SEKITAR tahun 1950-an, Edwin Fleishman, seorang sarjana psikologi melakukan banyak kajian untuk melihat kepelbagaian bakat dan kemahiran manusia. Yang terhasil daripada kajiannya ialah manusia ini rupa-rupanya ada lebih daripada 52 kemahiran dan bakat.
Tentulah setiap daripada kita ini juga berbeza-beza. Dengan kata yang mudah, kita akan dapat melihat ada orang yang cepat menulis, ada yang pantas berlari, atau yang pandai mengira. Semua orang secara umumnya ada kelebihan berbeza-beza dan mustahil sama.
Sama seperti kita melihat ahli sukan yang ternama yang gajinya bernilai jutaan dolar. Mereka mungkin bijak bermain bola sepak atau tenis, tetapi mungkin tak akan mampu menjadi penyanyi yang baik atau mempunyai bakat lain seperti misalnya melukis pelan bangunan.
Jadi, secara umumnya manusia ini dilahirkan dengan bakat dan kemahiran yang tersendiri. Ada yang mempunyai beberapa bakat sahaja, dan ada pula yang banyak bakat. Mereka yang memiliki banyak bakat ini biasanya lebih istimewa berbanding dengan orang yang sedikit.
Ada pula bakat yang boleh dilatih dengan mudah, sebahagiannya mungkin mengambil masa bertahun-tahun. Tapi itu pula bergantung kepada bakat semula jadi yang ada pada setiap orang juga.
Sebab itu tak semua orang walaupun bijak, tak boleh dilatih menjadi doktor perubatan, akauntan atau jurutera. Semua orang sememangnya ada kecenderungannya tersendiri.
Seminggu dua ini kita melihat ramai anak-anak kita yang baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebahagian besarnya juga telah ditawarkan masuk ke universiti atau institusi pengajian tertentu.
Dengan memahami asas betapa manusia ini berbeza, jadi tak perlulah kita berasa begitu kecewa jika ada anak-anak kita yang gagal mendapat keputusan baik. Mereka mungkin tidak berjaya kerana asas pendidikan kita dan di kebanyakan negara lain juga hanya mengukur beberapa aspek bakat dan pengetahuan sahaja.
Adalah mustahil jika peperiksaan kita perlu ada kesemua aspek bakat dan kemahiran manusia. Jadi yang biasanya diukur ialah aspek matematik, sains, bahasa dan sebagainya sahaja.
Jadi jika ada yang mengharapkan anak-anak mendapat A dalam semua mata pelajaran, ia mungkin terlalu idealis. Bayangkan jika hampir kesemua lebih 400,000 pelajar kita yang menduduki SPM itu mendapat semua A.
Agaknya apakah lagi istimewanya anak-anak kita yang telah belajar sepanjang dua tahun ini. Bayangkan pula jika semua 400,000 pelajar itu masuk universiti? Apakah pula yang bakal terjadi.
Jadi sebab itu, manusia ini dilahirkan dengan sifat unik yang tersendiri. Tak semua orang wajar menjadi ustaz, jurutera atau semua orang juga perlu menjadi doktor. Kita perlu berbeza untuk saling melengkapi di antara satu sama lain dengan perbezaan tadi.
Sebenarnya walaupun kita semua mengimpikan untuk anak-anak kita masuk universiti, tetapi janganlah pula kita berpegang bahawa dengan hanya masuk universiti seseorang itu akan berjaya.
Di negara kita, selain universiti, banyak juga institusi kemahiran yang boleh membantu mengasah bakat anak-anak kita menjadi seseorang yang luar biasa. Yang utama, seperti mana kita juga telah melalui pengalaman jatuh bangun dalam hidup, kita jangan pula berputus harap dengan anak-anak kita. Mereka tetap istimewa. Percayalah, mereka akan juga menjadi luar biasa dalam bidangnya.
Di masa silam saya juga telah melalui pengalaman yang sama. Sebagai pelajar aliran sains, saya telah juga mencuba sebaik mungkin. Saya bercita-cita menjadi jurutera seperti banyaknya pelajar lain.
Tapi kelihatannya, sebanyak mana pun saya mencubanya, ia tak membawa saya menuju ke sana. Saya lebih baik dalam berbahasa dan menulis.
Dan saya percaya, saya juga tak gagal. Kerana akhirnya saya telah memenuhi kehidupan ini dengan menjadi diri saya sendiri.
Itulah pesan untuk anak-anak kita juga.
* Dr. Mohd Awang Idris ialah pensyarah dan penyelidik dalam bidang psikologi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya serta Profesor Madya Adjung di PSC Global Observatory, Universiti Australia Selatan.
Klik di sini untuk terus membaca