SHAH ALAM - Data Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi negeri Kedah tidak boleh dijadikan indikator dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan kerana trend pengundian orang muda boleh berubah-ubah. Pengerusi Pakatan Harapan (PH)... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Data Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi negeri Kedah tidak boleh dijadikan indikator dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos depan kerana trend pengundian orang muda boleh berubah-ubah.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata, keyakinan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa PH hanya mampu menang tiga daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sama sekali tidak berasas.

"Muhammad Sanusi hendak berangan, teruskan. Saya bercakap berasaskan realiti dan bukan menggunakan ayat bombastik seperti beliau. Saya tidak pernah mendakwa PH boleh menang sehingga 27 kerusi.

"Keyakinan saya berasaskan simulasi angka serta data keputusan pilihan raya yang lepas. Oleh itu, saya berani mengatakan 16 kerusi berada dalam tangan,” katanya kepada Sinar Premium.

Mahfuz
Mahfuz
Mahfuz

Mahfuz yakin gabungan PH-BN mampu menawan kembali Kedah dengan 16 kerusi DUN berada dalam genggaman kerana penerimaan masyarakat terhadap Kerajaan Perpaduan sangat tinggi termasuk kalangan anak-anak muda.

"Pengundi muda yang mengundi buat pertama kali pada PRU15 lalu bukan pengundi ‘hardcore’ dan setia kepada satu parti sahaja.

"Ia boleh berubah berasaskan fakta apabila mereka melihat apa yang telah diungkap oleh Pas dan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) hanyalah pembohongan semata-mata. Akhirnya, tiada jalan penyelesaian kepada masalah masa hadapan di negeri Kedah,” ujarnya.

Sebelum ini, Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yakin menang 33 daripada 36 kerusi di Kedah kerana semangat gelombang PRU15 masih berkobar.

Beliau berkata, sekiranya ditingkatkan lagi usaha, tidak mustahil PN mendapat 36-0 kerusi DUN di Kedah, namun menyasarkan 33-3 yang mana tiga kerusi dijangka milik PH kerana berlaku penghijrahan pengundi Melayu termasuk di Kota Darul Aman dan Bakar Arang.

Muhammad Sanusi juga meramalkan PN kekal menjadi kerajaan negeri dan mendominasi kerusi DUN di Kelantan, Terengganu dan Kedah, selain mempunyai peluang 50-50 untuk merampas Negeri Sembilan dan Selangor pada PRN nanti.

Kunci kemenangan

Mengulas mengenai kerusi-kerusi DUN yang menjadi sasaran gabungan parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan pada PRN akan datang, Mahfuz yang juga bekas Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, mereka sedang berusaha untuk mengenal pasti tiga lagi kerusi yang boleh menjadi kunci kemenangan untuk mendapat majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.

"Kota Darul Aman dan Bakar Arang yang disebutkan itu memang sudah pasti menjadi kerusi yang kita boleh menang berdasarkan keputusan PRU14 lalu.

"Gerak kerja kami sekarang ini adalah untuk kenal pasti tiga lagi kerusi yang dapat ditambah (jumlah sebanyak 19 kerusi) bagi melonjakkan kita menjadi kerajaan. Sekiranya kita berjaya menawan lebih daripada tiga kerusi, itu dikira bonus,” katanya.

Mahfuz bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi 16 kerusi yang diyakini menang oleh PH dan Barisan Nasional (BN), tetapi ia mewakili kawasan bandar, pinggir bandar termasuk luar bandar.

"Sekarang ini, kami sangat positif dengan kawasan luar bandar. Biarpun PRU15 lepas menyaksikan PN menguasai 14 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, kita tidak boleh mengukur PRN kali ini hanya berdasarkan keputusan umum PRU lalu.

"Itu hanya gelombang sementara akibat masyarakat terpedaya momokan politik yang dibuat. Sebelum itu, PN tidak ada kekuatan yang mana dahulunya kawasan luar bandar dikuasai oleh UMNO-BN,” jelasnya.

Strategi

Bercakap tentang strategi gabungan parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk merampas kembali negeri Jelapang Padi itu, Mahfuz berkata, taktik utama mereka adalah untuk mendekati rakyat.

"Kita perlu memberi sentuhan kepada masyarakat dengan mengajak mereka melihat kepentingan masa hadapan negeri Kedah yang perlu dibangunkan untuk memastikan kelangsungan kehidupan generasi akan datang terutamanya hal-hal berkaitan isu peluang pekerjaan.

"Saya melihat mereka juga menyedari kelemahan pengurusan kepimpinan kerajaan negeri di bawah Muhammad Sanusi yang sangat lemah.

"Oleh itu, mereka merasakan bahawa perlu adanya perubahan pemimpin yang lebih berobjektif daripada mereka yang hanya bercakap besar,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca