungkin terlibat dalam aktiviti jenayah seperti mencuri, merompak atau terbabit dalam perdagangan dadah demi mendapatkan wang.
Halim berkata, penglibatan dalam najis dadah biasanya berjalan seiring dengan perdagangan dadah.
Jelasnya, pengedar dadah dan pengeluar dadah kerap terlibat dalam rangkaian jenayah yang melibatkan perdagangan dadah secara besar-besaran.
"Penagih juga mungkin terlibat dalam pengedaran dadah, pengangkutan, dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.
"Pengguna dadah yang terjerat dalam lingkaran ini mungkin terdorong untuk terlibat secara langsung dalam perdagangan dadah, terutama jika mereka mencari masih cara untuk membiayai kebergantungan dadah masing-masing,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, kesan penagihan dadah adalah sangat membimbangkan kerana individu terbabit akan hilang pertimbangan dan kawalan diri.
Jenayah rogol adalah salah satu implikasinya, kata beliau.
"Faktor halusinasi juga menyebabkan penagih dadah bertindak melampau termasuk membunuh ibu bapa yang tidak berdaya."Kes rompakan juga boleh meningkat sekiranya penagih tiada pekerjaan. Mereka sudah tidak berfikir panjang sehingga sanggup merompak atau menyamun bagi mendapatkan duit membeli dadah,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan dan pihak berkuasa terlibat supaya bertindak secara lebih proaktif.
"Kelab antidadah juga perlu diberi bajet secukupnya untuk melakukan aktiviti dan program kesedaran kepada masyarakat,” tambah Wan Azliana.
Klik di sini untuk terus membaca