PARIS - Permulaan bulan Julai 2023 adalah minggu paling panas pernah direkodkan di seluruh dunia.
Data itu berdasarkan laporan awal Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) pada Isnin selepas fenomena cuaca ekstrem menyaksikan catatan suhu luar biasa.
Keadaan itu dapat dilihat menerusi kemarau yang sedang melanda Sepanyol, gelombang haba melampau di China dan Amerika Syarikat (AS).
"Suhu memecahkan rekod dilaporkan di darat dan lautan dengan kesan yang berpotensi memusnahkan ekosistem serta alam sekitar. Terdapat kawasan yang masih belum dipetakan. Impak El Nino dijangka berterusan sehingga 2024.
"Ia adalah berita amat membimbangkan buat bumi," ujar WMO sambil menambah mereka melihat pelbagai set data yang dikongsikan agensi berkaitan di seluruh dunia.
Perkhidmatan pemantauan iklim di Eropah, Copernicus juga memaklumkan data pada minggu lalu adalah yang paling panas pernah dicatatkan sejak simpanan rekod bermula pada tahun 1940.
"Hari Khamis (6 Julai) mungkin telah menyaksikan suhu purata global paling tinggi, sekali gus memecahkan rekod sebelum ini," jelasnya.
Sementara itu, Kementerian Sumber Asli Kanada memberitahu, jumlah kebakaran hutan di negara itu meningkat kepada lebih 670 pada Jumaat yang bertambah buruk akibat musim panas yang panjang.
Di Texas, negeri AS itu mengalami 'kubah haba' atau seperti ketuhar perolakan yang berlaku apabila udara panas terperangkap dalam atmosfera manakala Madrid sedang bersiap sedia untuk dilanda gelombang haba kedua dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
Keadaan cuaca ekstrem sama turut melanda Asia Barat di mana gelombang haba paling dahsyat dalam tempoh empat dekad direkodkan di selatan Iraq dan dikhuatiri memberi impak besar kepada ekosistem dan golongan petani serta nelayan.
Suhu panas melampau itu juga berisiko menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan kardiovaskular selain memusnahkan hasil tanaman, glasier mencair pada kadar lebih cepat dan risiko kebakaran hutan yang meluas.
Laporan kajian terbaharu menunjukkan lebih 61,000 maut akibat gelombang haba luar biasa melanda Eropah pada musim panas 2022.
Menurut data penyelidikan diterbitkan jurnal Nature Medicine, majoriti kematian melibatkan golongan berusia lebih 80 tahun dan 63 peratus daripada korban gelombang haba ialah wanita.
Bumi yang semakin panas dengan purata suhu hampir 1.2 darjah Celsius sejak pertengahan 1800-an mencetuskan cuaca ekstrem termasuk peningkatan gelombang haba, kemarau lebih teruk di beberapa kawasan dan ribut semakin mengganas disebabkan kenaikan paras air laut.
Pada bulan Jun, suhu permukaan laut global juga mencapai tahap tidak pernah dicatatkan sebelum ini.
"Jika lautan semakin panas dengan ketara, ia berisiko memberi impak dahsyat kepada atmosfera dan ais seluruh dunia," kata Ketua Program Penyelidikan Iklim Sedunia di WMO, Michael Sparrow.
Jelasnya, terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan komuniti saintifik malah pakar juga sedang cuba memahami perubahan luar biasa yang sedang berlaku ketika ini.
Sparrow juga percaya kesan cuaca ekstrem ini mungkin akan lebih teruk menjelang akhir tahun ini.
"Impak sebenar El Nino belum berlaku secara menyeluruh," ujarnya.
El Nino ialah corak yang berlaku secara semula jadi yang mendorong peningkatan haba di seluruh dunia dan kemarau di beberapa bahagian serta hujan lebat berlaku di tempat lain. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca