SHAH ALAM - Pas mampu menang lebih separuh daripada 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas mampu menang lebih separuh daripada 126 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi parti itu di Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri (PRN) nanti.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, perkara itu dilihat bukan mustahil jika dilihat prestasi Pas yang menguasai 76 kerusi DUN sebelum pembubaran DUN di enam negeri pada akhir Jun lalu.

Tambahan pula katanya, Perikatan Nasional (PN) yang dikuasai Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya memenangi semua kerusi Parlimen di Kelantan dan Terengganu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Bahkan PN juga hampir menyapu bersih kerusi Parlimen di Kedah kecuali Sungai Petani dimenangi PKR, selain berjaya menang kerusi seperti Permatang Pauh dan Kepala Batas, yang menjadi kubu kuat PH, sebelum ini.

Disebabkan itu, Mazlan yakin Pas mampu mempertahankan status quo kerajaan negeri di Kelantan, Terengganu dan Kedah jika pengundi luar serta orang muda terus kekal bersama mereka pada PRN nanti.

"Secara keseluruhannya saya melihat Pas mampu capai sasaran menang lebih separuh daripada 126 kerusi ditandingi pada PRN nanti biarpun mereka menghadapi cabaran hebat daripada koalisi BN dan PH.

"Ini kerana berdasarkan kajian dilakukan saya dan penyelidik UTM mendapati gelombang hijau yang tercetus semasa PRU15 lalu masih berterusan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang sekarang,” katanya kepada Sinar Premium.

Bagaimanapun, Mazlan menjelaskan gelombang hijau dijangka kurang memberi impak kepada pengundi di Selangor dan Negeri Sembilan kerana kedua-dua negeri berkenaan adalah kubu kuat PH.

Peningkatan undi muda untuk PH-BNBeliau berkata, kajian itu juga mendapati terdapat sedikit peningkatan sokongan terutama dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda kepada gabungan PH-BN selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan serta naratif dibawa oleh pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak lebih tujuh bulan lalu.

"Situasi juga akan berubah selepas Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri sendiri turun padang bertemu mahasiswa di universiti dan memberikan penjelasan mengenai pelbagai isu menerusi media arus perdana serta media sosial berbanding keadaan ketika PRU15 lalu,” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniZA), Dr Hussain Yusri Zawawi pula menjangkakan, Pas akan terus menguasai kerajaan negeri Kelantan, Terengganu dan Kedah berdasarkan prestasinya menjadi parti paling banyak dalam PN menang kerusi Parlimen pada PRU15 lalu iaitu sebanyak 49 kerusi.

Bahkan kata Hussain Yusri, Pas mampu memenangi beberapa kerusi di Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang walaupun mungkin menghadapi cabaran sengit dari koalisi PH-BN pada PRN nanti.

"Prestasi pencapaian kerjasama Pas dalam PN membolehkan parti itu mendapat tempat dan perhatian rakyat Malaysia, di samping pola politik dan keadaan negara yang memberi merit kepadanya.

"Saya juga yakin gelombang Pas terus meningkat apatah lagi isu-isu yang berkaitan soal kehidupan rakyat dan tekanan hidup pada masa kini masih belum diselesaikan baik, sekali gus memberi tamparan yang luar biasa kepada PH-BN,” ujarnya.

Katanya, Pas mampu mempertahankan Kelantan, Terengganu dan Kedah kerana prestasi kepimpinan yang agak baik dan manifesto yang ditunaikan.

Klik di sini untuk terus membaca