SHAH ALAM - Nasib tiga nama besar yang memperkuatkan jentera Perikatan Nasional (PN) di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti dilihat masih samar walaupun mereka mempunyai kelebihan tersendiri. Pengarah Eksekutif Ilham Centre,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nasib tiga nama besar yang memperkuatkan jentera Perikatan Nasional (PN) di Selangor dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti dilihat masih samar walaupun mereka mempunyai kelebihan tersendiri.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata, Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali misalnya, walaupun mempunyai rekod cemerlang dalam pentadbiran kerajaan negeri sewaktu menjadi Menteri Besar, peluangnya untuk berjaya dalam PRN masih menjadi tanda tanya.

Tambahan pula beliau berkata, sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Mohamed Azmin tewas ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam perebutan kerusi Parlimen Gombak.

Jadi Hisomuddin menjangkakan, Mohamed Azmin bakal berhijrah bagi meningkatkan kemampuannya untuk menang, dari kubu kuatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa ke DUN Hulu Kelang yang kini disandang oleh Ketua Amanah Bahagian Gombak, Saari Sungib.

Begitu juga dengan bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) merangkap mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi DUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

Hisomuddin melihat, peluang Afif untuk sekali lagi mencuba nasib dalam Parlimen Shah Alam iaitu di DUN Batu Tiga masih samar.

Hisomuddin
Hisomuddin
Hisomuddin

"Jika berdasarkan trend sokongan pengundi pada PRU15 lalu, Mohamed Azmin dan Afif memang boleh menang, namun setting PRN kali ini adalah berbeza kerana pelbagai faktor angkubah yang boleh berubah pada bila-bila masa,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagi Tan Sri Noh Omar yang kini menjadi warlord PN, Hisomuddin melihat penerimaan pengundi terhadap bekas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor itu tidak sama seperti beliau digugurkan sebagai calon Ahli Parlimen Tanjung Karang pada saat akhir PRU15.

"Pada mulanya, ramai ahli UMNO meluahkan bahawa mereka bersimpati dengan nasib yang menimpa Noh, namun atas dasar perjuangan parti, maka mereka kini kembali bersama BN demi kelangsungan serta memanjangkan jangka hayat politik parti berkenaan.

"Bagaimanapun, jika benar Nurul Syazwani (anak Noh) bertanding di kerusi DUN Permatang iaitu salah satu kerusi di bawah Parlimen Tanjong Karang, hasilnya mungkin berbeza berbanding sekiranya Noh sendiri menjadi calon PN di kawasan terbabit,” katanya.

Selain itu, Hisomuddin juga meramal mantan Naib Presiden PKR, Datuk Zuraida Kamaruddin; bekas Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha dan Timbalannya, Dr Daroyah Alwi tidak akan bertanding pada PRN kali ini kerana mereka bukan dalam kem PN atau ahli parti lain selepas dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Tambahan pula, kata Hisommudin, mustahil Pas akan melepaskan kerusi DUN kepada orang lain kecuali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sanggup berkompromi dan memberi laluan kepada individu terbabit untuk bertanding di Selangor.

Tewas Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin pula berpandangan, majoriti pemimpin lompat parti termasuklah Mohamed Azmin dan Noh mungkin tewas jika mereka bertanding pada PRN nanti.

Menurutnya, ini kerana pengundi dan masyarakat di Selangor telah menganggap mereka adalah pengkhianat dan golongan tidak setia kepada parti.

Katanya, rakyat Selangor juga memilih calon mewakili parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan iaitu koalisi PH-BN kerana mahu mengekalkan kestabilan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

"Kestabilan politik yang wujud selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan mungkin akan menyebabkan calon pembangkang terutama mereka yang melompat parti bakal ditolak pengundi di Selangor kerana dianggap sebagai pengkhianat.

"Faktor kedua menentukan sama ada pemimpin lompat parti boleh menang atau tidak dalam PRN nanti adalah sejauh mana masyarakat di Selangor boleh menerima jajaran politik baharu iaitu kerjasama antara BN-PH dalam Kerajaan Perpaduan di Putrajaya sekarang,” jelas beliau.

Klik di sini untuk terus membaca