BERAPA ramaikah dalam kalangan kawan anda yang anda ketahui secara sahih dilahirkan kaya raya. Maksud saya, kaya yang betul-betul kaya.
Bukan yang bapanya berkereta besar menjalar tetapi setahun dua tiga kali terpaksa disorok sebab gagal melunaskan tunggakan ansuran.
Bukan yang emaknya posing dengan gambar menu kayangan tetapi bapanya makan hati siang malam dikejar hutang.
Kaya yang saya maksudkan adalah kaya yang sememangnya kaya.
Yang rumahnya macam istana atau sememangnya istana; yang harta keluarganya melimpah ruah dengan duit di merata bank di seluruh dunia.
Saya tidak ada kawan seperti itu. Dan saya percaya dalam kalangan seratus orang susah hendak mencari waima seorang pun yang mempunyai kawan sedemikian.
Yang ada hanyalah setakat yang kaya biasa-biasa. Itu pun tidak berapa kerat.
Yang ramai adalah mereka yang macam kita, yang dilahirkan sebagai anak orang biasa-biasa. Yang kadang-kadang makan perlu bersukat, belanja mesti beringat.
Itu pun kita bernasib baik kerana ramai lagi yang lebih malang iaitu mereka yang lahir dalam kalangan keluarga yang miskin atau miskin tegar.
Seorang kawan saya memberitahu dia hanya mengenal lauk lain di rumah kenduri kerana di rumah sendiri lauknya sama ada ikan kering, ikan kembung pecah perut atau telur.
"Tetapi pada kebanyakan masa, telurlah menu wajib kami. Tengah hari telur dadar, malam terus rebus, esok kari telur, malam esok telur kicap, lusa telur masak lemak, malam lusa telur sambal, kemudian kembali kepada telur dadar, telur rebus dan seterusnya,” demikian ceritanya kepada saya sewaktu menikmati telur ikan sturgeon (caviar) yang harganya satu hidangan boleh buat belanja dapur marhaen macam saya berbulan-bulan.
Tetapi sebab dia yang belanja, saya makan sajalah. Dia orang kaya sekarang.
Sangat kaya, walaupun dalam penampilan sehari-hari dia kelihatan sangat sederhana manakala isterinya pula tidak pernah menayang-nayang makanan di media sosial. Itulah indahnya hidup ini.
Tidak kira daripada keluarga bagaimana kita dilahirkan; sederhana, miskin atau miskin tegar, peluang kita untuk menjadi kaya sentiasa terbuka.
Mungkin di negara seperti Korea Utara peluang itu agak kecil, namun ia tetap ada.
Jika tidak sudah tentulah tidak ada Cha Chol-ma, ahli perniagaan yang dipercayai sebagai orang terkaya di negara itu.
Menjadi kaya juga adalah impian ramai orang. Sepanjang tempoh lebih lima dekad menumpang di bumi ALLAH ini saya telah menemui begitu ramai orang yang cita-citanya ‘hendak menjadi kaya’, dan belum seorang pun yang memberitahu saya dia bercita-cita ‘hendak menjadi miskin’.
Tetapi ironinya dalam tempoh yang sama saya mendapati ramai dalam kalangan yang ‘hendak menjadi kaya’ itu sekarang ini berada dalam keadaan tidak kaya-kaya atau telah menjadi miskin.
Hanya sekumpulan kecil yang berjaya mencapai cita-cita mereka, sekurang-kurangnya setakat sekarang.
Jika peluang untuk menjadi kaya itu terbuka kepada semua orang kenapa hanya sebahagian yang berjaya manakala selebihnya tidak? Soalan itu tidak perlu dijawab.
Orang yang serius dengan cita-citanya hendak menjadi kaya tidak akan bertanya soalan seperti itu.
Dia tidak akan bertanya apa-apa, sebaliknya akan merenung dan mengkaji sebab-musababnya.
Sebaliknya, mereka yang membangkitkan soalan itu adalah mereka yang cenderung menyalahkan keadaan atas kegagalan mereka.
Umpama pasangan yang menyalahkan katil kerana mereka masih tidak mendapat anak walaupun telah puluhan tahun berkahwin.
Ingatlah, untuk berjaya, dan tentunya menjadi kaya, kita tidak boleh meletakkan kesalahan ke atas apa-apa dan terhadap sesiapa atas kegagalan kita.
Jangan justifikasi kegagalan itu dengan dakwaan orang lain berjaya sebab rasuah, ada kabel, guna bomoh dan sebagainya.
Yang perlu kita lihat ialah fokus kita, kesungguhan kita, keyakinan kita, disiplin kita dan lain-lain seumpamanya.
Pokok pangkalnya ia terletak pada diri sendiri, selain takdir dan doa.
Kerana percaya bahawa usaha mengejar kekayaan mempunyai kaitan rapat dengan keupayaan mental dan fizikal, saya berpendapat kaedah terbaik adalah berusaha untuk menjadi kaya pada usia muda.
Pada waktu itu anda mempunyai tenaga, tahap ketahanan yang tinggi, daya berfikir yang kreatif, semangat yang padu, dan pelbagai kualiti baik lainnya.
Yang lebih penting pada usia itu jika ditakdirkan rebah, anda dari segi logiknya mempunyai masa yang cukup untuk bangun semula.
Persoalan yang mungkin timbul ialah bagaimana caranya? Saya berharap mempunyai kesempatan untuk menyambung tulisan ini pada keluaran akan datang. Di situ saya akan perhalusi kaedahnya.
Jangan bimbang, semuanya percuma. Anda tidak perlu membayar beribu-riban sehingga akhirnya guru yang kaya sedangkan anda terpaksa mencari duit lagi untuk guru yang lain pula. #dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi pernah berkhidmat sebagai setiausaha politik dan bekas wakil rakyat.
Klik di sini untuk terus membaca